Headlines News :
Home » » Dalam buku 'Bersama Anwar ke Penjara', Kamarazaman Yacob sorotan peristiwa sebelum dan semasa peristiwa tahanan ISA di kem Kamunting pada tahun 1974.

Dalam buku 'Bersama Anwar ke Penjara', Kamarazaman Yacob sorotan peristiwa sebelum dan semasa peristiwa tahanan ISA di kem Kamunting pada tahun 1974.

Written By Scud on Saturday, June 12, 2010 | 4:58 PM

Dalam buku 'Bersama Anwar ke Penjara', Kamarazaman Yacob sorotan peristiwa sebelum dan semasa peristiwa tahanan ISA di kem Kamunting pada tahun 1974.

Turut ditahan di Kamunting pada masa itu adalah Kamarazaman Yacob, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Syed Husin Ali, Adi Satria, Hamzah Kassim, CCYong, Yong Ah Chit, Yeo Ben Foo dan lain-lain.

Mereka ditangkap polis pada 3 Disember 1974, di bawah seksyen 117, Akta Polis kerana terlibat dengan demosttrasi pelajar yang kononnya berlaku kematian di Baling, kerana rakyatnya kemiskinan. [Dr Mahathir, ketika itu Menteri Pelajaran mendedahkan 'kematian di Baling' akibat kelaparan adalah pembohongan untuk menghasut pelajar keluar berdemonstrasi. Manakala Shabery Cheek, semasa berdebat dengan Anwar merumuskan Anwar hanya mengambil kesempatan di atas isu, semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Anwar tidak berminat mengatasi masalah kemiskinan di Baling]
Pada 5 Februari 1975, mereka dipindah ke Kem tahanan Kamunting, di Taiping, Perak sehingga dibebaskan pada November 1976.

Ketika ditahan di Kamunting, Anwar merupakan Presiden ABIM. Tempat Anwar sebagai Presiden telah dipangku oleh allahyarham Fadhil Noor (Ketika itu Timbalan Presiden). Antara AJK ABIM ketika Anwar ditahan adalah Syed Ibrahim, Naib Presiden (sekarang dalam PAS), Kamaruddin Mohd Nor, Setiausaha Agong(sekarang dalam UMNO), Anwar Hashim ,Setiausaha Kewangan, Omar Jaafar, Ketua Perhubungan(sekarang dalam PKR), Sidiq Fadhil, Ketua Penerangan (sekarang dalam PKR), Nakhaei Ahmad, Ketua Dakwah (Sekarang Pengerusi YADIM), Ramli Ibrahim, Ketua kebajikan (Sekarang dalam PKR), Osman Bakar, Ketua Pelajaran (sekarang pengerusi MUAFAKAT, pro Anwar).

Anwar ketika menjadi Presiden ABIM digambarkan sebagai seorang yang warak dan memperjuangkan 'Islam sebagai satu cara hidup' (Islam is the way of life). Cara penampilan Anwar yang selamba, berbaju Melayu, berselipar dan janggut sejemput, menyakinkan ahli-ahli dan orang ramai bahawa Anwar benar-benar ikhlas 'memperjuangkan Islam'.

Anwar digelar sebagai 'pak sheikh' oleh kawan-kawan ABIM. Gelaran 'Pak Sheikh' diberikan kepada individu yang berminat memperjuangkan Islam tetapi tidak berlatar belakangkan pendidikan Islam.

Manakala gelaran 'ustaz' diberikan kepada arwah Fadzil Nor, Siddiq Fadhil dan Nakhaie Ahmad kerana kedua-duanya berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Penampilan luaran Anwar yang nampak zuhud dan warak itu, menyebabkan orang-orang yang berpendidikan agama seperti arwah Fadzil Noor dan Nakhie Ahmad terpaksa tunduk kepadanya. Anwar dilihat sebagai seorang yang mengamalkan sifat-sifat terpuji dan menjauhi daripada sifat-sifat terkeji.

Tetapi dalam buku 'Bersama Anwar Ke Penjara', Kamarazaman menampilkan watak Anwar dari sudut berbeza yang tidak diketahui oleh ahli-ahli ABIM ketika itu.

Tulisnya,

Ibrahim Ali, Anwar dan aku kurang pandai menyanyi mengikut muzik. Bagaimanapun sesekali kami lepaskan 'gian' juga. Tentunya di bilik air semasa mandi. Terpekik-pekiklah kami menyanyi, syok sendiri, apalagi.

Bila Anwar menyanyi di bilik air, kadang-kadang kami gelak di luar. Maklumlah Presiden ABIM menyanyi dengan penuh emosi. Bila menyanyi begitu, Anwar terlupa yang dirinya Presiden ABIM. Dia rasa dirinya P Ramlee. Penyanyi yang diminatinya.

"Oooii! Pak Sheikh! Nanti anak buah dengar baru tahu. Nanti dia orang 'vote no confident'. "

Begitulah Ibrahim Ali selalu berjenaka dengan Anwar. Kadang-kadang Anwar berhenti menyanyi. Kadang-kadang semakin ditinggikan suaranya. Semuanya untuk melepaskan perasaan. Bila terpenjara, perangai kadang-kadang tak menentu. Ikut mood.

Perpecahan dalam ABIM berpunca 'Faktor Anwar Ibrahim'

Berkaitan dengan kemelut kumpulan ustaz meninggalkan ABIM di sini diperturunkan tulisan Ahmad Lutfi Othman, bekas pengarang Harakah. Penulis ini pernah meninggalkan Harakah untuk menguruskan syarikat penerbitan sendiri (Penerbitan PEMUDA). Apabila syarikatnya gulung tikar, beliau kembali semula ke Harakah dan dilantik menjadi Ketua Pengarang hingga sekarang.

Tulisan Ahmad Lutfi ini ditulis pada tahun 1993, ketika menerajui syarikatnya sendiri, Penerbitan Pemuda. Ketika itu Ahmad Lutfi merupakan penulis prolifik yang menyerang Anwar melalui buku-buku terbitan syarikatnya. Lebih daripada 5 buku diterbitkan menyerang kredibiliti Anwar yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan.

Dalam satu buku terbitannya bertajuk, "Memo buat bakal PM". Di dalam chapter ke 4, buku itu, penulis menulis khusus hubungan Anwar dengan PAS bertajuk "Darah Anwar dalam PAS".(Tulisan lengkap disertakan di bawah).

Di dalam chapter itu, Ahmad Lutfi mendedahkan rahsia pertelagahan antara kumpulan uztaz dan bukan ustaz dalam ABIM. Hujahnya berasaskan pendapat berbeza mengenai faktor kemasukan kumpulan ustaz ke dalam PAS di antara Siddiq Fadhil vs Nakhie Ahmad.

Siddiq Fadhil (Presiden ABIM pro Anwar) berkata : Kemasukan kumpulan ustaz ABIM (Fadhil Noor, Hadi Awang, Nakhie Ahmad) ke dalam PAS tiada arahan daripada Anwar tetapi dibuat dengan keputusan sendiri tanpa mendapat restu daripada ABIM.

Nakhie Ahmad (Ketika itu Naib Presiden PAS & Ketua Pengarang Harakah), menulis di Harakah 1988 : Kemasukan kumpulan ustaz ABIM ke dalam PAS, diarahkan oleh Anwar kononnya untuk menyelamatkan PAS yang kalah teruk di bawah pimpinan Asri Haji Muda. Dakwa Nakhie, Anwar sendiri menyuruh kumpulan ustaz ABIM sertai PAS setelah mendapat lampu hijau daripada Pak Natsir dan WAMY.

Perbalahan pendapat dua kem ABIM yang berlainan fikrah ini berlaku kerana Siddiq Fadhil, fraksi Anwar dalam ABIM berusaha menarik sokongan seluruh ahli ABIM untuk menyokong Anwar Ibrahim yang telah menyertai UMNO. Siddiq Fadhil sendiri kemudian dilantik sebagai panel pemikir IKD, satu badan pusat pemikir Anwar.

Manakala Nakhie Ahmad pula mempertahankan kaitan ABIM dengan PAS. Sepatutnya ABIM menyokong PAS sebagai sebuah NGO Islam, bukannya menyokong Anwar Ibrahim.

Tetapi Ahmad Lutfi sendiri walaupun lebih bersetuju dengan pendapat Nakhie, beliau juga memasukkan pendapat sendiri, hasil monolognya dengan 'sahabat'nya dalam program Pertemuan Wartawan Nusantara II. Diandaikan penulis bersetuju dengan pendapat 'sahabat'nya sehingga dimasukkan menjadi fokus capter bukunya itu. Pendapat sahabat dan penulis sama.

Ahmad Lutfi menulis : Anwar dengan sengaja merancang dan berkonspirasi memasukkan (menyingkir?) kumpulan ustaz ABIM ke dalam PAS. Kalau benar, Anwar 'sayangkan' PAS, kenapa Anwar sendiri tidak menyertai PAS ? Anwar bukan bercita-cita memperjuangkan Islam, tetapi bercita untuk mendapatkan kuasa, menyertai UMNO untuk menjadi PM.

Menurut Ahmad Lutfi lagi, Anwar manusia paling bahaya, boleh bermuka-muka (munafik?). Ketika Anwar sedang merancang bersama PAS menghadapi Pilihanraya 1982, ketika sama juga Anwar menyertai UMNO. Bukankah seperti ular berkepala dua ?

Menariknya dalam tulisan Ahmad Lutfi ini, beliau memasukkan kata-kata Mohamad Sabu (ketika itu Ahli Parlimen PAS, Nilam Puri) yang mendakwa Anwar Menteri Kewangan yang korup dan mendapat habuan daripada tokey judi, Vincent Tan.

Ahmad Lutfi mendakwa Anwar Menteri Kewangan yang tidak cekap sehingga Bank Negara mengalami kerugian hampir RM16,000 juta.

Keseriusan Ahmad Lutfi mendedahkan ketidakcekapan Anwar sebagai Menteri Kewangan disusuli dengan penulisannya dalam chapter ke 5 bertajuk "Kerugian Bank Negara : Siapa pula Kaki Judi ?"

Dalam chapter itu, penulis melaporkan Bank Negara mengalami kerugian sebanyak RM9,300 juta pada pertengahan April 1993, akibat urusniaga pertukaran asing (George Soros ?). Ketika itu Anwar adalah Menteri Kewangan dan Tan Sri Jaffar Hussein adalah Gabenor Bank Negara. [Untuk rekod Tan Sri Jaffar bukanlah orang yang berkuasa di Bank Negara ketika itu (walaupun statusnya sebagai Gabenor), tetapi orang yang paling berkuasa di Bank Negara adalah Datuk Abdul Murad Khalid, Penolong Gabenor Bank Negara]

Lebih menarik lagi, Ahmad Lutfi turut mengaitkan Anwar dengan Amerika Syarikat, walaupun buku itu ditulis sekitar tahun 1993. Bermakna orang yang pertama mendedahkan hubungan Anwar dan Amerika Syarikat adalah Ahmad Lutfi Othman, seorang penulis prolifik anti-Anwar.

Berikut disertakan tulisan Ahmad Lutfi.

Darah Anwar dalam PAS ?

Ahmad Lufti Othman

Selepas sesi pembentangan kertas kerja Pertemuan Wartawan Nusantara II yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Melayu, 12 September 1992, seorang yang saya tidak kenali setelah mengetahui saya dari Harakah sewaktu minum teh, mengemukakan satu persoalan menarik: "Saudara yakin Anwar akan melaksanakan segala komitmennya terhadap perjuangan Islam jika dia berjaya jadi PM?"

Saya tidak terus menjawab, cuma ketawa kecil. Sebelum dari itu, kami bercakap mengenai pertemuan wartawan Nusantara yang langsung tidak mendapat liputan media utama, yang dikatakan dikuasai oleh kumpulan Anwar, kecuali RTM, walaupun yang merasmikannya ialah Ghafar Baba dan yang menutupnya Menteri Luar, Abdullah Ahmad Badawi.

"Saudara masih menaruh harapan kepada Anwar?"saya mengusiknya. Nampaknya beliau senang dengan usaha itu walaupun saya menjawab pertanyaannya juga dengan pertanyaan.

Sebenarnya Anwar merancang kemasukannya dalam Umno dengan begitu licin. Anwar sertai Umno ketika dia sudah pastikan ABIM tidak lagi mempunyai tokoh yang boleh mempersoalkan "ijtihadnya". Anwar sengaja mengarahkan Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin kanan ABIM yang lain sertai PAS sebelum itu bukan kerana dia rasakan waktu itu PAS satu jamaah Islam yang perlu didukung tetapi kerana dia mahu menjayakan cita-cita besarnya untuk masuk Umno ketika Dr Mahathir jadi Perdana Menteri" hujahnya.

"Takkan begitu sekali" sebenarnya saya ingin mendengar lebih lanjut keterangannya.

"Kalau Anwar yakin dengan perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam atau parti politik Islam, mengapa dia sendiri tidak menyertai PAS bersama Ustaz Fadzil? PAS amat memerlukan tokoh sepertinya ketika itu, ketika PAS kalah teruk di Kelantan. Dan Anwar sendiri yang mengarahkan kemasukan Ustaz Fadzil, Ustaz Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim ke dalam PAS. Ini tentu ada muslihatnya. Anwar memang merancang secara halus supaya bila tiba waktunya, ketika dia berhasrat menyertai Umno, ABIM tidak lagi mempunyai tokoh yang hebat yang berwibawa untuk menahannya.

"Cuba saudara bayangkan imej Anwar menyertai Umno dalam keadaan ABIM hebat menentangnya? Tetapi apa yang berlaku meskipun ABIM tidak merestuinya, ABIM seolah-olah tidak menghalangnya. Saya masih ingat, dalam ucapan dasar Presiden ABIM, Siddiq Fadil yang pertama selepas kemasukan Anwar ke dalam Umno, perkara itu tidak disentuh secara langsung. Itu satu kejayaan besar buat Anwar".Begitu bersemangat beliau cuba meyakinkan saya.

"Tapi bagi saya, imej perjuangan Anwar sebenarnya lebih buruk lagi," rakannya yang mulanya diam mula mencelah.

"Cuba bayangkan," tambahnya, "semasa Anwar bersama-sama pemimpin PAS mengatur strategi Pilihanraya Umum 1982, dia telah pun bersedia menyertai Umno secara aktif. Maksud saya, sebenarnya Anwar sendiri mengakuinya. Beliau cuma mengumumkan secara rasmi bahawa dia aktif berjuang melalui Umno pada Mac 1982. Maknanya apa ini? Bukankah seperti ular berkepala dua.

"Begitu juga semasa Anwar mengetuai jawatankuasa khas yang membantah cadangan pindaan Akta Pertubuhan, yang mewakili 19 pertubuhan. Anwar sudah menjadi ahli Umno ketika itu tetapi berpura-pura bertindak sebagai jaguh memperjuangkan kebebasan dan keadilan," nampaknya marah benar beliau terhadap Anwar.

"Semuanya sudah berlalu. Saya rasa tidak ada manfaatnya kita bincang masalah itu," saya ingin melihat reaksinya.

"Itu pandangan saudara. Bagi saya, masih ramai orang PAS yang mengharapkan Anwar dapat berbuat sesuatu untuk kepentingan Islam dan tidak kurang yang beranggapan "Anwar orang kita dalam Umno". Saya risau PAS akan tertipu dengan igauannya itu".

"Saudara ada bukti?"

"Itu tidak penting dan kalau ada pun memang sukar hendak dibuktikan. Orang PAS tidak akan mengaku mereka masih mengharapkan Anwar tapi dalam hati mereka siapa tahu? Tengok sajalah isu kerugian Bank Negara hampir RM16,000 juta, mengapa PAS tidak manfaatkan isu itu dengan sebaik mungkin. Yang hendak saya timbulkan, Anwar memang sejak awal, sejak dilantik Presiden ABIM darah dagingnya disemangati Umno, bukannya PAS!"

"Bukankah Anwar tidak sertai PAS" kerana katanya " pemimpin PAS tidak dapat meyakinkan dirinya dalam banyak isu dasar dan PAS tidak mempunyai program untuk melayakkan parti itu memimpin negara?" Saya sendiri tidak pasti apakah Anwar pernah mendakwa begitu, Cuma Anwar difahamkan pernah berkata demikian.

"Itu alasan tidak masuk akal. Kenapa pula pemimpin PAS mesti membuktikan kepada Anwar? Siapa Anwar untuk menerima penghormatan sebesar itu? Dan sekiranya benar Anwar pemimpin berwibawa, Anwarlah yang merintis jalan menjulangkan PAS sebagai sebuah parti Islam yang memimpin ummah bukan menanti orang lain membuktikannya. Lagipun mengapa pula Anwar mengarahkan Ustaz Fadzil, Ustaz Abdul Hadi dan lain-lain masuk PAS. Sepatutnya Anwar sendiri bersama membuktikan kemampuan PAS itu"

Bila saya bertanyakan bagaimana dia tahu Anwar pernah mengarahkan Ustaz Fadzil dan pemimpin utama ABIM yang lain menyertai PAS, beliau menjawabnya juga dengan pertanyaan: "Takkan saudara tak baca Harakah . Ustaz Nakhaei jawab Siddiq Fadil mengenai sikap ABIM terhadap pembabitan ahlinya dalam politik. Saya rasa pertengahan tahun 1988"

"Masa itu, saya tidak bekerja dengan Harakah. Maksud saya, saya berhenti sekejap"

Baru saya teringat artikel berkenaan yang ditulis oleh Ustaz Nakhaie Haji Ahmad ketika itu Ketua Pengarang Harakah dan Naib Yang Dipertua PAS Pusat, menjelang kemasukannya dalam Umno!

Saya rasa cukup wajar tulisan tersebut dirakamkan sepenuhnya dipetik dari Harakah, 29 Julai 1988:

Saya ingin membetulkan salah satu fakta sejarah yang cuba diputarbelitkan untuk tujuan yang meragukan, memutarkan fakta sejarah adalah tidak wajar walaupun ini dilakukan oleh pemimpin pertubuhan Islam.

Dengan terlebih dahulu menyatakan hormat kepada Presiden ABIM, sahabat saya yang dikasihi Saudara Siddiq Fadil, saya ingin menjelaskan mengenai kenyataan beliau berhubung dengan pelepasan beberapa orang tokoh ABIM untuk menyertai parti politik.

Menurut beliau orang ABIM masuk bidang politik bukan satu yang ganjil. Sesiapa saja yang ingin aktif dalam politik harus meletakkan jawatan agar dengan itu ABIM tetap independent dan bebas dalam erti tidak dipengaruhi dan diseret dalam politik kepartian.

Seterusnya beliau berkata, ABIM memberi kebebasan kepada ahli-ahlinya untuk berperanan di mana mereka sesuai dan berkesan. Kalau seseorang itu fikir dia lebih berkesan berperanan dalam satu-satu bidang tertentu dan dia sudah bertekad untuk berperanan maka ABIM tidak menghalang. Tarbiyah ABIM tidak boleh disalahkan.

Gambaran yang diberikan oleh beliau mengenai penglibatan bekas tokoh-tokoh ABIM di dalam politik, seolah-olahnya ABIM langsung tidak mempunyai rencana dan langsung tidak mempunyai peranan di dalam melepaskan bekas tokoh-tokoh ABIM itu untuk menentukan parti politik mana yang harus disertai. Sikap lepas tangan dan melarikan diri dari tanggungjawab seperti yang digambarkan oleh Presiden ABIM itu mendukacitakan. Namun begitu, Presiden ABIM tetap mengatakan bahawa ABIM konsisten dari dahulu hingga sekarang.

Saya masih ingat lagi penyertaan Fadzil Noor, Syed Ibrahim, Haji Abdul Hadi Awang dan saya sendiri adalah perencanaan dan keputusan ABIM. Kami tidak mengambil keputusan bersendirian.

Keputusan itu bukanlah dari sikap ABIM memberikan kebebasan dan sikapnya menyerahkan keputusan kepada pilihan dan keputusan yang difikirkan sendiri oleh setiap orang daripada kami.

Penglibatan kami di dalam PAS ialah setelah berlaku kekalahan PAS di Kelantan. PAS di waktu yang sama terkeluar dari Barisan Nasional. Banyak kalangan pensyarah-pensyarah universiti yang menganggotai PAS terpaksa meletakkan jawatan kerana terikat dengan Akta Universiti.

Pak Natsir, tokoh Islam yang terkenal di Indonesia menulis surat kepada Presiden ABIM di waktu itu ialah Encik Anwar Ibrahim. Surat yang sama dikirimkan kepada Datuk Asri, Yang Dipertua Agung PAS. Kesimpulan surat itu, kalau tak salah ingatan saya menekankan mengenai kelumpuhan yang dialami oleh PAS dan perlunya wadah politik Islam itu dipertahankan.

Kerana Pak Natsir tahu kehancuran wadah politik Islam Indonesia meninggalkan akibat buruk kepada umat Islam di Indonesia, ia menekankan kepentingan peranan ABIM untuk menyelamatkan PAS. Istilah pemindahan darah adalah istilah yang digunakan oleh Pak Natsir.

Encik Anwar Ibrahim bersemangat untuk menyelamatkan PAS dan akur dengan pandangan Pak Natsir. Beliau dikatakan mendapat lampu hijau dari sahabat-sahabat dalam WAMY. Setelah pertemuan pemimpin-pemimpin ABIM dengan Pak Natsir di Pejabat ABIM di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh ketua-ketua ABIM Negeri, keputusan diambil untuk menghantar beberapa orang tokoh ABIM ke dalam PAS dalam semangat berkobar-kobar untuk mempertahankan wadah politik Islam.

Presiden ABIM tentu saja masih ingat pertanyaan saya yang tidak dijawab oleh pemimpin-pemimpin ABIM di waktu itu. Saya bertanya untuk ABIM melakukan pemindahan darah, apakah ABIM mempunyai cukup darah? Meskipun pertanyaan saya tidak dijawab, namun apabila keputusan untuk menyelamatkan wadah politik Islam itu ditugaskan kepada saya dengan perasaan tanggungjawab saya memikulnya.

Alhamdulillah, saya sedikit tidak kesal menerima tanggungjawab jamaah itu. Bahkan saya rasa mendapat satu penghormatan untuk menjadi salah seorang pemimpin pergerakan Islam yang penting di negara ini. Soalnya adakah pertanyaan kami di dalam PAS sama sekali terlepas dari tanggungjawab ABIM dan ABIM yang menentukan pilihan parti yang kami sertai iaitu PAS. Sekarang ini ABIM menyatakan bahawa penyertaan kami di dalam PAS adalah pilihan kami sendiri tanpa tanggungjawab ABIM dan bukan ABIM yang menentukan kami supaya menyertai PAS.

Hanya ada dua kemungkinan daripada kenyataan itu. Pertama ABIM menyesal dengan peranan dan keputusannya yang lalu untuk menghantar pemimpin-pemimpinnya ke dalam PAS lalu cuba menutup sejarah itu dengan memutarbelitkannya atau ABIM berubah sikapnya terhadap PAS dan tidak langsung seperti dahulu.

Kedua, ABIM menyusun kembali sikapnya terhadap parti-parti politik dan tidak lagi bersimpati dengan parti politik Islam. Dengan itu menjelaskan kebenaran kritik-kritik bahawa ABIM telah berubah sikap sekarang ini.

Akhbar The Straits Times Singapura, 3 September 1980 pernah melaporkan ramalan yang mengatakan bahawa "Mr. Anwar would be the logical successor as there was no PAS leader of sufficient stature to rebuild the shattered party after its dismal performance in Kelantan state.."

Di samping itu Pengerusi DAP Kebangsaan Dr. Chan Man Hen semasa persidangan wakil-wakil rakyat DAP, di mana Anwar hadir sebagai pembentang kertas kerja, Ogos 1980 juga meramalkan kemungkinan Anwar menjadi pemimpin PAS. Anwar sendiri ketika menjadi Presiden ABIM semasa ditanya tentang sikap ABIM mengenai politik menegaskan "...tetapi sebagai pertubuhan dakwah yang berlandaskan Islam sudah tentulah ABIM menggalakkan ahli-ahlinya memilih corak partai yang jelas matlamat keislamannya"

Dalam buku Anwar Lawan Ghafar? Saya merakamkan laporan utama akhbar The Star, 30 Mac 1982, mengenai sebab Anwar menyertai Umno. Di sini saya salin semula tiga perenggan pertama laporan tersebut: Encik Anwar Ibrahim said today he had chosen to go into politics because of the changes wrought by the new Goverment leadership. He said his basic reason was this trust and confidence in Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad and the changes made since he became Prime Minister. "More importantly, we share the same beliefs and ideals..." These changes with which he agreed left him with no alternative but to give him, his party and his Government my full support, he said.

Akhbar itu juga memetik kenyataan Anwar yang menegaskan: I have not resigned my principles in entering politics through Umno. I didn't discuss any specific terms before joining...we discussed general principles. My views on the Societies Act and the ISA are still there. I have always had a good personal relationship with Datuk Seri Dr Mahathir. He has been open to harsh criticism from me even when it was crudely expressed. ABIM leaders have accepted my decision that I should become active in politics for the sake of national unity and continue my struggle for Islam.

Pembaca boleh menilai kenyataan ini.

Membincangkan hubungan dan kaitan Anwar dengan PAS, saya teringat ucapan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Mohamad Sabu, yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri ketika beliau membahaskan Belanjawan 1993 pada 12 November 1992.

Antara lain Mohamad Sabu menegaskan: "Saya mengalu-alukan Belanjawan ini yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang dahulunya menjadi sahabat karib kami dalam Angkatan Belia Islam Malaysia. Walaupun kami daripada PAS mengharapkan sangat-sangat dahulunya beliau akan menyertai PAS sebab pada tahun 1978 ketika PAS kalah teruk di negeri Kelantan, beliau di antara orang yang bekerja kuat untuk PAS di Kelantan dengan semangat yang diberikan kepada kami, anak-anak muda sama ada di kampus ataupun baru lepas daripada kampus dengan alasan mengatakan bahawa satu-satunya parti Islam yang ada di Asia Tenggara adalah PAS. Itulah semangat Presiden ABIM tahun 1978 yang masih berkobar-kobar dalam jiwa kami anak-anak muda di waktu itu.

"Kemudian beliau sendiri mengepalai jentera daripada pelajar berkempen berhempas-pulas. Akhirnya, PAS tidak dapat diselamatkan memerintah negeri Kelantan, tinggal dua kerusi batu nesan. Sekali lagi kami anak-anak muda selepas PAS kalah teruk, balik ke Kuala Lumpur terus ambil borang menyertai PAS di atas saranan, pandangan dan arahan Presiden Angkatan Belia Islam di waktu itu. Setelah kami Datuk Asri Haji Muda tiba-tiba pada tahun 1982 beliau mengambil keputusan menyertai Umno.

"Lututku bergegar di waktu itu. Apakah selama ini arahan ataupun pandangan tahun 1978 itu hanyalah tiupan sementara kepada anak-anak mud yang ingin melihat Islam dan perlaksanaan Islam terserlah di Malaysia dengan menyertai PAS. Walaupun ada di antara kawan-kawan dalam ABIM mengalirkan air mata kerana beliau mengambil keputusan menyertai Umno tetapi dihati kecil mereka tetap mendoakan, al-Sheikh Anwar Ibrahim 'insan kamil lagi mutakamil'

Selamat belayar dan memimpin Umno pada satu hari nanti untuk memimpin umat Islam ke jalan yang pernah diucapkan semasa menjadi Presiden ABIM. Walaupun hati kecil luka di atas sikap beliau menyertai Umno tetapi hati kecil kami tetap berdoa semoga beliau berjaya.

"Harapan kami itu sekarang ini semakin berkecai. Setelah 1982 - 1992, sepuluh tahun menyertai Umno ucapan-ucapannya semasa memberangsangkan kami menyertai PAS dahulu semakin jauh bahkan dalam ucapan Belanjawan ini sanggup beliau mengutuk dengan mengatakan ulamak-ulamak kolot, berfikiran jumud, sedangkan beliau sendiri naik ke atas pentas melalui ulamak-ulamak jumud ini.

Apakah beliau berbangga sekarang setelah menjadi kawan Vincent Tan, kawan kepada Ananda Krishnan? Boleh naik kapal terbang yang disewa oleh Vincent Tan maka beliau telah menganggap kawan-kawannya dahulu jumud, kawan-kawannya dahulu berfikiran tidak waras dan sempit? Kalau inilah lagak beliau untuk masa hadapan maka harapan kami semakin tipis. Dan yang paling penting imej Islam yang ada cuba dibawa oleh beliau ke dalam Umno barangkali akan hancur berkecai apabila dilihat oleh orang-orang Umno sendiri.

Ini termasuk mereka yang berfikiran sekular dalam Umno, apabila melihat gelagat beliau, mereka mengatakan kami tidak sangka akhirnya ia berkawan rapat dengan taukeh-taukeh judi. Inilah Menteri Kewangan yang saya sayangi dahulunya dan sekarang telah menjadi sedemikian rupa."

Bagaimanapun pada 17 November, juga pada sidang Parlimen, Anwar menyifatkan dakwaan bahawa beliau menaiki kapal terbang Tan Sri Vincent Tan ke Johor sebagai berniat jahat.

Katanya: "Ini fitnah, penipu, pendusta "Beliau seterusnya menambah: "Saya pergi ke Desaru tetapi sebelum itu saya hadir di Desaru. Oleh kerana kesuntukan masa, PKENJ menyewa helikopter. Saya wallahuaklam- tidak tahu yang sewa helikopter itu siapa sehingga saya naik. Sewa helikopter dibayar setengah oleh PKENJ setengahnya dibayar oleh Umno Johor. Tetapi apa yang dikatakan oleh Ahli Yang Berhormat dari Nilam Puri? Vincent Tan yang bayar! Kalau bercakap di Laha' Yuewkah, dimanakah dia tipu begitu ada yang mengangguk, ada Yang Berhormat yang mengangguk ada ulamak macam ulamak Pengkalan Chepa angguk tiga kali walaupun sumber itu sumber fitnah."

Dalam ucapannya itu juga Anwar begitu hebat mengecam Haji Nik Abdullah Arshad (MP Pengkalan Chepa). Pak Nik Lah cuba bangkit untuk memberi penjelasan tetapi tidak diberi laluan oleh Anwar.

Antara lain Pak Nik Lah mencelah: "Dia (Anwar) kata saya melenting sedangkan dia yang melenting ...Dia kata ulamak jumud tidak apa, tetapi kita kata dia lebih kurang tak boleh..."

Apabila Anwar menyelar sikap Pak Nik Lah dan menghubungkannya dengan sifat ulamak, Pak Nik Lah berkata-kata "Saya tidak mendakwa saya ini ulamak. Saya hanya menjawab kepada hujah beliau sahaja."

Anwar menjawab: "Kalau bukan ulama, maknanya pemimpin politik picik."

Untuk lebih menggambarkan sikap Anwar berhadapan dengan pemimpin PAS di Parlimen, saya salin semula hansard Parlimen pada 17 November 1992 itu, selepas Anwar mendakwa Pak Nik Lah sebagai pemimpin politik picik:

Haji Nik Abdullah Arshad: "Kalau boleh biar saya sambung, Tuan Yang Dipertua."

Timbalan Yang Dipertua (Haji Juhar Mahiruddin): "Yang Berhormat, dia tidak beri jalan lagi, sila duduk."

Haji Nik Abdullah Arshad: "Dia maki orang boleh. Bila saya cakap dia lari. Kenapa dia lari masa saya bercakap? Hansard dia tidak baca. Apakah Dewan ini untuk Menteri Kewangan ataupun untuk wakil rakyat?"

Datuk Seri Anwar Ibrahim: "Ulamak ini kena sabar."

Haji Nik Abdullah Arshad: "Saya sudah sabar. Apa tidak duduk lagi, beri peluanglah. Maki orang boleh, saya hendak tanya tidak boleh, macam mana?"

Datuk Seri Anwar Ibrahim: "Jumud ini maknanya..."

Haji Nik Abdullah Arshad: "Saya mengaku dalam banyak perkara saya masih jahil. Tetapi kalau orang yang fikir dia sudah alim kemudian menyerang ini yang menjadi masalah kepada kita. Saya hendak menggunakan ruang dan kesempatan pada petang ini untuk menjawab tuduhan yang dibuat tetapi ini dia. Umpamanya helikopter yang diberi oleh Vincent Tan, saya jawab. Yang tuduh itu wakil parti Islam Nilam Puri. Bila saya tengok perangai, Tuhan sahaja yang mengetahui. Jadi ini yang saya sebut."

(Tuan Yang Dipertua mempengerusikan mesyuarat).
Mohamad Sabu: (Bangun)

Episod selepas itu menyaksikan Anwar langsung tidak memberi ruang kepada Mohamad Sabu dan Pak Nik Lah untuk memberi penjelasan, di atas perkara yang berbangkit mengenai mereka. Akhirnya Mohamad Sabu mengambil keputusan keluar dari Dewan semasa Anwar sedang berucap, Anwar memberi reaksi spontan: "Yang Berhormat dari Nilam Puri kata saya takut hendak berbahas dengan dia. Tolong cermin dulu."

Anwar sebelum itu menyelar Harakah sebanyak tiga kali. Katanya: "Saya tahu Harakah akan menyerang besar-besaran.....Saya tahu pengarang-pengarang Harakah di belakang boleh dengar dan boleh tulis apa yang dia hendak maki-makilah, saya tidak peduli."

Anwar juga menyebut bahawa Pak Nik Lah pernah memberi gelaran buruk terhadapnya ketika mengetuai beberapa kementerian: "Kalau semasa saya Menteri Pertanian, kata dia Menteri Lembu dan Tikus. Masa saya Menteri Kebudayaan, ini Menteri Bola dan Tarian. Masa saya jadi Menteri Pendidikan, Menteri Tadika dan Kelas Dewasa. Sekarang Menteri Arak dan Judi."

Banyak pihak kecewa dengan sikap Anwar di Parlimen itu, apatah lagi Anwar hanya berdasarkan hansard bukannya mendengar sendiri. Jadi, hanya berdasarkan hansard bagaimana Anwar boleh menyifatkan ucapan pemimpin PAS "menggunakan kata-kata yang kesat, menghina, menunjukkan kebencian yang keterlaluan" sedangkan maksudnya tidak begitu.

Sewajarnya sebagai seorang yang bercita-cita besar menjadi Perdana Menteri, Anwar harus berjiwa besar berlapang dada menerima kritikan dan teguran serta menjawab persoalan yang ditimbulkan , bukannya dengan menyerang balas secara sembrono. Apa yang hendak ditakutkan jika Anwar yakin selama dia menerajui Kementerian Kewangan tiada penyelewengan dan salahguna kuasa yang dilakukannya.

Lebih mengaibkan bila Anwar menyerang dan memaki hamun ulamak yang memerintah Kelantan. Anwar telah menunjuk jalan kepada pemimpin Umno lainnya untuk menghentam ulamak. Mereka lebih berani kerana Anwar telah merintis jalan ke arah itu. Dalam hubungan ini menarik juga diteliti pandangan pihak tertentu bahawa: "Anwar masih mentah, mudah mengelabah, kuat melatah, cepat naik angin dan kadang-kadang apabila terdesak hilang kewarasannya."

Sekiranya Anwar berjaya menawan Sri Perdana " apabila diteliti sikapnya di Parlimen" tidak dapat dipastikan apakah beliau akan menghulur persahabatan dengan PAS atau lebih hebat menyerang untuk memusnahkan PAS bagi melonjakkan dirinya sebagai pemimpin Umno nombor wahid, atau untuk membuktikan kepada kuasa-kuasa besar, khususnya Amerika bahawa dia bukanlah seorang yang 'fanatik' terhadap agamanya!

Nota : Rencana di atas ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya "Memo Buat Bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993. Ahmad Lufti sekarang adalah Ketua Pengarang Harakah
Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger