BAGAIMANAKAH hendak menyampaikan "mesej" imam kota suci Mekah kepada Mursyidul Am Pas? Demikian satu soalan berlegar dalam kepala sambil saya memandu kereta dalam perjalanan pulang setelah menunaikan solat tarawih di Surau Alhuda, Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin pada minggu pertama bulan puasa yang lalu.
Pada malam itu, Sheikh Idris Ismail Al-Hafiz, yang menjadi Imam Tamu sepanjang bulan Ramadan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur telah berkenan berbuka puasa di Jabatan Pengarang Utusan Melayu dan mengimami solat tarawih di Surau Alhuda. Selepas solat tarawih beliau memberi usrah ringkas diikuti dengan sesi soal jawab.
Semasa sesi soal jawab itulah saya menangkap satu pesanan ringkas (nasihat) Sheikh Idris yang saya rasa sangat bermanfaat untuk diingat dan diamalkan demi perbaikan diri dalam konteks sosial sehari-hari dan demi pengukuhan iman kepada Ilahi.
Saya percaya nasihat yang terkandung dalam usrah Sheikh Idris itu wajar juga dijadikan iktibar untuk perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam. Dalam konteks itulah saya teringat Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang saya anggap memegang peranan yang sangat 'genting' (bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk mewujudkan perpaduan bangsa Melayu yang sekarang berpecah belah.
Inti pati pesanan imam Mekah itu ialah supaya umat Islam mengamalkan "sikap pemaaf" dan membebaskan diri daripada belenggu membalas dendam. Ini sesuai dengan pengajaran orang tua-tua Melayu: "Ambil yang jernih, buang yang keruh."
Sheikh Idris menceritakan kisah seorang awam di zaman Nabi yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah akan masuk syurga dengan mudah. Kenyataan Rasulullah itu mendorong beberapa orang sahabat untuk berusaha "mencungkil rahsia" (ibadat-ibadat istimewa) orang awam tersebut.
Setelah "mengintai-intai" (mengamati) amalannya sehari-hari yang ternyata tidak ada yang luar biasa, individu berkenaan ditanya apakah amalan-amalan lain yang dilakukannya sehingga Rasulullah berkata bahawa dia akan masuk syurga dengan mudah.
Jawapannya: "Tidak ada amalan yang luar biasa yang saya lakukan. Tetapi barangkali yang agak berlainan daripada kebanyakan orang ialah sebelum tidur di waktu malam, saya mengingatkan diri saya supaya memaafkan siapa sahaja yang bersalah kepada saya walau apa pun kesalahannya."
Mentafsirkan lebih lanjut kisah "orang awam yang pemaaf" itu, saya tiba-tiba menyedari betapa kita sebagai umat Islam senantiasa beristighfar, memohon ampun dan kemaafan daripada Allah SWT atas segala dosa dan kekhilafan kita.
Tetapi pada masa yang sama ramai dalam kalangan kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain. Sebaliknya kita terus menaruh dendam dan mengungkit-ungkit kesalahan masa lalu yang dilakukan orang lain terhadap kita.
Menyedari hakikat itulah saya cuba bermuhasabah dan mengambil satu resolusi sempena bulan puasa lalu untuk menjadi seorang yang lebih "pemaaf". Demikianlah sepanjang bulan Ramadan, selain daripada berlapar di siang hari saya dengan bersungguh-sungguh melatih diri menjadi seorang yang "pemaaf" dan "penyabar."
Kemudian, pada minggu kedua bulan Syawal saya berada di Bandung, Indonesia dan kebetulan sempat membaca satu rencana berjudul "Halalbilhalal, Belajar Saling Memaafkan", hasil tulisan seorang guru sekolah bernama Suleha, dalam akhbar harian Pikiran Rakyat.
Setelah membaca artikel itu, "azam Ramadan" saya untuk menjadi seorang yang lebih "pemaaf" dan lebih "penyabar" berkat usrah ringkas Sheikh Idris tersebut menjadi lebih teguh. Dan pada masa yang sama hasrat untuk menyampaikan "mesej" Sheikh Idris kepada Tuan Guru Nik Aziz, juga menjadi semakin kuat.
Penulis Suleha memulakan artikelnya dengan memetik pandangan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mengatakan: "Amal yang paling disenangi Allah SWT ada tiga. Memberi maaf sewaktu sempat membalas dendam. Berlaku adil sewaktu berada dalam keadaan emosional. Dan menaruh belas kasihan terhadap sesama hamba Allah."
Dengan itu dapat dirumuskan bahawa usrah ringkas Sheikh Idris di Surau Alhuda itu mempunyai semangat dan kandungan yang sama dengan karangan Suleha. Kedua-duanya menyeru kepada peningkatan ukhuwah dan silaturahim, peningkatan persefahaman dan saling memaafkan.
Alangkah beruntungnya bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia sekiranya seruan tersebut disambut secara positif oleh pimpinan dua parti Islam terbesar di negara ini: UMNO dan Pas.
Perlu diingat bahawa di suatu masa dahulu Pas dan UMNO bekerjasama secara produktif atau bersaing secara sihat untuk kesejahteraan dan kemajuan bangsa Melayu dan umat Islam. Tetapi sejak akhir-akhir ini, antara kedua-dua parti politik ini berlaku pertengkaran yang merugikan bagaikan menang jadi arang, kalah jadi abu.
Menyedari hakikat itulah kita wajib menyampaikan kepada pimpinan kedua parti tentang semangat dan kandungan usrah ringkas Sheikh Idris dan huraian penulis Suleha mengenai semangat bermaaf-maafan itu. Dan secara khusus barangkali seruan perlu ditujukan kepada Nik Aziz supaya melupakan "dendamnya" terhadap UMNO.
0 comments:
Post a Comment