Headlines News :
Home » » Felda diancam fitnah

Felda diancam fitnah

Written By Scud on Saturday, March 13, 2010 | 10:26 AM

SENARIO politik sekarang menyaksikan pakatan pembangkang berusaha keras mempengaruhi peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara, khususnya di Pahang. Pahang kini menjadi pertaruhan pakatan pembangkang untuk menawan negeri itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak.

Seiring dengan usaha itu, muncul individu tertentu yang sanggup menjaja cerita yang tidak benar di kawasan Felda untuk menagih simpati peneroka agar memihak kepada mereka. Apa yang dikesalkan terdapat segelintir peneroka terutama generasi kedua yang terpengaruh dengan dakyah yang ditabur itu.

Kelahiran buku tulisan Mazlan Aliman bertajuk Felda...Dulu Tolong Sekarang Along sedikit sebanyak mempengaruhi kumpulan peneroka yang berada di atas pagar. Menjelaskan perkara itu, Pengarah Pembangunan Komuniti & Koordinasi Felda, Mohamad Ibrahim berkata, banyak fakta yang ditulis di dalam buku tersebut tidak tepat, selain memaparkan segala usaha yang dilakukan oleh Felda adalah buruk belaka dan menekan peneroka.

Katanya, tidak ada satu pun perkara baik dilaporkan di dalam buku itu, sedangkan peneroka telah mendapat banyak manfaat sejak Felda ditubuhkan 54 tahun yang lalu.

"Mereka yang masuk Felda terdiri daripada pelbagai latar belakang ekonomi, pendidikan, loghat dan budaya dari berlainan negeri.

"Di penempatan Felda, mereka hidup bersatu padu dan diberi tanah seluas 4.046 hektar (10 ekar) untuk pertanian dan 0.809 hektar (dua ekar) untuk tapak rumah.

"Apabila selesai menjelaskan Bayaran Kembali (BK) dalam tempoh 20 tahun, hak milik tanah itu akan menjadi milik peneroka.

"Ini bermakna, hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai orang Melayu memiliki tanah sudah pun tercapai, selain berjaya menyatupadukan penduduk pelbagai latar belakang," katanya kepada Utusan Malaysia.

Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 dan diberi kuasa untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah menerusi Akta Tanah (Kumpulan Penempatan Berkelompok) atau Group Settlement Act (GSA) 1960. Tujuan penubuhan Felda adalah untuk membuka tanah pertanian secara besar-besaran dan membuka kawasan penempatan baru. Jumlah peneroka sekarang adalah 112,635 dan daripadanya sebanyak 75,313 peneroka telah menerima hak milik tanah. Baki yang lain masih belum menerima hak milik kerana masih belum selesai menjelaskan BK atau permohonan masih diproses.

Mohamad berkata, banyak peneroka salah faham apabila menuduh Felda sengaja tidak mahu memberi hak milik tanah.

Sedangkan, katanya, apa sebenarnya yang berlaku adalah Felda hanya mempunyai kuasa untuk mengesyorkan peneroka mendapat hak milik kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri yang bagi hak milik tanah, Felda hanya boleh mengesyorkan nama-nama peneroka yang telah selesai menjelaskan BK. Kalau lambat dapat hak milik, kena tanya kerajaan negeri...bukannya Felda," katanya.

Tuduhan kononnya peneroka dibebani hutang setiap kali mahu menanam semula juga tidak benar.

Menurutnya, peneroka mempunyai pilihan sama ada mahu menanam sendiri atau menyerahkan kerja-kerja menanam semula kepada Felda. "Terpulang kepada peneroka nak pilih cara apa. Kita tak paksa," katanya yang menjelaskan manfaat lebih dinikmati jika peneroka menyerahkan kerja-kerja menanam semula kepada Felda.

Antaranya, kos pengurusan kebun lebih murah kerana dijalankan secara berkelompok termasuk membeli baja, kebun diurus secara sistematik mengikut amalan agronomi dan bahan tanaman dijamin berkualiti.

Beliau menjelaskan, apabila tanaman semula dijalankan, maka peneroka tidak mempunyai pendapatan selama tiga tahun bagi tanaman kelapa sawit dan enam tahun untuk tanaman getah.

"Sepanjang tempoh itu, Felda menawarkan pinjaman sebanyak RM1,000 sebulan untuk tahun pertama, RM1,200 (tahun kedua) dan RM1,300 (tahun ketiga dan seterusnya).

"Apabila kebun telah membuahkan hasil, maka pinjaman itu perlu dibayar secara ansuran sebanyak RM250 sebulan atau lebih rendah. Tempoh bayaran adalah 15 tahun dan pihak Felda mengenakan caj pengurusan sebanyak 6.25 peratus bagi tempoh 15 tahun.

"Ada pihak mendakwa 6.25 peratus itu adalah bunga ke atas pinjaman yang perlu dijelaskan pada setiap bulan. Itu tidak benar kerana jika dikira balik, peneroka hanya membayar 0.42 peratus caj pengurusan sebulan sahaja. Jadi, tidak timbul soal riba dalam perkara ini," jelasnya panjang lebar.

Selain itu, desakan pihak tertentu agar peneroka diberi kebebasan untuk mengurus sendiri kebun juga tidak berpijak di bumi nyata. Menurutnya, apabila kebun diurus sendiri, semua kos akan meningkat berbanding jika dibuat secara berkelompok.

"Misalnya, kalau beli baja secara berkelompok, harganya adalah RM300 setan, tetapi jika dibeli secara individu, harganya adalah RM400 setan. Mana lebih murah?" soalnya.

Lebih membimbangkan Felda apabila GSA 1960 dibubarkan, peneroka bebas berbuat apa sahaja terhadap kebun masing-masing termasuk memajak dan menjualnya.

"Mesti akan ada peneroka yang memajak tanah kepada orang luar semata-mata untuk mengaut untung dalam sekelip mata.

"Misalnya, memajak tanah 10 ekar pada harga RM25,000 untuk tempoh 25 tahun. Memanglah dapat duit sebanyak itu dalam masa yang singkat, tetapi kita perlu ingat, duit itu boleh habis dalam masa sehari dua.

"Apabila duit habis, tanah pula dah dipajak, kena tunggu 25 tahun untuk dapat balik tanah itu. Akhirnya, peneroka juga yang jatuh miskin," ujarnya.

Namun apa yang lebih membimbangkan apabila peneroka menjual tanah kerana mahukan wang segera.

"Apabila tanah sudah terjual, habislah segalanya tergadai. Apa lagi nak dicari rezeki kerana tanah yang menjadi sumber rezeki telah beralih tuan," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya peneroka dan anak-anak peneroka bersyukur kerana mendapat peluang memperoleh tanah dan mengumpul harta menerusi Felda.

Berbanding dengan orang kampung, katanya, peneroka telah mendapat banyak faedah seperti pinjaman membesarkan rumah dengan bayaran balik tanpa faedah; tabung bantuan kebajikan untuk penyakit kronik, bencana alam dan alat bantuan; Skim Insentif Usahawan Felda dengan tambahan dana mencecah RM100 juta pada 2006; peruntukan untuk pertubuhan belia; faedah kematian RM10,000; sumbangan hari raya sebanyak RM350 untuk satu keluarga; bantuan pelajaran tinggi; projek perumahan warga Felda, misalnya di Taman Mempaga Utama dan Bukit Goh Perdana di Pahang.

"Rumah teres tiga bilik khas untuk warga Felda dijual pada harga RM35,000 seunit, sedangkan harga pasaran adalah RM55,000 hingga RM60,000 seunit. Ini bermakna Felda menanggung kos sebanyak RM20,000 hingga RM25,000 bagi setiap unit rumah yang dibeli oleh warga Felda.

"Cuba tengok orang lain, adakah mereka dapat manfaat seperti ini?," soalnya.

Sementara itu, mengulas desakan supaya kawasan ladang Felda seluas 331,375 hektar diserap masuk ke dalam kawasan berpeneroka, Mohamad berkata, ia tidak boleh dilaksanakan kerana jika itu berlaku, maka pihak Felda tidak mempunyai dana untuk membiayai kos infrastruktur, bonus peneroka, gaji kakitangan, mengisi dana pinjaman pelajaran, usahawan dan lain-lain yang kesemuanya diperoleh daripada hasil jualan dari kawasan ladang Felda.

"Luas kawasan berpeneroka adalah 521,938 hektar dan kesemua hasil dari kawasan itu dinikmati oleh peneroka sepenuhnya.

"Sebab itulah, Felda membuka kawasan ladangnya sendiri yang pekerjanya terdiri daripada orang luar untuk mendapatkan hasil bagi membiayai perkara di atas.

"Jika ia diserap ke dalam kawasan berpeneroka, Felda tidak mempunyai pendapatan lagi, dan kesemua perkara tadi tidak dapat dibiayai termasuk bonus untuk peneroka," ujarnya.

Dalam aspek pendidikan pula, katanya, anak-anak peneroka yang cemerlang menikmati pelbagai kemudahan termasuk menginap di Asrama Semai Bakti Felda.

"Felda menempatkan mereka di sekolah-sekolah terbaik di bandar-bandar yang mempunyai asrama tersebut. Terbaru, sebuah MRSM Felda dibuka di Trolak, Perak pada Januari lalu. Setakat ini, terdapat 742 pelajar di situ," jelasnya.

Beliau berharap, penjelasan ini dapat menyedarkan peneroka terutama generasi kedua betapa mereka beruntung kerana membesar dengan menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Felda.

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger