Headlines News :
Home » » Kawal iklan luar demi syarikat iklan tempatan

Kawal iklan luar demi syarikat iklan tempatan

Written By Scud on Tuesday, June 8, 2010 | 12:12 PM

DI MANA silapnya apabila syarikat-syarikat produksi iklan tempatan berdepan dengan situasi kelangsungan hidup yang tenat, sedangkan perkara berkenaan tidak sepatutnya menjadi satu masalah.

Laporan khas akhbar ini semalam mendedahkan bahawa syarikat produksi tempatan dilaporkan berdepan dengan situasi tenat apabila industri iklan televisyen menguncup ketara daripada mencatatkan nilai pasaran RM200 juta setahun, turun sehingga RM19 juta.

Penurunan yang besar itu tentulah mencemaskan pelbagai pihak khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam industri pengiklanan tempatan.

Umum mengetahui bahawa negara yang dicintai ini tidak pernah kurang dengan segala macam bentuk peraturan dan prosedur kawalan tetapi malangnya penguatkuasaan cukup ketara lemahnya.

Masalah sebegini tidak berlaku sekiranya kebebasan yang diberikan kepada industri dan syarat iklan buatan Malaysia dikuatkuasa sepenuhnya dan bukan sekadar memejam sebelah mata.

Kegagalan menguatkuasakan apa yang sepatutnya dalam industri tempatan kini menyaksikan kerja-kerja pembuatan iklan dilakukan di luar negara dengan melibatkan golongan profesional yang dahulunya ada dalam pasaran tetapi telah berhijrah keluar.

Jadi, tidak menghairankan apabila Malaysia tidak lagi menjadi pengeluar iklan utama, sebaliknya berada di tempat kedua terendah dalam kalangan 13 buah negara-negara Asia.

Persoalannya, kenapa kita terlalu mengutamakan bahan luar sekali gus menyaksikan industri pengiklanan sendiri terus dihimpit dan tertekan, sedangkan kemampuan yang kita ada tidak kurang hebatnya dengan apa yang dihasilkan di luar negara.

Kita tidak seharusnya membiarkan syarikat- syarikat asing yang beroperasi di negara ini menggunakan iklan yang sudah dibuat oleh ibu pejabat mereka di luar negara dengan hanya meletakkan garis sempadan bahawa selagi iklan itu tidak menjejaskan nilai moral rakyat dan mengancam keselamatan negara.

Langkah membiarkan keadaan seumpama itu berleluasa hanya akan merugikan negara daripada pengaliran keluar profesional dan juga wang. Pada masa yang sama, kita juga mencantas perkembangan bakat-bakat yang ada di dalam industri tempatan.

Kenapa perlunya keadaan 'anak kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan' dibiarkan.

Pihak yang berkenaan seharusnya membantu industri pengiklanan tempatan untuk terus berkembang pesat.

Sebenarnya Malaysia tidak pernah kekurangan sumber dan bakat untuk memajukan industri berkenaan kecualilah pihak berkuasa sendiri meragui keupayaan anak tempatan, yang sebaliknya dihargai dan disanjung tinggi kehebatannya oleh pihak luar.

Kerajaan tidak seharusnya membiarkan iklan-iklan yang disiarkan di dalam apa juga bentuk media di negara ini membawa wajah-wajah luar yang ternyata sama sekali tidak sesuai dan gagal membayangkan kepelbagaian bangsa dan masyarakat yang ada di dalam negara.

Persoalan pihak berkuasa atau kementerian manakah yang seharusnya dipertanggungjawabkan tidak seharusnya timbul kerana kita perlu mengiktiraf keupayaan sendiri, kerana jika tidak siapa lagi.

Sumber: Utusan Malaysia

Betul tu. Serasa TE, dahulu kerajaan sudahpun membuat garis panduan untuk iklan luar. Tetapi biasalah masalah Malaysia. Buat undang undang pandai tetapi nak menguatkuasakan undang undang tak pandai.

Sekarang cukup banyak iklan luar terutama dari Indonesia. Kita boleh lihat iklan mee segera, shampoo dan sabun pencuci adalah dari Indonesia. Malah produk itu juga dikilangkan di Indonesia.

Di Malaysia ini, banyak mereka yang berbakat, yang boleh menghasilkan iklan yang kretif malah lebih baik dari orang Indon. Sayangnya kerajaan terlalu berlembut dengan orang luar. Perbuatan membiarkan iklan berleluasa dinegara ini adalah "ibarat mengundang tentera asing menjajah negara".

Fikir fikirkanlah....

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger