Semua program itu untuk memacu pembangunan membabitkan semua kawasan serta penduduk dan akhirnya muncul rakyat yang hidup makmur dan berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun lagi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perhimpunan kali ini penting kerana perwakilan perlukan penjelasan daripada Presiden sendiri, selain ingin tahu ruang dan peluang yang boleh disertai oleh orang Melayu dalam sektor yang dikenal pasti dalam semua projek berkenaan.
“Yang penting ialah penjelasan mengenai konsep 1Malaysia yang menjadi satu perkara yang agak pokok khususnya yang dinyatakan ahli UMNO yang kadang-kadang ada kebimbangan dan kekeliruan,” katanya ketika ditemui.
Tidak salah apabila perwakilan membangkitkan soal di mana kedudukan Melayu dan hak mereka dalam pelaksanaan 1Malaysia. Pada tahap ini, mereka jangan dianggap rasis apabila memperjuangkan bangsanya dan tidak boleh dituduh ekstremis semata-mata kerana mempertahankan amalan yang dituntut oleh ajaran Islam.
Namun UMNO dilihat ‘malang’ kerana ditampal oleh lawan dengan pelbagai label buruk sehingga apa juga tindakan parti bersifat perkauman. Pada masa sama, UMNO dalam dilema untuk mempertahan atau memperkatakan sesuatu kerana menjaga hati pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) lain.
Mengulas tanggapan itu, Shafie berkata, parti pembangkang turut terbabit dalam pembentukan persepsi buruk terhadap 1Malaysia untuk mencari sokongan dan meraih laba politik.
“Dalam konteks ini, ia bukan perkauman. Jangan sekali-kali kita mentafsirkan bila kita memperjuangkan bangsa dan agama, ia akan (menjadi) perkauman.
“Apabila kita mempertahankan Islam, kita bukan ekstremis tetapi (ada) salah tanggapan apabila ada amalan (tertentu) dikatakan dia ini ekstremis. Kita (hanya) nak supaya amalan yang dituntut oleh agama itu dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya. Tetapi jangan ada tanggapan bahawa itu adalah tindakan ekstrem,” katanya.
Dari perspektif UMNO, beliau berkata, tidak salah apabila parti menyuarakan mengenai keperluan orang Melayu dan ahlinya yang rata-rata orang Melayu.
“Dapat atau tidak, itu perkara penting. Bukan bererti apabila kita mengambil (hak) ini, kita mengambil hak orang lain. Kita tidak mengambil mana-mana bahagian yang menjadi hak orang lain,” katanya.
Beliau berkata, penjelasan Datuk Seri Najib Razak, melalui ucapan dasar Presiden perlu jelas dan berupaya meyakinkan ahli UMNO bahawa Gagasan 1Malaysia tidak akan menghakis perjuangan, hak serta pembelaan terhadap orang Melayu.
“Berulang kali dinyatakan ia (1Malaysia) berpaksikan pertamanya, perlembagaan dan kedua, terikat dengan inti pati program pembaharuan ekonomi dan transformasi iaitu bagaimana kita (kerajaan) hendak membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai sudut serta bidang yang dikenal pasti,” katanya.
Mengenai UMNO yang dikatakan lebih cenderung mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Shafie berkata, kajian semula akta itu memang mencetuskan pelbagai maklum balas tetapi bagi beliau tidak timbul soal ia perlu dimansuh atau dihapuskan.
“Kita yakin dalam kehidupan manusia di mana-mana (termasuk) di negara maju (seperti) Amerika Syarikat dan United Kingdom, masih ada lagi undang-undang yang lebih ketat daripada apa yang kita lakukan (ISA),” katanya.
Apa yang penting, kata Shafie, kita tidak mahu rakyat sendiri mahupun masyarakat antarabangsa mempersoalkan kerajaan jika tercetus kejadian tidak diingini yang dilakukan kumpulan subversif kerana ketiadaan undang-undang membendungnya.
“Kalau tidak ada peraturan atau undang-undang untuk membolehkan tindakan, maka setiap tangkapan yang kemungkinan membabitkan subversif atau unsur-unsur yang boleh menghancurkan keselamatan negara, maka kita tidak akan berupaya,” katanya.
Justeru, katanya ISA bagi beliau masih relevan kalaupun perlu ada perubahan.
“Saya ingat bagus kalau ada perubahan untuk membolehkan kita sesuaikannya dalam keadaan hari ini. Tetapi untuk menghapuskannya saya rasa belum lagi. Pada pandangan peribadi saya, kita masih perlukan (ISA),” katanya.
Difahamkan, ada perwakilan UMNO akan mendesak kerajaan menunjukkan ketegasan dalam menangani isu perkauman dan agama kebelakangan ini.
“Ketegasan ini (perlu) bertempat. Dalam landskap politik yang ada ini, kita kena ada kebijaksanaan dalam menangani masalah. Kita yakin kukuhnya hubungan antara kaum ini perkara yang penting dan dekat dengan jiwa manusia,” katanya sambil menambah pendidikan sejarah penting dalam mewujudkan pemahaman dalam konteks itu.
Shafie turut tidak menafikan jika proses pemilihan barisan kepemimpinan UMNO tahun depan, ditangguhkan bagi membolehkan parti membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum.
“Yang itu kita tak buat keputusan lagi. Tetapi kalau mengikut lunas peraturannya, memang patutnya ada (pemilihan). Tetapi amalan yang dulu memang ada (pemilihan ditangguhkan),” katanya.
Ditanya sama ada kemungkinan untuk tidak menangguhkan pemilihan itu, beliau berkata: “Agak terlalu awal bagi saya untuk menyatakan perkara itu sama ada perlu atau tidak perlu.
Difahamkan, Najib juga cenderung untuk mengembalikan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri yang diperintah parti pembangkang kepada pemimpin di negeri masing-masing. Negeri terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan, selain Terengganu.
Mengulas perkembangan itu, Shafie yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, berkata proses itu berjalan lancar dan tidak menjadi masalah.
“Yang penting ialah supaya tumpuan dapat diberikan kepada pimpinan peringkat negeri sebab kita nak jaga banyak sangat. Kita juga yakin sudah sampai masa untuk kita meletakkan seseorang yang boleh diterima oleh pimpinan UMNO bahagian di negeri berkenaan,” katanya.
Mengenai ancaman terhadap tunas baru pemimpin pelapis atau individu berkepakaran khusus yang berminat menyertai parti, beliau berkata: “Kejayaan seseorang pemimpin itu bukan hanya kejayaannya melaksanakan kepemimpinan tetapi kejayaan bagaimana dia memilih siapa menjadi pewaris kepada perjuangannya. Jadi usaha mencari pelapis kepemimpinan adalah wajib dalam perjuangan itu!”
Turut kritikal kepada UMNO, katanya ialah menggembleng kepakaran Melayu dan menguruskannya dengan cara yang terbaik untuk mendapat inti pati pemikiran mereka.
0 comments:
Post a Comment