Headlines News :

Latest Post

Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Langkah Pertama Untuk Kebebasan Media

Written By Scud on Thursday, September 22, 2011 | 3:18 PM

PENTADBIRAN Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjanjikan transformasi politik dan ekonomi nampaknya belum lagi bersedia untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, sama seperti yang ingin dilakukan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan beberapa akta lain yang dianggap mengongkong.

Buat waktu ini kesediaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-6 itu hanyalah untuk memanjangkan hayat permit penerbitan, yang diberi di bawah akta tersebut. Di bawah peraturan yang ada sekarang, seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 12 (1) AMCP kesahan lesen/permit penerbitan adalah untuk tempoh 12 bulan dari tarikh diberi atau dikeluarkan.

Selepas tempoh itu berakhir, permit penerbitan itu – baik untuk akhbar atau majalah atau penerbitan berkala yang lain, perlu diperbaharui dengan sedikit bayaran yang kuantumnya ditentukan oleh kekerapan ia diterbitkan. Yuran tahunan yang dikenakan bagi akhbar harian ialah RM3,000 manakala majalah bulanan pula RM400.

Pembaharuan tahunan permit penerbitan itu juga bukanlah sesuatu yang automatik. Pemegang permit perlu mengemukakan permohonan. Permohonannya boleh ditolak oleh menteri yang bertanggungjawab. Dalam kes-kes tertentu, kesahan permit penerbitan itu juga boleh jadi lebih singkat, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan sewaktu permit dikeluarkan.

Dalam kes yang ekstrem pula, ada permit penerbitan, atas sebab-sebab tertentu seperti yang telah digariskan oleh AMCP, digantung atau dibatalkan. Dalam sejarah persuratkhabaran negara, akhbar-akhbar The Star, Sin Chew, Watan, Suara Rakyat, Sarawak Tribune, Makkal Osai pernah digantung permit penerbitan mereka kerana menyiarkan tulisan-tulisan yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kemoralan.

Di bawah pindaan yang dijanjikan oleh Najib dalam ucapan sempena menyambut Hari Malaysia ke-48 pada 15 September 2011, permit penerbitan – sebaik-baik sahaja dikeluarkan adalah untuk selama-lamanya kecuali ia dibatalkan oleh pihak berkuasa. Pembaharuan tahunan, seperti yang diamalkan sekarang, tidak lagi diperlukan.

Seperti yang dijangka, pengumuman Najib itu disambut dengan reaksi yang bercampur baur. Para pengarang akhbar dan majalah ada yang melompat kegembiraan apabila diberi jaminan yang permit penerbitan untuk mereka tidak lagi perlu diperharui secara tahunan.

Tetapi pada waktu yang sama ada juga kalangan yang berpandangan apa yang dijanjikan oleh Najib itu adalah langkah kecil yang superficial dan tidak menggambarkan transformasi politik dan ekonomi yang mahu dilaksanakan. Mereka berpendapat seiring dengan pindaan yang mahu dibuat terhadap AMCP, mereka juga mahu melihat bahawa kuasa pembatalan permit yang berstatus kekal itu dibuat dengan cara yang lebih telus.

Kuasa menteri di bawah peraturan sekarang adalah mutlak. Keputusan yang telah dibuat, termasuk menolak pemberian permit penerbitan tidak boleh dicabar di mahkamah. Lalu ada yang mencadangkan supaya kuasa mutlak menteri itu hendaklah turut dimansuhkan dan digantikan dengan suatu sistem yang lebih terbuka dan bertamadun.

Mana-mana penerbitan yang permitnya digantung atau dibatalkan hendaklah diberi ruang untuk mengemukakan rayuan kepada pihak ketiga yang tiada kaitan dengan cabang eksekutif – dalam kes ini tentulah mahkamah.

Dengan itu kaedah check and balance, yang memang dituntut oleh sebuah demokrasi yang matang, boleh beroperasi sepenuhnya. Lagi pun seperti yang berulang kali dinyatakan oleh Perdana Menteri, sendiri era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir. Maka itu, pertimbangan daripada pihak kehakiman berkait dengan pembatalan permit penerbitan itu, jika ia mahu dilakukan juga, dirasakan wajar.

Ada juga pandangan, jika kerajaan benar-benar serius untuk melakukan pembaharuan politik khususnya dalam kerangka untuk mewujudkan sebuah masyarakat demokratik yang matang seperti yang dihasratkan oleh Wawasan 2020, ia patut memikirkan untuk berhijrah kepada sistem penerbitan akhbar dan majalah tanpa permit penerbitan.

Siapa juga yang ingin menerbitkan akhbar dan majalah bebas berbuat demikian asalkan ia diusahakan oleh sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Serahkan kelangsungan hidup sesebuah penerbitan itu kepada pasaran, bukannya kerajaan. Serahkan hala tuju dasar editorial sesebuah penerbitan itu kepada pemiliknya dan para pengarangnya yang profesional dan berpegang kepada kewartawanan yang bertanggungjawab bukannya AMCP atau garis panduan khusus yang digubal oleh KDN untuk membantu mengawal selia media cetak.

Organisasi persuratkhabaran dan majalah adalah entiti perniagaan yang masa depannya ditentukan untung rugi syarikat.

Jika benar ada antara mereka melakukan kesalahan, mereka boleh didakwa menggunakan pelbagai undang-undang lain, baik yang mengawal media secara langsung atau tidak langsung.

Ini termasuklah Akta Hasutan, 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hakcipta 1987, Akta Fitnah 1957, Akta Iklan Lucah, 1953, Akta Percetakan Teks Al-Quran, 1986, Akta Perubatan (Iklan dan Jualan), 1956, Akta Paten 1983, Akta Penapisan Filem 1952, Akta Polis 1967, Kanun Keseksaan dan dua undang-undang baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Bergantung pada kesalahan yang dilakukan, media dan penerbitan juga boleh didakwa antara lain di bawah Akta Syarikat 1965, Akta Perpustakaan Negara, 1972, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959, Akta Arkib Negara 1966.

Memandangkan terdapat begitu banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk mendisiplinkan media, maka kalangan pengamal media cetak ada yang berpendapat bahawa apa yang patut dilakukan oleh kerajaan selepas ini bukan sekadar meminda AMCP secara adhoc, tetapi secara komprehensif. Ini termasuk mempertimbangkan kemungkinan memansuhkan AMCP sama sekali.

Bagi mereka pengekalan AMCP hanya melambangkan sikap double standard kerajaan terhadap kebebasan media. Media cetak – akhbar dan majalah khususnya masih dikawal menerusi akta itu dan satu garis panduan khusus yang telah digubal di bawah AMCP, manakala portal berita dan media sosial yang lain bebas untuk melaporkan apa sahaja, termasuk pembohongan dan tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka.

Malah kekangan AMCP itu kini didakwa menjejaskan kewibawaan akhbar-akhbar itu sendiri di kaca mata audiennya, menyebabkan berlakunya penghijrahan pembaca ke portal berita. Persepsinya di sini adalah selagi ada AMCP, media khususnya akhbar dan majalah sebenarnya berada di bawah telunjuk kerajaan, walaupun kita tahu persepsi itu tidak tepat seratus peratus.

Ini kerana dasar editorial sesebuah penerbitan itu sebenarnya ditentukan dan dicorakkan bukan oleh AMCP tetapi oleh tuan empunyanya. Tetapi selagi persepsi ini wujud, selagi itulah kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia kekal terperosok di tangga terendah.

Atas sebab-sebab itu ada yang mencadangkan selain memansuhkan AMCP, beberapa akta lain yang turut mengongkong pengaliran maklumat turut dijadikan sejarah. Secara lebih spesifik yang disebut adalah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tiga orang wartawan pernah didakwa mengikut akta itu pada 1985 kerana menggunakan bahan-bahan yang dianggap rahsia rasmi dalam penulisan berita dan rencana. Seorang wartawan telah didenda RM7,000 manakala dua yang lain masing-masing didenda RM10,000.

Agaknya sudah tiba masanya Akta Rahsia Rasmi 1972 itu digantikan dengan Akta Pengaliran Bebas Maklumat yang dianggap penting untuk membolehkan para wartawan memainkan peranannya dalam mengukuhkan demokrasi yang dianggap matang.

Selain itu, cadangan juga dibuat oleh sebilangan pengamal media supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus yang melindungi para wartawan daripada mendedahkan sumber atau pemberi maklumat yang digunakan untuk menghasilkan berita atau rencana khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kepentingan umum.

Beberapa buah negeri di Amerika Syarikat sudah pun mewujudkan undang-undang serupa itu yang dikenali sebagai shield law. Kongres negara itu juga sedang menimbang untuk mewujudkan akta yang sama pada peringkat Persekutuan.

Sudah tentu impian terakhir yang didambakan oleh pengamal media dalam perjuangannya, di mana juga termasuk di Malaysia adalah untuk melihat status kebebasan media itu dimaktubkan dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan sama seperti wujudnya apa yang dipanggil sebagai First Amendment dalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Dalam mengejar impian ini, kita henalah realistik. Perjuangan ini memerlukan ketabahan dan sudah tentu penuh dengan onak dan duri. Ia mengambil masa yang panjang. Kita kena ingat bahawa kota Rome atau malah Putrajaya yang berdiri gagah sekarang, tidak dibina dalam masa satu hari. Jika kita berpegang dengan ingatan ini, maka keputusan Najib untuk memansuhkan tempoh hayat tahunan permit penerbitan bolehlah dianggap sebagai langkah pertama ke arah mengejar cita-cita mewujudkan kebebasan media yang sejati.

Jual Kompleks PKNS: Labur Atau Lebur?


KEWUJUDAN Kompleks PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Shah Alam sinonim dengan pembangunan dan kemajuan bandar tersebut. Dari sebuah bandar kecil pada tahun 1970-an, Shah Alam muncul sebagai ibu negeri Selangor menggantikan Kuala Lumpur, yang bertukar tangan menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1974.

Kompleks tersebut adalah pemangkin kepada perkembangan Shah Alam, kota raya Melayu yang turut menempatkan Istana Bukit Kayangan, kegunaan rasmi Sultan Selangor.

Kompleks PKNS Shah Alam juga sinonim dengan kemunculan dan perkembangan Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudiannya meningkat menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM). Para mahasiswa dan siswazah ITM/UiTM pasti tidak dapat melepasi nostalgia dengan kompleks Melayu itu kerana di sanalah mereka bertumpu saban hari setelah kepenatan berkuliah.

Kompleks PKNS Shah Alam adalah pusat perniagaan usahawan kecil Melayu bertapak di bawah satu bumbung yang diurus sempurna oleh perbadanan tersebut. Di sana bermulanya, perniagaan kecil orang Melayu, perusahaan orang Melayu dan perkhidmatan orang Melayu.

Pendek kata, segala-galanya bermula di situ. Pemusatan tersebut juga merupakan timbal-balik kepada PKNS sendiri. Para peniaga kecil berkenaanlah yang selama ini telah menghidupkan kompleks tersebut sehingga ia bertahan sehingga ke hari ini.

Kini, para peniaga berkenaan yang telah menjadi ‘talian hayat’ kepada PKNS meneruskan nafasnya mungkin terpaksa berundur. Manakan tidak, mereka telah diberikan notis rasmi baru-baru ini mengenai kadar sewa yang bakal berkuatkuasa mulai Januari 2012.

Kenaikan kadar baharu itu tentulah atas nama pemodenan dan penambahbaikan yang dilakukan melalui pindah milik premis berkenaan kepada pemilik baharu.

Apakah pilihan yang ada pada para peniaga yang sedia ada di sana.

Pilihan yang pasti tentulah merintih seperti bait yang terdapat dalam lagu Warisan: “Air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang.”

Para peniaga dan pengusaha yang menjadi penerus kelangsungan PKNS selama ini mungkin terpaksa menjadi mangsa seperti mana bait-bait seterusnya dalam lagu Warisan iaitu: “Tergadai seluruh harta benda, Akibat sengketa sesamalah kita. Cinta lenyap di arus zaman.”

Pentadbiran kerajaan Selangor dan juga PKNS mungkin tidak setuju dengan pandangan ini kerana bagi mereka tiga buah aset meganya termasuk SACC Mall di Shah Alam dan ibu pejabatnya sendiri iaitu Menara PKNS di Petaling Jaya perlu dipindah milik untuk menjana pendapatan berganda.

Menurut Pengurus Korporat PKNS, Norhisham Mohd Ghouth kepada akhbar Sinar Harian kelmarin, tiga bangunan tersebut hanya mengalami proses pengambilalihan sebagai usaha PKNS untuk menjana pendapatan sedia ada menerusi pelaburan dalam Real Estate Investment Trust (REIT).

Ini bermakna aset-aset tersebut tidak dijual. Sebaliknya ia adalah usaha mereka untuk menaikkan nilai harta tersebut. Ringkasnya, ia adalah pelaburan!

Barangkali kerajaan negeri Selangor mencontohi ‘kepakaran’ kerajaan Kelantan dalam proses memindahkan para peniaga Melayu ke Kompleks Tok Guru di Kota Baru yang pastinya tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada para peniaga.

Tentu mereka juga telah mempelajari kaedah menyahkan para peniaga Melayu di Kompleks Komtar di atas kepintaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menggandakan kadar sewa atas nama penambahbaikan.

Sudah menjadi rahsia yang menjadi perbualan umum mengenai tindak-tanduk kerajaan negeri Selangor pimpinan DAP tetapi ditopengkan dengan Menteri Besar PKR, meleburkan pelaburan warisan seperti Yayasan Selangor. Cabang pendidikan khususnya untuk menaikkan tahap pencapaian anak-anak Melayu dari desa yang telah berjasa itu akan diundurkan.

Dua buah bangunan berjasa yang menjadi asrama pusat yayasan itu di Kampung Pandan, Kuala Lumpur bakal dikorbankan atas nama pelaburan juga.

Kononnya lokasinya yang dihimpit oleh pembangunan pelbagai tidak sesuai lagi sebagai asrama. Ironinya, beberapa buah sekolah di kawasan itu termasuk Sekolah Aminuddin Baki (SAB) tidak pula ditimpa masalah – kerana ia bukan milik Kerajaan Negeri Selangor. Jika sekolah-sekolah berkenaan milik Selangor, pasti akan dileburkan juga.

Kini giliran Kompleks PKNS. yang terletak di Seksyen 14 Shah Alam, dah lebur... Bila pula kompleks PKNS di Bangi akan menerima nasib yang sama...? Adakah Kompleks PKNS Bangi masih belum cukup tinggi nilainya sebelum ia menerima nasib yang sama! Atau, kompleks di Bangi itu akan dileburkan seiring dengan ‘pelaburan’ hartanah milik Yayasan Selangor di Klang kelak?

Patutkah Datuk Nik Aziz Nik Mat dipersalahkan di Kelantan atau Guan Eng di Pulau Pinang? Salah jugakah Tan Sri Khalid Ibrahim yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor. Atau, ada pihak lain yang patut disalahkan.

Buat masa ini kita ucapkan ‘tahniah’ terlebih dahulu kepada pengundi Melayu di Shah Alam dan Selangor amnya kerana kejayaan mereka membuka peluang kepada usaha menggadai apa sahaja yang boleh dijadikan wang! Mungkinkah Melayu terus layu...?

Pesan Imam Kota Suci Mekah

Written By Scud on Wednesday, September 21, 2011 | 9:23 PM

BAGAIMANAKAH hendak menyampaikan "mesej" imam kota suci Mekah kepada Mursyidul Am Pas? Demikian satu soalan berlegar dalam kepala sambil saya memandu kereta dalam perjalanan pulang setelah menunaikan solat tarawih di Surau Alhuda, Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin pada minggu pertama bulan puasa yang lalu.

Pada malam itu, Sheikh Idris Ismail Al-Hafiz, yang menjadi Imam Tamu sepanjang bulan Ramadan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur telah berkenan berbuka puasa di Jabatan Pengarang Utusan Melayu dan mengimami solat tarawih di Surau Alhuda. Selepas solat tarawih beliau memberi usrah ringkas diikuti dengan sesi soal jawab.

Semasa sesi soal jawab itulah saya menangkap satu pesanan ringkas (nasihat) Sheikh Idris yang saya rasa sangat bermanfaat untuk diingat dan diamalkan demi perbaikan diri dalam konteks sosial sehari-hari dan demi pengukuhan iman kepada Ilahi.

Saya percaya nasihat yang terkandung dalam usrah Sheikh Idris itu wajar juga dijadikan iktibar untuk perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam. Dalam konteks itulah saya teringat Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang saya anggap memegang peranan yang sangat 'genting' (bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk mewujudkan perpaduan bangsa Melayu yang sekarang berpecah belah.

Inti pati pesanan imam Mekah itu ialah supaya umat Islam mengamalkan "sikap pemaaf" dan membebaskan diri daripada belenggu membalas dendam. Ini sesuai dengan pengajaran orang tua-tua Melayu: "Ambil yang jernih, buang yang keruh."

Sheikh Idris menceritakan kisah seorang awam di zaman Nabi yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah akan masuk syurga dengan mudah. Kenyataan Rasulullah itu mendorong beberapa orang sahabat untuk berusaha "mencungkil rahsia" (ibadat-ibadat istimewa) orang awam tersebut.

Setelah "mengintai-intai" (mengamati) amalannya sehari-hari yang ternyata tidak ada yang luar biasa, individu berkenaan ditanya apakah amalan-amalan lain yang dilakukannya sehingga Rasulullah berkata bahawa dia akan masuk syurga dengan mudah.

Jawapannya: "Tidak ada amalan yang luar biasa yang saya lakukan. Tetapi barangkali yang agak berlainan daripada kebanyakan orang ialah sebelum tidur di waktu malam, saya mengingatkan diri saya supaya memaafkan siapa sahaja yang bersalah kepada saya walau apa pun kesalahannya."

Mentafsirkan lebih lanjut kisah "orang awam yang pemaaf" itu, saya tiba-tiba menyedari betapa kita sebagai umat Islam senantiasa beristighfar, memohon ampun dan kemaafan daripada Allah SWT atas segala dosa dan kekhilafan kita.

Tetapi pada masa yang sama ramai dalam kalangan kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain. Sebaliknya kita terus menaruh dendam dan mengungkit-ungkit kesalahan masa lalu yang dilakukan orang lain terhadap kita.

Menyedari hakikat itulah saya cuba bermuhasabah dan mengambil satu resolusi sempena bulan puasa lalu untuk menjadi seorang yang lebih "pemaaf". Demikianlah sepanjang bulan Ramadan, selain daripada berlapar di siang hari saya dengan bersungguh-sungguh melatih diri menjadi seorang yang "pemaaf" dan "penyabar."

Kemudian, pada minggu kedua bulan Syawal saya berada di Bandung, Indonesia dan kebetulan sempat membaca satu rencana berjudul "Halalbilhalal, Belajar Saling Memaafkan", hasil tulisan seorang guru sekolah bernama Suleha, dalam akhbar harian Pikiran Rakyat.

Setelah membaca artikel itu, "azam Ramadan" saya untuk menjadi seorang yang lebih "pemaaf" dan lebih "penyabar" berkat usrah ringkas Sheikh Idris tersebut menjadi lebih teguh. Dan pada masa yang sama hasrat untuk menyampaikan "mesej" Sheikh Idris kepada Tuan Guru Nik Aziz, juga menjadi semakin kuat.

Penulis Suleha memulakan artikelnya dengan memetik pandangan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mengatakan: "Amal yang paling disenangi Allah SWT ada tiga. Memberi maaf sewaktu sempat membalas dendam. Berlaku adil sewaktu berada dalam keadaan emosional. Dan menaruh belas kasihan terhadap sesama hamba Allah."

Dengan itu dapat dirumuskan bahawa usrah ringkas Sheikh Idris di Surau Alhuda itu mempunyai semangat dan kandungan yang sama dengan karangan Suleha. Kedua-duanya menyeru kepada peningkatan ukhuwah dan silaturahim, peningkatan persefahaman dan saling memaafkan.

Alangkah beruntungnya bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia sekiranya seruan tersebut disambut secara positif oleh pimpinan dua parti Islam terbesar di negara ini: UMNO dan Pas.

Perlu diingat bahawa di suatu masa dahulu Pas dan UMNO bekerjasama secara produktif atau bersaing secara sihat untuk kesejahteraan dan kemajuan bangsa Melayu dan umat Islam. Tetapi sejak akhir-akhir ini, antara kedua-dua parti politik ini berlaku pertengkaran yang merugikan bagaikan menang jadi arang, kalah jadi abu.

Menyedari hakikat itulah kita wajib menyampaikan kepada pimpinan kedua parti tentang semangat dan kandungan usrah ringkas Sheikh Idris dan huraian penulis Suleha mengenai semangat bermaaf-maafan itu. Dan secara khusus barangkali seruan perlu ditujukan kepada Nik Aziz supaya melupakan "dendamnya" terhadap UMNO.

Namewee Dilempar Nasi Lemak

MELIHAT reaksi orang ramai mengenai filem sulung arahan Namewee, Nasi Lemak 2.0 yang dikatakan mereka sebagai sebuah filem ‘komedi sosial’ yang baik lagi menghiburkan, ia tidak sedikit pun menarik minat saya untuk menonton filem tersebut.

Jika diberi tiket percuma pun, saya tidak mahu menonton filem ini, walaupun dibarisi oleh nama-nama selebriti handal yang saya kagumi seperti Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam dan Adibah Noor, apatah lagi melanggannya di Astro First apabila filem itu habis ditayangkan kelak.

Sebabnya, bukan kerana filem Nasi Lemak 2.0. Tetapi kerana si pengarah dan penulis skripnya yang banyak mengguris hati rakyat Malaysia sebelum ini.

Tentu kita belum dapat melupakan lagi, pemuda yang berasal dari Johor ini pernah dengan lagu Negarakuku, memperlekeh negara dan menghina wanita Islam bertudung dan azan subuh.

Selepas itu, dia atau nama sebenarnya Wee Meng Chee buat hal lagi dengan menghina TNB dan dalam lagu bertajuk Kawanku menghina Melayu dengan lirik ‘Melayu Balik Hutan Jadi Sakai’.

Dan ada lagi, dia membuat satu lagi klip video yang menghina Guru Besar dan Kementerian Pelajaran dengan perkataan-perkataan lucah.

Sekarang, Namewee melalui Nasi Lemak 2.0 pula menyifatkan, filem lakonannya itu adalah aspirasi 1Malaysia, yang melambangkan penyatuan dan perpaduan kaum di negara ini.

Alahai, dia pula bercakap pasal 1Malaysia. Adakah anak muda ini sedar, bukankah perpaduan di negara ini dipupuk dengan cara kita menghormati setiap kaum yang ada. Bukan dengan menghina dan memperlekehkan sesuatu kaum dan negaranya seperti yang disiarkan di YouTube.

Namun ‘perjalanan seni’ anak muda ini boleh disifatkan luar biasa, kerana setelah apa yang dilakukannya, peliknya dia masih diberi peluang berjumpa seorang menteri, dan tiada tindakan yang diambil terhadapnya.

Dan dia yang banyak ‘diberi muka’ ini juga dengan yakinnya mahu berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula untuk menyokongnya berkarya atas nama 1Malaysia.

Siapa dia Namewee ini, apa keistimewaan dan kekebalannya? Jawapannya, lelaki ini telah menyakiti hati ramai orang terutamanya orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Seperti yang ditegaskan, saya tiada masalah dengan filem Nasi Lemak 2.0. Saya menyokong filem tempatan dan tidak kisah mengeluarkan wang menonton filem Melayu di pawagam.

Apabila memperkatakan tentang filem berunsurkan 1Malaysia, bukan filem Nasi Lemak 2.0 sahaja mempunyai aspirasi ini. Saya juga telah menonton filem Estet di pawagam.

Estet arahan Mamat Khalid ini menggabungkan kehidupan semua kaum di negara ini yang saling hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain dalam sebuah kampung.

Dan saudara Mamat kita ini, tidak heboh pun dengan mengangkat filem tersebut sebagai filem 1Malaysia!

Akta Keselamatan Masyarakat Majmuk

AKTA Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang dimansuhkan baru-baru ini perlu digantikan dengan satu undang-undang baru yang khusus untuk melindungi kesejahteraan rakyat majmuk di Malaysia.

Negara memerlukan undang-undang baru ini untuk mencegah sensitiviti agama, kaum, bahasa, budaya dan ekonomi supaya tidak dijadikan punca konflik etnik (kaum) dan identiti (jati diri).

Undang-undang ini perlu bagi mengelakkan pertembungan minat yang boleh mencetuskan persengketaan agama dan kaum sehingga menggugat keselamatan nasional dan kelangsungan negara seperti yang pernah terjadi pada 13 Mei 1969.

Malaysia memerlukan undang-undang seperti ini kerana negara-negara membangun, termasuk di Asia, adalah "dibentuk untuk keselamatan dan kelangsungan (survival) negara tersebut" (Sity dan Zarina 2005:18).

Undang-undang ini juga penting kerana konflik etnik dan identiti adalah punca utama yang menyebabkan umat sejagat berasa terancam (Kaufman2008:201). Ini terbukti bila tahun 1990-an tercetus 50 konflik etnik berbanding dua sahaja konflik antarabangsa di serata dunia.

Contohnya adalah konflik etnik dan identiti di Bosnia Herzegovina yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik tahun 1990-an, dan di Somalia yang menyebabkan ratusan ribu manusia kebuluran dan terkorban hingga ke hari ini.

Lantaran inilah mulai awal 1990-an, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa sarjana kajian keselamatan memperluaskan konsep keselamatan supaya merangkumi pelbagai ancaman bukan tradisional, termasuk ancaman keselamatan insan, khususnya keselamatan masyarakat di negara majmuk.

PBB dan sarjana Eropah merangkumkan aspek keselamatan masyarakat ini di bawah konsep keselamatan insan dan keselamatan nasional kerana kebanyakan negara mutakhir ini lebih diancam oleh masalah dalaman, bukannya ancaman ketenteraan luaran.

Berdasarkan realiti inilah konsep keselamatan insan versi PBB memfokus kepada ancaman kronik seperti kebuluran, penyakit dan penindasan; dan ancaman serius terhadap kehidupan manusia di rumah, tempat kerja atau di dalam masyarakat (Paris 2000:89). Konsep keselamatan insan versi Eropah, pula adalah berbeza dengan versi PBB.

Walaupun ia menghuraikan aspek keselamatan ketenteraan, keselamatan ekonomi, keselamatan politik, keselamatan alam sekitar dan keselamatan masyarakat, huraian versi Eropah ini adalah dalam konteks keselamatan nasional dan kelangsungan sesebuah negara, khususnya negara majmuk.

Oleh itu, jika ISA mahu digantikan dengan akta baru, akta tersebut perlulah berasaskan konsep keselamatan insan, terutama sekali keselamatan masyarakat. Kerana keselamatan masyarakat adalah membabitkan masalah kaum dan jati diri yang boleh mengancam keselamatan nasional serta kelangsungan negara Malaysia.

Undang-undang keselamatan masyarakat ini wajar berpaksikan Perkara 10 (4) bagi mengawal isu-isu sensitif, termasuk mengenai kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11(4), Bahasa Melayu dalam Perkara 152, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang keselamatan masyarakat ini juga wajar bersandarkan kepada Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya bertujuan menentang tindakan "menggalakkan permusuhan antara kaum" yang mungkin menyebabkan keganasan di Malaysia sehingga mengancam ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat.

Cadangan ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 15 September 2011, bahawa dua akta baru yang akan menggantikan ISA adalah "bermatlamatkan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara."

Cadangan ini juga tidak bertentangan dengan prinsip serta amalan demokrasi di Malaysia kerana prinsip ini tidak akan bermakna dan amalan ini akan terancam jika keselamatan masyarakat diabaikan dan keselamatan nasional serta kelangsungan negara tidak dipelihara sepanjang masa.

Hakikatnya demikian sebab negara-negara maju yang kini cuba memaksa negara-negara membangun supaya mengamalkan prinsip hak asasi manusia sejagat dan prinsip demokrasi liberal pun pernah menindas umat manusia dengan dahsyatnya berasaskan kepada warna kulit serta mempunyai undang-undang yang disifatkan kurang demokratik.

Contohnya, Amerika Syarikat (AS) pernah mengamalkan perhambaan serta penindasan ke atas rakyatnya yang berketurunan Afrika dan berkulit hitam. Dalam tahun 1950-an, AS juga mempunyai Internal Security Act (ISA) 1950 yang juga dikenali sebagai Subversive Activities Control Act atau The McCarran Act.

Mutakhir ini, AS mempunyai Patriot Act (Akta Patriot) yang disifatkan sebagai mencanggahi prinsip hak-hak asasi manusia yang dikuatkuasakan demi keselamatan negaranya berikutan tragedi 11 September, di samping melakukan ethnic profiling terhadap umat Islam yang menjadi warganegaranya.

Britain pula mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan bagi menjamin keselamatan negaranya termasuk Broadcasting Act (Akta Penyiaran) 1981 dan 1990 serta Official Secret Act (Akta Rahsia Rasmi)1989.

Maka, rakyat Malaysia tidak wajar terpengaruh dengan konsep kemanusiaan, keadilan dan kesamarataan yang dipropagandakan oleh Barat, khususnya AS. Konsep ini adalah taktik mempengaruhi rakyat asing melakukan pertukaran kepimpinan supaya AS boleh menjadikan negara-negara terbabit sebagai satelit atau proksinya atas kepentingan geopolitiknya di abad ke-21.

Kesimpulannya, setelah ISA dimansuhkan, Malaysia memerlukan undang-undang baru untuk menjamin keselamatan masyarakat atau societal security di kalangan warganegaranya yang berbilang agama, bangsa, sosiobudaya dan tahap ekonomi.

Kerajaan Malaysia perlu menghimpunkan pakar keselamatan negara dan sarjana kajian keselamatan bukan tradisional daripada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menghalusi, memperincikan serta menggubal undang-undang ini secara menyeluruh dan berkesan.

Pembentukan undang-undang ini penting untuk mengelakkan masalah kaum dan jati diri sebab masalah ini adalah antara ancaman keselamatan insan yang serius dalam era selepas Perang Dingin, terutamanya di negara majmuk seperti Malaysia.

Kesederhanaan Tun Abdul Razak

Written By Scud on Thursday, July 7, 2011 | 2:06 PM

KUALA LUMPUR 6 Julai - Berbekalkan sebuah basikal dan tanpa mengira panas serta mendung, Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengorak langkah menyelami kehidupan penduduk luar bandar.

Sedikit pun beliau tidak rasa kekok mahupun malu untuk mengayuh basikal melintasi kawasan sawah padi, pertanian dan perumahan orang kampung.

Malah, dijadikan pula sebagai alternatif bagi anak sulung kepada Orang Kaya Indera Shahbandar Datuk Hussein Mohd. Taib dan Teh Fatimah Daud ini untuk mendekati rakyat.

Biarpun dilahirkan dalam keluarga bangsawan kerana bapanya adalah seorang daripada empat orang besar Diraja Pahang yang mempunyai hubungan erat dengan Istana Pahang, namun apa yang pasti tiada jurang atau unsur elitisme dalam keperibadian Tun Abdul Razak.

Justeru, tidak menghairankan apabila beliau yang juga digelar sebagai Bapa Pembangunan amat terkenal dengan sikap kesederhanaan biarpun telah menceburi bidang politik sehingga menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Keperibadian sederhananya itu turut terserlah apabila beliau sanggup menginap di hotel murah serta tidak akan menukar sesuatu perabot di kediaman rasminya, Sri Taman sekiranya masih boleh digunakan lagi.

Begitulah uniknya sikap Tun Abdul Razak yang tidak ada pada pemimpin lain ketika itu dan ini diakui sendiri Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun.

"Pengalaman sosialisasi beliau membesar di kampung selama 10 hingga 12 tahun membentuk sifat kesederhanaan dalam dirinya," kata Abdul Ghapa.

Dibesarkan di sebuah kawasan perkampungan kecil, Pulau Keladi, Pekan, bersama-sama anak penduduk kampung, akhirnya membentuk sahsiah 'kesederhanaan' yang kuat dalam diri beliau.

Malah, status 'anak bangsawan' tidak menghalang beliau bermain dan berkawan dengan anak miskin kampung. Apatah lagi, asas persekolahan Tun Abdul Razak bukanlah digilap di sebuah sekolah berstatus elit, tetapi hanya di Kampung Jambu Langgar yang agak jauh dari rumah datuknya sehingga terpaksa menapak sejauh empat kilometer setiap hari.

Melihat kesengsaraan dan kesempitan hidup rakan-rakannya, menyebabkan beliau turut sama tidak memakai kasut dan hanya berkaki ayam ke sekolah seperti mereka kerana tidak mahu adanya perbezaan miskin atau kaya.

"Percakapan, pakaian, pergaulan, pergi mengaji al-Quran dan bermain sawah, langsung tiada perbezaan dengan rakan-rakan sebayanya. Walaupun selepas Tun melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak), Raffles College, Singapura sekejap sahaja kerana Perang Dunia Kedua kemudian England, sikap kesederhanaannya masih utuh dan tidak berubah biarpun sudah bergaul dengan golongan elit.

"Jadi apabila Tun menjawat jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan kemudian terbabit dalam politik, beliau tidak berasa kekok dan boleh makan sekali serta bergaul dengan orang kampung. Pengalaman Tun ini berbeza dengan pemimpin lain kerana kebanyakan pemimpin ketika itu yang asal daripada golongan elit atau bangsawan membesar dengan ibu bapa, jadi unsur elitisme itu sudah ada.

"Berbanding dengan Tun yang membesar di kampung, elemen dan sikap elitisme tidak tumbuh bersama-sama dalam keperibadian beliau," katanya.

Pengalaman membesar di kampung, bukan sahaja membentuk sifat kesederhanaan dalam diri beliau, malah mewujudkan sikap prihatin tatkala melihat kesukaran dan kesempitan hidup masyarakat kampung terutama orang Melayu.

Tidak sekadar memandang atau merenung tanpa melakukan apa-apa, Abdul Ghapa berkata, pengalaman itu akhirnya mendorong Tun Abdul Razak komited mengubah kehidupan masyarakat luar bandar sekali gus bermatlamat memodenkan serta meningkatkan pendapatan mereka.

"Untuk membolehkan masyarakat luar bandar terbabit secara aktif dalam ekonomi moden, mereka mestilah dihubungkan dengan orang bandar melalui pembangunan infrastruktur. Bagi merealisasikan perkara ini, pemikiran orang kampung mesti diubah sehingga terbinanya 'scientific frame of mind'. Menurut Tun, kalau pemikiran orang kampung tidak diubah, apa pun program yang kerajaan laksanakan tidak akan berjaya.

"Semasa tahun 60-an bukan sahaja banyak projek pembangunan tetapi juga program berbentuk pentingnya kesedaran mengubah sikap telah digiatkan untuk mengubah cara-cara mereka berfikir. Menurut Tun Razak, usaha mengintegrasikan sains ke dalam kebudayaan kita semestinya menjadi tugas dan tanggungjawab baru bagi orang Melayu," katanya.

Ini kerana Tun Abdul Razak berpendapat hanya menerusi pengintegrasian sains, orang Melayu dapat berubah menjadi 'a new kind of economic man' dan mampu menyusun kegiatan ekonomi mereka secara besar-besaran dan berkesan.

Kesungguhan dan keprihatinan Tun Abdul Razak membantu masyarakat kampung menjana pendapatan lebih baik dapat dilihat sebaik sahaja beliau menggalas jawatan sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama, yang ketika itu Perdana Menteri adalah Tunku Abdul Rahman Putra.

Menurut Abdul Ghapa, MCKK yang diketahui umum ketika itu sebagai sebuah platform pengajian untuk golongan bangsawan dan elit, telah direformasikan oleh Tun Abdul Razak dengan membuka lembaran pintunya kepada orang Melayu bukan dari golongan tersebut untuk mendapat pendidikan di situ bagi mengubah kehidupan mereka.

Perjuangan beliau mengubah nasib masyarakat kampung semakin dekat apabila memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan seterusnya Perdana Menteri kedua pada tahun 1970.

Sikap kesederhanaan Tun Abdul Razak semasa pentadbirannya dari tahun 1970 sehingga 1976, tidak hanya tertumpu membantu masyarakat orang Melayu luar bandar, malah turut merangkumi pelbagai kaum.

Ini merujuk kepada segala keputusan dasar yang dibuat, beliau turut menekankan kepentingan kaum lain sehingga digelar sebagai 'Symphatetic Father of Nation' dalam sebuah majalah, 'Asia Yearbook' pada tahun 1974.

"Walaupun beliau membesar di kampung, Tun bukan ekstremis Melayu. Pendidikan di MCKK, luar negara, mempengaruhinya dalam membuat keputusan supaya tidak mementingkan sebelah pihak sahaja.

"Beliau juga bukanlah seorang pemimpin yang suka dominate. Ini kerana, beliau amat terkenal dengan kesediaan mendengar pelbagai pandangan daripada semua pihak dan ini dapat dilihat ketika memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Ketika itu, sarjana ekonomi daripada pelbagai aliran pemikiran telah dipanggil memberikan pandangan dan beliau membuat keputusan berdasarkan mana lebih praktikal.

"Semasa membuat keputusan, beliau menekankan matlamat DEB bukan sahaja membantu orang Melayu memperoleh peluang dalam pembangunan ekonomi tetapi juga memastikan kepentingan kaum bukan Melayu juga turut dilindungi dan ini menyebabkan pemimpin bukan Melayu boleh rapat dengan beliau," katanya.

Kesederhanaan Tun Abdul Razak bukan setakat dalam skop negara sahaja, malah merangkumi jalinan hubungan diplomatik dengan negara luar.

Tanpa mengira berlainan ideologi, Perdana Menteri kedua menerusi sikap pragmatiknya melihat faedah, sumbangan mahupun hasil yang boleh diperoleh daripada hubungan diplomatik terjalin khususnya dari sudut ekonomi negara untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

Abdul Ghapa berkata, kesederhanaan Tun Abdul Razak menjalinkan hubungan diplomatik, akhirnya mengeratkan hubungan dengan negara komunis di Eropah Timur, Soviet Union dan kemuncaknya dengan China pada tahun 1974 selepas beliau mengadakan lawatan ke China dan disambut mesra oleh Perdana Menteri China, Chou En-Lai.

"Sikap pragmatiknya membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada negara komunis dari sudut perdagangan, sains teknologi serta menjamin kedaulatan negara. Ini kerana, China memberi jaminan tidak akan mengganggu urusan dalam negara Malaysia khususnya berhubung dengan kegiatan pengganas komunis.

"Macam konfrontasi Indonesia yang berlaku ekoran daripada penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, sikap pragmatik beliau sedikit sebanyak telah membantu kepada usaha pembaikan hubungan persahabatan antara dua negara," katanya.

Biarpun negara selepas merdeka mewarisi sebuah jentera pentadbiran yang mantap dan ekonomi memberangsangkan daripada penjajah, namun terdapat dua masalah ketara iaitu agihan kekayaan tidak sama dan kelemahan kerajaan membina satu identiti kebangsaan di kalangan rakyat sehingga berlakunya peristiwa hitam, tragedi 13 Mei.

Ia ditambah menerusi pilihan raya yang diadakan pada 10 Mei 1969 di mana telah memberi satu tamparan kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina apabila MCA yang adalah anggota parti Perikatan kalah teruk dan UMNO meletakkan punca kekalahan Perikatan kepada MCA.

Bertitik-tolak dari situ, ada desakan daripada UMNO supaya menubuhkan kerajaan Melayu sahaja.

"Perikatan hilang sokongan. Orang Melayu makin ramai tidak menyokong, begitu juga dengan sokongan terhadap parti bukan Melayu, kerajaan hilang majoriti dua pertiga. Biarpun begitu, Tun tidak tunduk kepada desakan menubuhkan kerajaan Melayu sahaja dan ini sudah dilihat kesederhanaan beliau menjaga hubungan antara kaum.

"Proses memulihkan sokongan rakyat serta menjadikan Malaysia sebuah negara stabil telah bermula ketika beliau memegang jawatan sebagai pengarah Mageran (Majlis Gerakan Negara) yang ditubuhkan untuk memulihara keamanan selepas tragedi 13 Mei. Kemudian usaha menarik sokongan dilakukan secara berterusan sehinggalah beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan telah cuba menggabungkan parti politik pembangkang dengan Perikatan.

"Apabila dapat menggabungkan beberapa parti politik ketika itu, beliau menukarkan nama Perikatan kepada Barisan Nasional untuk mewujudkan kerajaan kuat dan stabil," katanya.

Menurut Abdul Ghapa, Perdana Menteri kedua itu percaya bahawa pembangunan ekonomi dan kestabilan politik di Malaysia hanya dapat diwujudkan melalui sebuah kerajaan yang kuat.

Bagi memastikan agihan kekayaan dapat diseimbangkan semua kaum, Tun Abdul Razak berpendapat sudah tiba masanya campur tangan kerajaan diperlukan dalam menangani permasalahan tersebut.

"Sebelum tahun 1969, kerajaan tidak banyak campur tangan dalam ekonomi dan ketika itu golongan swasta memainkan peranan utama dalam ekonomi negara. Mereka hanya melihat keuntungan dan tidak memberikan perhatian kepada soal pengagihan kekayaan secara adil.

"Atas sebab itu, beliau memperkenalkan DEB yang melibatkan penyertaan kerajaan bagi memastikan proses agihan kekayaan secara lebih adil berlaku. Lebih penting lagi, campur tangan kerajaan akan memberi peluang kepada bumiputera dan kaum lain dari sudut meningkatkan penguasaan ekonomi," katanya.

Berkaitan masalah kedua, membina identiti kebangsaan, Abdul Ghapa berkata Tun Abdul Razak telah mengambil langkah tegas menterjemahkan peruntukan dalam perlembagaan ke dalam dasar-dasar yang bersifat kebangsaan seperti membentuk dasar budaya kebangsaan, rukun negara dan dasar pendidikan sebagai teras kepada identiti kebangsaan Malaysia.

Melalui langkah itu, Tun Abdul Razak telah membina satu 'baseline' yang jelas dari sudut identiti negara yang terasnya adalah Melayu, seperti mana dimaktubkan dalam perlembagaan.

'Marker of identity' yang sudah ada dalam beberapa fasa Perlembagaan Negara seperti kedudukan Bahasa Melayu, kedudukan orang Melayu dan Raja-raja Melayu telah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai unsur penyatu kepada perpaduan rakyat negara ini.

"Tun Abdul Razak menegaskan sebagai sebuah negara pelbagai kaum, Malaysia selepas tragedi hitam itu (13 Mei 1969) amat memerlukan dasar yang jelas dan tegas dalam soal identiti," katanya. - BERNAMA

Menghargai Jasa Tun Abdul Razak

PEMBANGUNAN Felda Jengka Tiga Segi yang dicetuskan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berjaya meletakkan sektor perladangan negara sebagai entiti penting untuk membangunkan tamadun bangsa.

Bermula daripada sebuah kawasan hutan rimba yang 'dihuni' flora dan fauna, Felda Wilayah Jengka atau sebelum ini dikenali sebagai Tiga Segi Jengka kini mampu melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu, terancang dan moden.

Sebagai mengenang jasa pencetusnya, adalah amat tepat sekali Bandar Jengka diubah namanya kepada Bandar Tun Abdul Razak Jengka (BTARJ) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak hari ini.

Di bawah pentadbiran Najib, pelbagai pembaharuan dilaksanakan di tanah rancangan dan warga BTARJ tidak terkecuali daripada manfaat itu. Tidak kurang 60 pembaharuan dilaksanakan untuk faedah peneroka meliputi sosio-ekonomi dan pendidikan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan BTARJ sebagai bandar yang unik dan dianggap 'mini Malaysia' kerana warga penerokanya berasal dari seluruh negara yang menggunakan loghat berbeza dalam percakapan hariannya.

Penduduk dari Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Melaka bersatu di bawah satu pemerintahan yang diterajui Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

BTARJ mengandungi 25 tanah rancangan bermula dari Felda Jengka Satu hingga 25 manakala Felda Wilayah Jengka pula merupakan gabungan 37 tanah rancangan yang terletak dalam daerah Maran (26 rancangan), Jerantut (sembilan rancangan) dan Temerloh (dua rancangan).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, nama BTARJ dipilih atas kehendak warga tanah rancangan itu sendiri yang amat terhutang budi dengan jasa Tun Abdul Razak.

Justeru jelas beliau, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menyatakan persetujuan sekali gus mewartakan perubahan nama itu pada mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Oktober tahun lalu.

''Meskipun Felda Lurah Bilut di Bentong merupakan tanah rancangan Felda pertama di Pahang dan negara ini tetapi transformasi sebenar tanah rancangan adalah bermula di wilayah Tiga Segi Jengka.

''Perubahan nama itu juga sebagai tanda terima kasih terutama daripada golongan peneroka kepada Tun Abdul Razak yang banyak mencurah bakti dalam merubah kehidupan peneroka,'' jelasnya.

Mengimbau kembali pembukaan tanah rancangan Felda di Pahang, kata beliau, persetujuan membuka tanah untuk diserahkan kepada peneroka dari seluruh negara merupakan pengorbanan ' jihad' kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri, ujarnya, amat berbangga kerana masyarakat peneroka Felda mengamalkan prinsip 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung' sekali gus membantu membangunkan ekonomi negeri ini.

''Kemajuan pesat BTARJ yang diusahakan dengan kelapa sawit dan getah menjadi terkenal di kalangan pemimpin dunia yang ingin menjadikan Jengka sebagai model pembangunan di negara mereka,'' katanya.

Pengurus Besar Wilayah Jengka, Saari Din pula berkata, keluasan keseluruhan tanah rancangan di Jengka adalah 64,117.05 hektar membabitkan seramai 14,957 peneroka di 37 tanah rancangan.

Dari segi pembahagian tanah rancangan mengikut Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau memberitahu, ia merangkumi tiga kawasan Parlimen dan tujuh DUN. Parlimen Jerantut mengandungi tanah rancangan terbanyak iaitu 14 buah diikuti Parlimen Kuala Krau (12 ), dan Maran ( 11 ).


Menurut Saari, struktur pentadbiran tanah rancangan masih mengekalkan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan rancangan (JKKR) di samping beberapa kawasan menubuhkan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) mulai 1 Julai 1998.

''Antara rancangan yang mewujudkan JKKK termasuk Gugusan Felda Jengka 1, 2, 3, 4, 5, 9 dan 10 selain Felda Sungai Nerek, Felda Kampung Awah, Felda Hulu Jempol, Felda Sungai Tekam, Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Padang Piol,'' katanya.

Dari segi populasi, menurut beliau, majoriti peneroka berasal dari Pahang iaitu seramai 4,979 orang (33.3 Peratus) diikuti Kedah 2,247 orang (15 peratus), Perak 1,943 orang (13 peratus), Kelantan 1,697 orang (11.3 peratus) dan Selangor seramai 1,489 orang (9.9 peratus).

Menurut Saari, sebanyak 32 daripada 37 buah rancangan membabitkan 13,646 orang telah menerima hak milik tanah secara berperingkat yang disampaikan oleh Sultan Pahang, Najib dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sehingga kini, katanya, hanya lima tanah rancangan belum mendapat surat hak milik iaitu Felda Jengka 21, 22, 24, 25 dan Felda Kota Gelanggi 4 yang melibatkan peneroka seramai 1,311 orang.

Dalam bidang pendidikan, katanya, seramai 2,182 atau 2.6 peratus anak peneroka Jengka berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Menerusi pembaharuan yang dijalankan oleh Najib, tambah beliau, aspek pendidikan diberi keutamaan seperti membiayai kelas Tuisyen Felda (STF) dan kelas khas bahasa Inggeris dan Matematik membabitkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta yang membabitkan pelajar seramai 6,896 orang.

Selaku agensi pembangunan yang diberi tugas besar oleh kerajaan, Saari memberitahu, Felda menyusun pelbagai perancangan strategik untuk membolehkan tanah rancangan sebagai tempat selesa untuk didiami dan dikunjungi.

Katanya, langkah utama digerakkan adalah meminta kerjasama semua pengurus tanah rancangan memberi tumpuan utama terhadap aspek keceriaan membabitkan halaman rumah dan persekitarannya.

Selain itu, jelas Saari, di bawah Najib, usaha menangani pengangguran di kalangan generasi baru Felda turut dipergiatkan.

Bagi Skim Insentif Usahawan Felda (SIUF), jelas beliau, seramai 291 usahawan memperoleh pinjaman mudah membabitkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, sebanyak RM7.2 juta dikeluarkan kepada 306 peneroka di bawah Skim Pinjaman Pembesaran Rumah sebagai usaha mewujudkan situasi kediaman yang selesa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said berkata, peneroka Felda merupakan golongan bertuah kerana terpilih menyertai tanah rancangan itu yang kini telah memberi anjakan kehidupan yang jauh berbeza berbanding ketika tinggal di kampung.

Dalam meniti zaman, BTARJ semakin pesat membangun apatah lagi dengan wujudnya Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Pahang yang meletakkannya berstatus bandar ilmu selain pelbagai institusi kewangan dan premis komersial yang sejajar dengan pertambahan penduduk,

Status BTARJ milik bumiputera harus dipertahankan kerana ia menjadi 'lubuk emas' kepada peniaga bumiputera yang bijak mengeksploitasi peluang ekonomi.

Berbilion Dana Demi Peneroka

Written By Scud on Wednesday, July 6, 2011 | 12:51 PM

TARIKH 7 Julai, amat bermakna bagi ratusan ribu warga peneroka Felda di seluruh negara kerana ia merupakan hari bagi menghargai sumbangan mereka ini kepada negara. Bermula dengan poket kosong, makan pagi kais pagi, makan petang kais petang, kehidupan golongan peneroka satu ketika dulu amat sengsara.

Namun setelah 55 tahun berlalu, nasib mereka masa kini jauh amat berbeza, malah ada yang bergelar jutawan.

Di sebalik kejayaan golongan peneroka itu, banyak cerita yang tersirat ketika kerajaan mula-mula memperkenalkan tanah rancangan Felda puluhan tahun lalu.

Untuk menyingkap sebahagian apa yang tersirat itu, penulis berpeluang mewawancara Pengarah Besar Felda, Datuk Dzukifli Abd. Wahab. Sebaik sahaja bertemu beliau, soalan pertama diajukan ialah ‘‘bagaimana kehidupan para peneroka Felda masa kini’’.

Termenung sejenak memikirkan perubahan hidup para peneroka, Dzulkifli perlahan- lahan berkata: ‘‘Apakah tuan-tuan mengetahui, ramai kalangan peneroka Felda kini kehidupan mereka jauh lebih baik berbanding jawatan saya ini sebagai Pengarah Besar Felda.’’

Jawapan ringkas tetapi penuh bermakna daripada Dzulkifli itu menggambarkan satu perubahan amat besar kepada kehidupan peneroka.

Dulu generasi pertama peneroka Felda hidup sangat susah dengan serba kekurangan. Mereka bermula dengan tangan kosong dan dibawa dari seluruh pelosok negara dan dikumpulkan di kawasan hutan belantara semata-mata untuk membela nasib mereka.

Untuk membuka tanah rancangan di Jengka, Pahang sahaja pada tahun 1965 (iaitu selepas merdeka), kerajaan dengan berani membuat pinjaman daripada Bank Dunia.

Sebanyak AS$52 juta (kira-kira RM250 juta ketika itu) dipinjam, ia amat besar jumlahnya berdasarkan negara baharu sahaja merdeka.

Kerajaan ketika itu turut mengeluarkan peruntukan tambahan hingga menjadikan pembukaan projek tanah rancangan Felda di Jengka mencecah kira-kira RM347 juta.

Ramai yang tidak sedar, ketika itu kerajaan sanggup meminjam semata-mata mahu mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan hidup.

Untuk meminjam daripada Bank Dunia, pihak bank pada awalnya sukar mempercayai kemampuan kerajaan Malaysia hendak menjadikan kawasan hutan belantara sebagai penempatan baru dan membuka ladang.

Namun, akhirnya pinjaman itu diluluskan juga setelah Bank Dunia menghantar wakil bagi meninjau rancangan kerajaan tersebut.

Mengupas jawapan beliau tadi, Dzulkifli berkata, ada rumah peneroka Felda kini lebih besar dan cantik berbanding rumah beliau (Dzulkifli) sendiri.

‘‘Ini menunjukkan kemampuan mereka setelah menyertai tanah rancangan Felda. Kehidupan mereka lebih baik berbanding saya yang makan gaji dengan gred yang tinggi,’’ katanya.

Namun, Dzulkifli agak terkilan, pelbagai kejayaan dicapai itu tidak dihargai oleh segelintir peneroka yang mudah termakan hasutan pihak luar.

‘‘Kita buka beberapa lagi tanah rancangan selepas Jengka. Semuanya untuk keluarkan rakyat daripada kemiskinan hidup. Ramai peneroka berjaya dalam hidup mereka, tetapi segelintir tak berjaya itu kerana apa? Segelintir ini pula termakan hasutan hingga bertindak saman Felda,’’ katanya.

Dzulkifli membayangkan, tindakan segelintir peneroka yang vokal itu boleh menghancurkan usaha bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang memperkenalkan entiti Felda kepada rakyat.

Berbalik kepada peruntukan RM347 juta untuk pembukaan Jengka itu, jika dinilai peruntukan pada masa ini bolehlah dianggarkan sekitar RM20 bilion. Bayangkanlah besarnya jumlah pinjaman dan peruntukan itu hanya semata-mata nak tolong para peneroka.

Menjawab pertanyaan, Dzulkifli berkata, pinjaman kerajaan pada pihak luar negara bagi membangunkan tanah rancangan Felda bukanlah perkara baru malah telah dibuat sejak puluhan tahun lalu.

‘‘Tapi ramai juga yang tidak tahu, pinjaman itu telah kira selesaikan pada tahun 2000 walaupun syarat dikenakan ia perlu dijelaskan pada 2013. Kerajaan juga telah buat pinjaman RM4.95 bilion untuk tanah rancangan di Johor Tenggara. Pinjaman ini juga telah kita selesai tahun 2000 iaitu 13 tahun lebih awal,’’ katanya.

Mengenai tindakan segelintir peneroka bertindak menyaman Felda di mahkamah, beliau berkata, mereka berbuat demikian kerana hasutan. Katanya, peneroka terbabit kebanyakannya tidak lagi menguruskan sendiri ladang mereka tetapi mengupah pekerja asing.

‘‘Kita tahu, kini ramai kalangan peneroka generasi pertama tidak lagi bekerja atau menguruskan ladang masing-masing. Mereka sudah mengupah para pekerja asing disebabkan kehidupan mereka bertambah baik dengan pendapatan lumayan,’’ katanya.

Apabila ini berlaku. peneroka terbabit tidak tahu apa sebenarnya berlaku di ladang-ladang. Jika masa dahulu, kalangan peneroka sendiri yang mengusahakan ladang, maka tumpuan dibuat lebih kepada kualiti buah.

Namun sekarang, apabila sudah mengupah buruh asing, para pekerja ini lebih tertumpu kepada berat buah sawit. Apabila ini berlaku, bayaran dari hasil kadar perahan sawit juga berkurangan disebabkan buah sawit yang hasilkan kurang berkualiti.

Berikutan itu, ada kalangan peneroka tidak berpuas hati dengan bayaran diterima kerana beranggapan buah sawit yang dihantar ke kilang banyak tetapi mengapa pula bayaran diterima mereka (peneroka) berkurangan. Ini disusul pula dengan hasutan pihak luar hingga mendakwa Felda telah menipu para peneroka.

Dzulkifli berkata, pihaknya sentiasa bersemuka dengan para peneroka bagi memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

“Apabila diadakan penerangan mengenai perkara ini, bukan semua peneroka yang hadir. Jika mereka tidak hadir, penjelasan dan pemahaman tidak dapat diberi,’’ katanya.

Bagaimanapun katanya, Felda sentiasa bersedia memberi penerangan dan penjelasan supaya perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

‘‘Usaha memberi penjelasan itu tetap diteruskan kerana Felda percaya ia dapat diselesaikan,’’ katanya.

Ditanya lagi mengenai siapa yang bakal meraih keuntungan dari tindakan saman itu, Dzulkifli berkata: ‘‘Tuan-tuan pun boleh nilai sendiri, siapa yang untung nanti, peneroka ke atau pihak luar?’’

Sempena sambutan Hari Peneroka, Dzulkifli berkata, Felda dan kerajaan tidak pernah menganaktirikan mana-mana peneroka.

Felda tidak mendapat apa-apa kerana semua yang dilakukan adalah demi golongan peneroka. Ini dibuktikan melalui langkah kerajaan yang sanggup meminjam termasuk dari negara Kuwait dan Jepun, semata-mata demi kesejahteraan para peneroka.

Hasilnya juga dapat kita lihat bagaimanapun kehidupan para peneroka kini bertambah baik.

Mengakhiri wawancara itu, Dzulkifli hanya berpesan: ‘‘Renungkanlah, sama-samalah kita (peneroka) renungkan. Kita ada saluran dan sepatutnya mencari jalan penyelesaian terbaik. Siapa yang bakal untung jika para peneroka Felda berpecah-belah hanya disebabkan hasutan luar.”

Tidak salah UMNO suarakan isu kepentingan orang Melayu

Written By Scud on Friday, October 15, 2010 | 11:16 AM

TEMPOH tiga hari Perhimpunan Agung UMNO mulai Khamis ini perlu digunakan sepenuhnya untuk memperinci dan menjelaskan hala tuju baru kerajaan, khususnya Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Modul Baru Ekonomi serta Bajet 2011.

Semua program itu untuk memacu pembangunan membabitkan semua kawasan serta penduduk dan akhirnya muncul rakyat yang hidup makmur dan berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun lagi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perhimpunan kali ini penting kerana perwakilan perlukan penjelasan daripada Presiden sendiri, selain ingin tahu ruang dan peluang yang boleh disertai oleh orang Melayu dalam sektor yang dikenal pasti dalam semua projek berkenaan.

“Yang penting ialah penjelasan mengenai konsep 1Malaysia yang menjadi satu perkara yang agak pokok khususnya yang dinyatakan ahli UMNO yang kadang-kadang ada kebimbangan dan kekeliruan,” katanya ketika ditemui.

Tidak salah apabila perwakilan membangkitkan soal di mana kedudukan Melayu dan hak mereka dalam pelaksanaan 1Malaysia. Pada tahap ini, mereka jangan dianggap rasis apabila memperjuangkan bangsanya dan tidak boleh dituduh ekstremis semata-mata kerana mempertahankan amalan yang dituntut oleh ajaran Islam.

Namun UMNO dilihat ‘malang’ kerana ditampal oleh lawan dengan pelbagai label buruk sehingga apa juga tindakan parti bersifat perkauman. Pada masa sama, UMNO dalam dilema untuk mempertahan atau memperkatakan sesuatu kerana menjaga hati pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) lain.

Mengulas tanggapan itu, Shafie berkata, parti pembangkang turut terbabit dalam pembentukan persepsi buruk terhadap 1Malaysia untuk mencari sokongan dan meraih laba politik.
“Dalam konteks ini, ia bukan perkauman. Jangan sekali-kali kita mentafsirkan bila kita memperjuangkan bangsa dan agama, ia akan (menjadi) perkauman.

“Apabila kita mempertahankan Islam, kita bukan ekstremis tetapi (ada) salah tanggapan apabila ada amalan (tertentu) dikatakan dia ini ekstremis. Kita (hanya) nak supaya amalan yang dituntut oleh agama itu dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya. Tetapi jangan ada tanggapan bahawa itu adalah tindakan ekstrem,” katanya.

Dari perspektif UMNO, beliau berkata, tidak salah apabila parti menyuarakan mengenai keperluan orang Melayu dan ahlinya yang rata-rata orang Melayu.

“Dapat atau tidak, itu perkara penting. Bukan bererti apabila kita mengambil (hak) ini, kita mengambil hak orang lain. Kita tidak mengambil mana-mana bahagian yang menjadi hak orang lain,” katanya.

Beliau berkata, penjelasan Datuk Seri Najib Razak, melalui ucapan dasar Presiden perlu jelas dan berupaya meyakinkan ahli UMNO bahawa Gagasan 1Malaysia tidak akan menghakis perjuangan, hak serta pembelaan terhadap orang Melayu.

“Berulang kali dinyatakan ia (1Malaysia) berpaksikan pertamanya, perlembagaan dan kedua, terikat dengan inti pati program pembaharuan ekonomi dan transformasi iaitu bagaimana kita (kerajaan) hendak membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai sudut serta bidang yang dikenal pasti,” katanya.

Mengenai UMNO yang dikatakan lebih cenderung mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Shafie berkata, kajian semula akta itu memang mencetuskan pelbagai maklum balas tetapi bagi beliau tidak timbul soal ia perlu dimansuh atau dihapuskan.

“Kita yakin dalam kehidupan manusia di mana-mana (termasuk) di negara maju (seperti) Amerika Syarikat dan United Kingdom, masih ada lagi undang-undang yang lebih ketat daripada apa yang kita lakukan (ISA),” katanya.

Apa yang penting, kata Shafie, kita tidak mahu rakyat sendiri mahupun masyarakat antarabangsa mempersoalkan kerajaan jika tercetus kejadian tidak diingini yang dilakukan kumpulan subversif kerana ketiadaan undang-undang membendungnya.

“Kalau tidak ada peraturan atau undang-undang untuk membolehkan tindakan, maka setiap tangkapan yang kemungkinan membabitkan subversif atau unsur-unsur yang boleh menghancurkan keselamatan negara, maka kita tidak akan berupaya,” katanya.

Justeru, katanya ISA bagi beliau masih relevan kalaupun perlu ada perubahan.

“Saya ingat bagus kalau ada perubahan untuk membolehkan kita sesuaikannya dalam keadaan hari ini. Tetapi untuk menghapuskannya saya rasa belum lagi. Pada pandangan peribadi saya, kita masih perlukan (ISA),” katanya.

Difahamkan, ada perwakilan UMNO akan mendesak kerajaan menunjukkan ketegasan dalam menangani isu perkauman dan agama kebelakangan ini.

“Ketegasan ini (perlu) bertempat. Dalam landskap politik yang ada ini, kita kena ada kebijaksanaan dalam menangani masalah. Kita yakin kukuhnya hubungan antara kaum ini perkara yang penting dan dekat dengan jiwa manusia,” katanya sambil menambah pendidikan sejarah penting dalam mewujudkan pemahaman dalam konteks itu.

Shafie turut tidak menafikan jika proses pemilihan barisan kepemimpinan UMNO tahun depan, ditangguhkan bagi membolehkan parti membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum.

“Yang itu kita tak buat keputusan lagi. Tetapi kalau mengikut lunas peraturannya, memang patutnya ada (pemilihan). Tetapi amalan yang dulu memang ada (pemilihan ditangguhkan),” katanya.

Ditanya sama ada kemungkinan untuk tidak menangguhkan pemilihan itu, beliau berkata: “Agak terlalu awal bagi saya untuk menyatakan perkara itu sama ada perlu atau tidak perlu.

Difahamkan, Najib juga cenderung untuk mengembalikan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri yang diperintah parti pembangkang kepada pemimpin di negeri masing-masing. Negeri terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan, selain Terengganu.

Mengulas perkembangan itu, Shafie yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, berkata proses itu berjalan lancar dan tidak menjadi masalah.
“Yang penting ialah supaya tumpuan dapat diberikan kepada pimpinan peringkat negeri sebab kita nak jaga banyak sangat. Kita juga yakin sudah sampai masa untuk kita meletakkan seseorang yang boleh diterima oleh pimpinan UMNO bahagian di negeri berkenaan,” katanya.

Mengenai ancaman terhadap tunas baru pemimpin pelapis atau individu berkepakaran khusus yang berminat menyertai parti, beliau berkata: “Kejayaan seseorang pemimpin itu bukan hanya kejayaannya melaksanakan kepemimpinan tetapi kejayaan bagaimana dia memilih siapa menjadi pewaris kepada perjuangannya. Jadi usaha mencari pelapis kepemimpinan adalah wajib dalam perjuangan itu!”

Turut kritikal kepada UMNO, katanya ialah menggembleng kepakaran Melayu dan menguruskannya dengan cara yang terbaik untuk mendapat inti pati pemikiran mereka.

Rezeki haram undang mudarat

Written By Scud on Friday, October 8, 2010 | 10:42 AM


SEPERTI yang diketahui umum, wang (pendapatan) daripada hasil judi, arak, bertenung nasib adalah haram hukumnya. Tetapi yang menimbulkan kekeliruan kepada saya yang mungkin masih cetek soal hukum hakam agama ialah ada pula yang mengatakan ia boleh dinikmati oleh orang Islam atas nama bantuan kebajikan. Mohon pihak ustaz menjelaskan perkara ini agar tidak menimbulkan kekeliruan yang lebih parah lagi?

JAWAPAN

Sekiranya orang Islam mengetahui bahawa rezeki atau duit yang mereka terima itu jelas daripada sumber yang haram maka haram bagi umat Islam memakannya.

Sumber atau hasil daripada judi boleh digunakan sekiranya orang Islam benar-benar dalam keadaan darurat. Darurat mestilah keadaannya sangat-sangat terdesak. Contohnya, tiada langsung sumber halal. Sekiranya tak terima yang haram akan mati kelaparan. Maka dalam keadaan sebegini Islam mengharuskan, dengan syarat dihalalkan yang haram sekadar untuk selamatkan nyawa. Jika duit haram itu dihonoriumkan adalah haram bagi orang Islam.

Ayat-ayat al-Quran serta riwayat-riwayat hadis dan athar para sahabat yang sentiasa menjadi rujukan, antaranya:

Hadis yang diriwayatkan dari Abu Bakar ra ada dua jalan, yang pertamanya yang bermaksud: "Tidak akan masuk ke dalam syurga daging yang tumbuh dari sumber wang yang nerakalah yang layak baginya." (riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya), manakala riwayat yang lain bermaksud: "Tidak akan masuk syurga tubuh badan yang membesar dengan sumber yang haram." (riwayat al-Khatib al-Tabriziy di dalam Miyskah al-Misbah).

Maksud hadis ini ialah tubuh badan atau daging yang membesar bersumberkan pendapatan haram maka di akhirat kelak sebagai balasan neraka jahanamlah tempat baginya sebagi balasan. Ini kerana Allah SWT mengharamkan setiap yang kotor serta sumber pendapatan yang melanggar syarak sebagai haram, sedang Allah SWT memerintahkan orang Islam hanya memakan yang baik lagi jelas halalnya.

Allah SWT memerintahkan hamba-hambanya yang benar-benar beriman agar menjadikan yang halal sahaja sebagai makan rutin harian. Ini kerana sumber rezeki atau pendapatan yang haram bukan sahaja melayakkan seseorang itu menjadi penghuni syurga bahkan turut memberi kesan kepada kelakuan manusia.

Allah SWT memerintah setiap Rasul-Nya agar makan yang halal lagi, supaya apa ditinggalkan oleh para Rasul menjadi ikutan bagi umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih, sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Mukminun: 51).

Dalam ayat yang lain Allah SWT menyeru manusia keseluruhannya, termasuk Rasul-rasul, orang yang beriman dan Allah SWT turut mengajak yang belum beriman agar makan makanan yang halal kerana ia lebih baik. Firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekelian manusia makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Di dalam riwayat yang disampaikan oleh Ibn Mardawaih daripada ibn Abbas ra, tatkala ayat ini dibaca oleh sahabat di hadapan Rsulullah SAW, maka berdirilah Sa'ad bin Abi Waqqash. Dia memohon kepada Rasulullah supaya baginda memohon kepada Allah agar apa sahaja yang dipohon melalui doa oleh Sa'ad dikabulkan Allah. Maka baginda bersabda yang bermaksud: Wahai Sa'ad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah orang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad berada pada takdir-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang menyuapkan suatu yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan sesiapa di hamba Allah yang membesar dagingnya dari sumber yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik untuknya. (Disebut oleh al-Haithamiy di dalam al-Majma', jld:10, hlm:291, juga lihat; al-Munziriy, al-Targhib, jld:2, hlm:547. Hadis ini darjatnya lemah)

Ibn Kathir berpandangan: "Makanan yang yang baik untuk badan hendaklah makanan yang tidak memudaratkan jasad dan memudaratkan akal…" (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:1, hlm:434)

Pak Hamka berpendapat bahawa sumber dan rezeki yang haram besar pengaruhnya kepada akhlak dan tingkah laku manusia. (Tafsir al-Azhar, Prof. Dr. Hamka, jld:1, hlm:377).

Firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu, makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. (al-Nahl:114)

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu bahawa akan datang umat di akhir zaman bersikap acuh tak acuh dalam urusan mencari rezeki, mereka tidak akan bertanya dari mana sumbernya juga tidak mencari dari mana datangnya. Daripada Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, mereka tidak peduli dari mana dia ambil rezekinya, tidak peduli halalkah atau haram rezeki yang diterimanya. (al-Bukhari, no:2059)

Mereka yang berakal serta sedar bahawa dunia ini ada penyudah dan perhitungannya. Penghujungnya setiap orang akan berada di hadapan Allah SWT bagi menerima balasan, hal ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW daripada Mua'z bin Jabal yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kaki anak Adam selagi mana dia tidak menjawab akan empat soalan; jasadnya kemana digunakan, umurnya di mana dihabiskan, dan akan ditanya akan hartanya dari mana ia diperoleh dan ke mana pula dibelanjakan, serta apa yang dilakukan dengan ilmunya." (riwayat al-Tarmidzhi, jld:7, hlm:101, hadis hasan sohih)

Kebanyakan di antara kita tidak sedar bahaya rezeki haram, kesannya serta mudaratnya. Ada pula di antara kita yang tidak kisah dari mana datangnya rezeki itu. Daripada Aisyah telah berkata yang bermaksud: Abu Bakar al-Siddiq pernah memiliki seorang budak suruhan. Pada suatu hari budak suruhan ini telah datang dengan membawa makanan, lalu Abu Bakar pun memakan dari apa yang dibawa oleh budak suruhan itu. Lantas budak suruhan itu bertanya kepada Abu Bakar, tahu tak kamu apa ini (makanan yang dibawa), Abu Bakar menjawab: Apa dia? Lalu budak itu memberitahu kepada Abu Bakar, dulu zaman jahiliah aku pernah menilik untuk orang ramai, sedang aku ini bukanlah seorang tukang tilik yang handal melainkan aku khianati orang dengan dustaan tilikan. Aku terserempak dengan orang yang pernah aku tilik lalu memberi aku makanan yang telah engkau makan sebentar tadi. Tanpa berlengah Abu Bakar telah memasukkan jarinya ke dalam mulut dan memuntahkan semua yang telah dimakannya. (riwayat al-Bukhari, no:3554, Kitab al-Manaqib)

Diriwayatkan juga bahawa Umar bin al-Khattab ra merasakan sesuatu yang tidak selesa setelah minum susu, lantas Umar bertanya kepada yang telah memberinya susu tadi, dari mana kamu beroleh susu ini? Orang yang memberinya menjawab aku telah memerahnya daripada unta yang disedekahkan ketika unta-unta sedang minum air. Lantas Umar memasukkan jarinya kemudian memuntahkan apa yang telah diminumnya.

Pernah seorang wanita solehah berpesan kepada suaminya ketika keluar rumah mencari rezeki dengan berkata: Wahai suamiku! Takutlah kamu akan Allah di dalam mencari rezeki, sesungguhnya kami (anak isteri) boleh bersabar atas kelaparan tetapi tidak akan sabar menanggung api neraka.

Tugu Negara Tetap Tidak Dilupa

Written By Scud on Thursday, October 7, 2010 | 10:27 AM


TUGU Peringatan Negara yang lebih dikenali sebagai Tugu Negara Malaysia berdiri megah sejak 8 Februari 1966 sebagai simbol penghormatan negara kepada perajurit yang telah mengorbankan jiwa raga mereka bagi mempertahankan integriti, kedaulatan dan keamanan negara.

Menyingkap kembali sejarahnya, Kompleks Tugu Negara terawal yang ditegakkan oleh pihak Pentadbir British hanya berupa tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu (berdekatan bulatan Stesyen Keretapi Kuala Lumpur) bagi memperingati peperangan dan perajurit yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama (1914 hingga 1918) dan Perang Dunia Kedua (1939 hingga 1945) serta semasa Darurat (1948 hingga 1960).

Namun kini hanya tapak seluas 10 meter persegi yang tinggal kerana tiang asalnya telah dialih ke Kompleks Tugu Negara di kawasan Taman Tasik (berhampiran dengan bangunan Parlimen).

Dari segi spesifikasinya, Tugu Negara berdiri setinggi 15 meter dan diperbuat daripada gangsa. Ia direka oleh Felix de Weldon, seorang pengukir berbangsa Austria. Tugu ini menggambarkan sekumpulan perajurit di mana setiap rekabentuk patung gangsa tersebut menonjolkan ciri kepimpinan, keberanian, kekuatan, kesiapsiagaan, kegetiran, semangat setiakawan dan pengorbanan.

Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan kita turut berkibar megah dengan tiangnya digenggam erat oleh satu patung gangsa yang membawa maksud, cintakan negara mengatasi kepentingan peribadi walaupun nyawa ditukar ganti.

Rakyat Malaysia secara majoritinya tidak pernah lupa akan kewujudan Tugu Negara, apatah lagi di kalangan warga pasukan keselamatan kerana tugu tersebut amat sinonim dengan sambutan Hari Pahlawan pada tanggal 31 Julai setiap tahun.

Insiden yang berlaku ke atas Tugu Negara pada 26 Ogos 1975 masih terpampang jelas di fikiran rakyat Malaysia yang tahu menilai erti pengorbanan, keamanan dan cintakan negara.

Tindakan mengebom tugu tersebut oleh pihak pengganas komunis telah mencetuskan kemarahan meluap dan rasa kebencian terhadap anasir Parti Komunis Malaya (PKM).

Reaksi yang dipamerkan oleh masyarakat terhadap insiden tersebut amat jelas membuktikan bahawa Tugu Negara tidak dilupakan pada setiap detik selagi hayat dikandung badan.

Lokasi sambutan Hari Pahlawan yang dipindahkan dari Tugu Negara ke Putrajaya mulai tahun ini dan tiada lagi upacara meletakkan kalungan bunga dan bertafakur di hadapan tugu tersebut juga tidak melambangkan Tugu Negara semakin dilupakan.

Pindahan tersebut bertepatan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana agenda sambutan Hari Pahlawan di hadapan tugu sebelum ini bertentangan dengan syariat dan akidah Islam. Janganlah kita mempunyai pengertian yang meleset terhadap perubahan tradisi dan lokasi dengan merumuskan bahawa Tugu Negara semakin dilupakan.

Pasukan keselamatan tidak pernah melupakan Tugu Negara kerana ia terus kekal sebagai simbol perjuangan dan pengorbanan perajurit tanah air dalam mempertahankan kedaulatan negara. Tugu tersebut bukan sahaja menjadi salah satu mercu tanda negara malah menjadi bukti sejarah kepada generasi muda dalam menjiwai erti 'pengorbanan demi keamanan'.

Walaupun kerajaan dan pasukan keselamatan tidak lagi mengadakan upacara peletakan kalungan bunga dan bertafakur sempena lawatan pembesar negara-negara luar serta sambutan Hari Pahlawan di perkarangan tugu, ini tidak bermakna segala pengorbanan perajurit tidak dikenang atau dihargai dan tugu dilupakan. Jasa dan pengorbanan mereka sentiasa disemat dalam sanubari serta dikenang oleh kita.

Tugu Negara kekal disenaraikan sebagai warisan negara dan salah satu tempat menarik untuk dilawati atau dikunjungi oleh para pelawat asing dan tempatan. Simbol perjuangan dan pengorbanan ini terus berdiri megah - tak lekang dek hujan dan panas.

Pemergian mereka dalam lipatan sejarah menjadi pemangkin kepada semangat juang yang tinggi di kalangan pencinta tanah air terutamanya warga pasukan keselamatan.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka. Al-Fatihah!

Kuasa politik senjata ampuh orang Melayu tidak patut digadai

Written By Scud on Monday, October 4, 2010 | 3:32 PM



SATU-SATUNYA bidang yang masih dikuasai orang Melayu ialah politik. Walaupun orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, hakikatnya dalam kebanyakan bidang kita ketinggalan dan dikuasai bukan Melayu, kecuali politik. Menerusi politiklah nasib orang Melayu masih terbela dan hak keistimewaan mereka dapat dipertahankan sehingga sekarang. Bayangkan apa akan terjadi kepada orang Melayu pada masa depan, jika kuasa politik sudah berpindah tangan.

Ramai generasi muda hari ini tidak pernah terfikir bahawa semua keadaan itu boleh berubah bila-bila masa, sekiranya kuasa politik sudah tidak lagi berada di tangan orang Melayu. Oleh itu, mempertahankan kuasa politik bukan lagi retorik atau momokan demi survival sesebuah parti politik untuk memperoleh sokongan semata-mata. Sebaliknya, kuasa politik menuntut kita memahami kepentingan dan kesan buruk jika ia terlepas ke tangan orang lain. Seperti yang diungkapkan Datuk Seri Najib Razak kelmarin, kuasa politik adalah senjata paling tajam yang perlu dipertahankan dalam usaha kita meneruskan perjuangan mengikut landasan agama, bangsa dan negara.

Kita tidak boleh menafikan bahawa kuasa politik adalah asas kepada segala perjuangan. Justeru, kita akan menerima kesannya jika membiarkan kuasa politik terlepas ke tangan orang lain, gara-gara perbalahan sesama sendiri sehingga menjejaskan perjuangan bangsa. Kita mesti insaf bahawa kuasa politik yang ada dalam genggaman hari ini akan menentukan kedudukan bangsa Melayu pada masa depan.

Tindakan sesetengah pemimpin Melayu parti pembangkang yang menggadaikan perjuangan dan maruah bangsa demi kepentingan politik mereka sebenarnya boleh menghakis kuasa politik orang Melayu. Kuasa politik dan maruah bangsa tidak ada galang ganti. Jika ia terlepas ke dalam genggaman tangan orang lain maka kita jadilah seperti Pak Kadok yang menang sorak tetapi kampung tergadai.

Kalangan penganalisis ekonomi pula lebih ekstrem menggambarkan bahawa kuasa politik esok adalah hasil pemikiran, ciptaan, penyertaan dan pengaruh kita pada hari ini. Jadi, senjata paling tajam orang Melayu bukan lagi pada lembing, panah atau keris tetapi kuasa politik yang membolehkan mereka menentukan dasar dan masa depan sendiri.

Namun kuasa itu pula dipertahankan dengan beberapa tunjang lain termasuk kekuatan nilai dan minda serta kesediaan kita mempertahankan kedaulatan bangsa serta negara. Kita tidak perlu menerima falsafah Mao Zedong - kuasa politik tumbuh dari laras senjata, tetapi harus memikirkan rasional falsafah I C MacMillan bahawa - kuasa adalah keupayaan untuk menstruktur keadaan sebenar.

Kuasa politik juga menuntut penyertaan kita dalam segenap bidang dan proses dalam sosioekonomi negara serta kesedaran untuk mempertahankan kuasa itu sehingga bila-bila. Kuasa politik yang dipegang oleh kepemimpinan Melayu menerusi UMNO sejak kemerdekaan membolehkan bangsa ini mengekalkan hak keistimewaannya termasuk dalam bidang ekonomi, agama dan pendidikan.

Jadi, ramuan untuk mempertahankan kuasa politik Melayu hanya satu – kita mesti bersatu dan seperti kata Najib lagi, kita mesti ‘masuk dan merapatkan barisan’ bagi memastikan kuasa politik itu kekal dalam genggaman bagi meneruskan agenda perjuangan bangsa.

Dalam orde baru yang menjadikan dunia kian mendatar, manakala kuasa politik menjadi faktor dominasi sesebuah negara selain ekonomi, teknologi dan maklumat, maka kuasa politik penting dalam memastikan orang Melayu tidak terpinggir di negara sendiri pada masa depan.

Penjara: Hukuman atau koreksional?

Written By Scud on Tuesday, September 28, 2010 | 6:07 PM

HANYA penerimaan komuniti dan komitmen bekas banduan untuk kekal berada dalam tingkah laku yang boleh diterima oleh masyarakat akan menjamin pengurangan jumlah banduan di dalam penjara. Banduan juga digalakkan menggunakan masa yang ada untuk mengubah tingkah laku agar diterima oleh komuniti dan keluar dari lingkaran jenayah yang mengganggu kehidupan.

Penyelidikan telah membuktikan bahawa untuk mengurangkan residivism (kemasukan semula bekas banduan ke penjara) dan memaksimumkan koreksional atau pemulihan, terdapat tiga faktor utama yang perlu diberi perhatian iaitu menyediakan pekerjaan, sokongan keluarga dan penempatan.

Menyediakan pekerjaan bagi bekas banduan akan membantu mereka menjana pendapatan sendiri dan meninggalkan kehidupan jenayah. Pekerjaan yang tetap dan menjamin kehidupan akan mengurangkan jenayah yang dilakukan atas dasar 'survival' walaupun mereka tahu jenayah yang mereka lakukan itu salah.

Sokongan keluarga sangat penting bagi menjamin bekas banduan tidak kembali semula ke penjara dan ia berkait rapat dengan komuniti kerana keluarga berada dalam komuniti. Jika komuniti boleh menerima dengan baik maka keluarga bekas banduan akan menerima mereka dengan selesa. Ada keluarga takut menerima bekas banduan kerana bimbang tohmahan masyarakat sekitar. Akhirnya bekas banduan rela mencari kumpulan mereka semula dan berlaku 'residivism' yang berpanjangan.

Penempatan pula dapat membantu bekas banduan untuk berada dalam kehidupan yang lebih selesa dan mempertahankan perubahan sikap yang telah dilakukan dalam proses koreksional di dalam penjara.

Secara psikologi, manusia yang mahukan perubahan dapat disimpulkan bahawa membuat perubahan adalah sesuatu yang mudah, namun untuk mempertahankan perubahan tersebut amat memerlukan kekuatan kognitif, emosi dan fizikal manusia. Jika hanya diri manusia tersebut bertindak untuk berubah, sedangkan tidak ada sokongan dari keluarga dan komuniti, maka perubahan yang diukir mungkin mengalami kebuntuan dan bertahan untuk jangka masa pendek sahaja.

Menurut kajian, manusia akan bermasalah jika gagal mendapatkan keperluan asas seperti kasih sayang, kuasa, kebebasan, survival dan keseronokan. Oleh itu, kerjasama erat perlu dijalin dengan agensi kerajaan dan swasta untuk membantu bekas banduan mempertahankan perubahan yang mereka lakukan setelah melalui program koreksional. Para pegawai koreksional juga perlu menerapkan nilai-nilai pemulihan yang kukuh agar bekas banduan yang melalui proses koreksional bukan sahaja insaf dalam jangka masa sementara tetapi tidak mengulangi kesalahan mereka buat selama-lamanya.

Usaha ini juga dilihat dapat membantu bekas banduan mendapatkan penempatan yang sihat dan diiringi oleh komuniti yang menyokong agar terus berada dalam keadaan stabil dan sihat, selain merasakan diri mereka diterima oleh masyarakat semula.

Salah satu cabaran utama untuk menjamin penerusan kemajuan dalam integrasi proses pengurusan banduan adalah dengan memastikan usaha memelihara serta meneruskan komitmen terhadap program koreksional yang dilaksanakan dari dalam penjara kepada penyeliaan proses koreksional dan dalam kehidupan komuniti.

Ini boleh dilakukan dengan memperbanyakkan program-program koreksional yang dijalankan di luar penjara dan melibatkan komuniti bagi membantu pihak penjara dalam usaha memulihkan banduan.

Hukuman merupakan satu cara untuk mengawal jenayah agar tidak berlaku pada masa hadapan. Pada masa yang sama, ia mampu membanteras jenayah. Tujuan hukuman adalah untuk membina kesedaran oleh undang-undang dan individu.

Hukuman mestilah berpandukan konsep semula jadi manusia yang perlu menerima balasan setelah melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. Ini akan membantu manusia sedar dan insaf serta tidak melakukan lagi kesalahan tersebut. Hukuman juga dapat mencegah perbuatan jenayah serta menimbulkan rasa gerun dan ia perlu untuk membantu banduan melalui proses pemulihan atau koreksional.

Oleh itu, konsep hukuman dan koreksional perlu selari agar banduan merasakan mereka perlu menjalani program koreksional untuk perubahan dalam kehidupan mereka, bukan semata-mata melalui hukuman yang tidak jelas tujuan serta hanya rasa ingin membalas dendam semata-mata.

Perkhidmatan koreksional juga dilakukan untuk mengurangkan dan menghentikan kesalahan jenayah. Dalam masa yang sama, ia mampu memberi kesedaran kepada setiap penjenayah. Ia juga akan melindungi masyarakat daripada sebarang bentuk bahaya daripada ancaman serta menghilangkan perasaan takut mangsa jenayah.

Koreksional juga akan mengurangkan dan menghapuskan segala kegiatan jenayah dan ia bertindak sebagai kesinambungan daripada aspek hukuman dengan harapan akan memberi kesedaran serta membimbing penjenayah ke arah kehidupan normal.

Bagaimanapun, koreksional bergantung kepada keberkesanan sistem itu sendiri kerana memulihkan penjenayah bukanlah perkara mudah. Perubahan yang positif juga terletak di tangan individu sendiri kerana merekalah yang berhak menentukan corak hidup masing-masing.

Terdapat tiga bentuk tindakan yang boleh dilakukan oleh pegawai koreksional dalam membantu banduan untuk menghadapi masalah ini iaitu tindakan pencegahan, tindakan represif yang bertujuan menghalang masalah yang lebih serius dan tindakan koreksional setelah berlaku masalah. Pegawai koreksional boleh berganding dengan kaunselor dan pekerja sosial untuk tindakan pencegahan dengan mengadakan program-program pencegahan. Proses menentukan program yang sesuai perlu disusuli setelah dikenal pasti masalah yang menjadi prioriti dalam komuniti penjara yang terlibat.

Banduan yang layak untuk masuk ke dalam komuniti adalah mereka yang kurang berisiko, tidak bersikap kejam dan tidak membahayakan. Program ini menekankan aspek pemulihan, rawatan, dan keselamatan banduan. Ia juga bertujuan memulihkan akhlak dan mengubah sikap banduan agar kembali kepada masyarakat dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab serta produktif.

Setelah program koreksional ini dibawa kepada komuniti, penglibatan komuniti secara serius dan terperinci akan dapat membantu merealisasikan program itu agar menjadi program yang berjaya dan berkesan untuk membantu penghuni penjara pulih secara total. Penerimaan masyarakat terhadap bekas banduan juga akan membantu penyesuaian yang hakiki terhadap diri dan masa depan banduan.

Budaya tidak mahu menerima bekas banduan sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat perlu dikikis dan digantikan dengan budaya memberi peluang dan bantuan untuk merealisasikan perubahan tersebut dalam komuniti. Hukuman yang dilalui, jika disetarakan dengan program pemulihan dan koreksional akan menghasilkan perubahan yang lebih baik dalam masyarakat.

Budaya dan konsep dendam dan 'padan muka' yang dipegang oleh sebilangan ahli masyarakat telah mencorakkan rasa jijik masyarakat kepada banduan seterusnya melakarkan rasa penolakan yang menyeluruh kepada banduan, bekas banduan serta ahli keluarga mereka.

Akhirnya hukuman yang ditafsirkan untuk menimbulkan kesedaran kepada banduan bertukar kepada hukuman yang paling menekan aspek fizikal dan psikologikal mereka dan ahli keluarga mereka, seolah-oleh tidak ada lagi harapan untuk berubah. Maka tidak hairanlah ada di antara bekas banduan memilih untuk terus berada dalam penjara bagi mengelakkan 'hukuman' psikologi ini.

Oleh itu, komuniti perlu diberikan kefahaman tentang program koreksional ini dan diajak untuk sama-sama memulihkan penghuni penjara agar rasa tanggungjawab proses pemulihan dan koreksional ini menjadi tanggungjawab semua ahli masyarakat, dan bukan dipikul pihak penjara sahaja.

Ahli PKR Tolak Anuar

Kekalahan beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan di peringkat cabang semalam jelas membuktikan ahli-ahli parti itu di peringkat akar umbi menolak kepimpinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali.

Malah, kekalahan tersebut merupakan isyarat awal kepada Anwar dan Azmin bahawa blok mereka akan berhadapan dengan masalah besar dalam pemilihan di peringkat pusat yang dijadualkan November ini.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Johari Md. Yassin berkata, kekecohan yang berlaku dalam mesyuarat cabang antaranya di Kota Raja, Kuala Langat, Kapar, Klang dan Lembah Pantai menggambarkan betapa ketamakan serta kerakusan merebut jawatan dan pangkat telah mempengaruhi PKR.

‘‘Sememangnya kekalahan yang dialami oleh orang Anwar dan Azmin memberi satu tamparan hebat kepada mereka berdua, tetapi saya percaya ia lebih merupakan satu mesej yang mahu disampaikan oleh ahli-ahli kepada Anwar dan Azmin.

‘‘Saya percaya ahli-ahli semakin sedar bahawa Anwar dan Azmin adalah liabiliti bagi parti. Nampaknya percaturan mereka untuk terus menguasai PKR berhadapan dengan masalah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kekalahan lima pemimpin kanan PKR dalam pemilihan di peringkat cabang semalam dan kesemua mereka merupakan orang Anwar serta Azmin.

Mereka ialah dua Naib Presiden PKR iaitu R. Sivarasa serta Mustaffa Kamil Ayub; Exco Selangor, Elizabeth Wong; Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Bahrin Abbas dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

SD Johari berkata, berbanding pada setiap pemilihan sebelum ini Anwar dan Azmin mudah mengatur orang mereka untuk terus menguasai PKR.

Mengenai kekecohan yang berlaku di beberapa mesyuarat cabang di Selangor semalam, beliau berkata, PKR kini bukan lagi parti membela rakyat sebaliknya ia merupakan parti pengaut kekayaan dan kekuasaan khususnya di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang.

Atas sebab itu menurut beliau, semua anggota PKR sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan kemenangan calon masing-masing walaupun perbuatan tersebut sungguh memalukan.

‘‘Tidak dinafikan kekecohan yang berlaku itu berpunca daripada kekalahan calon-calon Anwar dan Azmin, tetapi sebab paling utama ialah kerakusan dan ketamakan mereka untuk merebut jawatan.

‘‘Ia juga berpunca daripada kegagalan Azmin sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Selangor mentadbir urus parti di peringkat negeri selain kegagalannya mendisiplinkan ahli parti,’’ katanya.

Pada satu peringkat beliau berkata, kekecohan itu melibatkan pergaduhan seperti yang berlaku di Kota Raja dan ia benar-benar memberi kesan buruk kepada PKR.

‘‘Di dalam pemilihan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas yang juga Exco Selangor, Xavier Jeyakumar dikatakan menumbuk pencabarnya, KS Kotappan. Berdasarkan maklumat terkini, Kotappan telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.’’ katanya.

Menurut beliau, pemilihan PKR kali ini bukan sahaja tidak demokratik malah langsung tidak mengikut undang-undang.

Sementara itu bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, ahli PKR kini semakin meluat dengan tindak-tanduk Anwar yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada Azmin mengatur calon pilihan mereka pada pemilihan kali ini.

‘‘Ini adalah bukti pemusatan kuasa oleh Anwar dan Azmin. Kini kuasa rakyat yang mereka laung-laungkan selama ini terpercik ke muka Anwar dan Azmin apabila ahli-ahli PKR sedar bahawa selama ini mereka telah dipergunakan untuk mencapai cita-cita peribadi pemimpin parti,’’ katanya.

Anuar percaya ekoran kekalahan calon pilihan Anwar dan Azmin, Penasihat PKR itu akan mengambil langkah menyekat kemaraan demokrasi tulen antaranya menyekat cabang yang tidak sealiran dengan mereka.

Money Boy

Written By Scud on Wednesday, September 22, 2010 | 10:53 AM

KUALA LUMUR: Kegiatan ‘Money Boy’ atau lelaki yang menawarkan khidmat seks kepada golongan sejenis di sekitar ibu negara masih berleluasa apabila mereka kini menjadikan kawasan kaki lima sekitar Jalan Raja Laut untuk ‘memancing’ pelanggan melakukan seks songsang.



Walaupun beberapa tahun lalu kegiatan itu didedahkan media, tetapi golongan itu didapati masih menjalankan kegiatan terkutuk itu. Modus operandi dijalankan ialah Money Boy akan melepak sekitar kaki lima Jalan Raja Laut bermula dari Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hingga ke kawasan sekitar Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara jam 9 malam dan 2 pagi sambil menunggu kereta yang akan berhenti di kaki tepi jalan. Golongan itu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun akan datang ke kereta yang berhenti di tepi jalan dan menjalankan aktiviti tawar menawar sebelum mereka dibawa ke rumah sendiri atau hotel murah sekitar Kuala Lumpur.

Seorang pengunjung di Dataran Merdeka, Mohd Ilham Mohd Nor, 27, berkata kegiatan songsang itu sukar dikesan kerana kebanyakan Money Boy kelihatan seperti mereka yang menunggu kenderaan awam atau melepak bersama rakan di kawasan itu.

Katanya, pada mulanya dia agak hairan kerana ramai lelaki melepak di kawasan itu seperti menunggu bas sedangkan kebanyakan orang ramai menjadikan kawasan Dataran Merdeka untuk melepak.

“Selepas diberitahu rakan, baru saya tahu kebanyakan mereka terdiri daripada pengamal seks sejenis yang dikenali Money Boy.
“Sepatutnya kegiatan seperti ini dibendung hingga ke akar umbi supaya ia tidak menjadi barah dalam masyarakat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Sharif Ahmad Nazri Sharif Nordin, 25, berkata dia berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dapat mengambil tindakan tegas agar masalah seks sejenis tidak terus berleluasa.

“Beberapa tahun lalu kes hubungan seks songsang ini pernah dibongkar sebuah stesen televisyen tetapi kini kegiatan itu didapati masih berterusan.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan aktiviti seks songsang ini dapat dibendung,” katanya.

Tinjauan Sentral selama empat malam mendapati dakwaan orang ramai itu ada kebenarannya apabila kira-kira 20 Money Boy menunggu pelanggan di sekitar Jalan Raja Laut yang lebih dikenali golongan itu sebagai ‘Jurassic Park’.

Dalam menjalankan urus niaga hanya Money Boy yang akan mendekati kenderaan pelanggan selepas mereka percaya kereta yang berhenti di tepi jalan mahu mendapatkan khidmat seks. Money Boy agak licik kerana tidak akan melayan pemandu yang memanggil mereka untuk mendapatkan khidmat seks songsang.

Dalam tinjauan itu Money Boy didapati akan menaiki kenderaan yang berhenti di tepi jalan dan akan pulang beberapa jam kemudian.

Usaha pemberita mendekati golongan ini berhasil selepas seorang Money Boy dikenali Rizal dalam lingkungan 28 tahun memasuki kenderaan yang diletakkan kira-kira lima minit di tepi Jalan Raja Laut.

Lelaki itu kemudian mendekati kereta dan bertanyakan sama ada menunggu kawan dan kemudian menawarkan khidmat seks songsang dengan bayaran RM80.

Menurut Rizal dia hanya ‘bekerja’ sebagai Money Boy pada masa tertentu dan menjadikan hotel murah sekitar ibu negara untuk menjalankan aktiviti terkutuk itu atau mengikut pelanggan ke rumah mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kegiatan songsang itu.

Tengku Adnan Digesa Mohon Maaf Kepada Perkasa Dan NGO Melayu

Written By Scud on Tuesday, September 21, 2010 | 4:35 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (Penawar) melahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengutuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu sebagai rasis dalam memperjuang hak Melayu dan Bumiputera.

Presiden Penawar Tan Sri Adam Kadir berkata dalam mesyuarat Dewan Tertinggi badan itu hari ini menuntut Tengku Adnan supaya memohon maaf kepada Perkasa dan NGO-NGO Melayu.

"Sekiranya Tengku Adnan enggan memohon maaf, pihaknya akan menuntut supaya Umno memecat beliau sebagai Setiausaha Agung Umno," katanya dalam satu kenyataan tiga perenggan di sini hari Isnin.

Adam berkata mesyuarat itu juga bersetuju sebulat suara mendesak Umno supaya bekerjasama dengan Perkasa dan semua NGO Melayu yang memperjuang dan mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Pada 8 Sept lepas, Tengku Adnan dilaporkan berkata UMNO perlu menjauhi daripada Perkasa yang lantang membuat kenyataan ekstrem mengenai isu-isu perkauman.

Selain itu, beliau mendakwa Umno tidak menyokong Perkasa mahupun Presidennya Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Barisan Nasional.

-- BERNAMA
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger