Dalam satu warta kerajaan Singapura bertarikh 5 Februari, ROS meminta PWMS menunjukkan bukti bahawa ia masih bergiat aktif dan diberi tempoh tiga bulan untuk berbuat demikian.
Dalam warta itu, Penolong Pendaftar, Lilian Liong, berkata PWMS akan dikeluarkan daripada daftar persatuan ROS jika gagal berbuat demikian. PWMS antara 23 persatuan yang diberi notis oleh ROS dalam warta tersebut.
Ketika dihubungi melalui e-mel, Presiden PWMS, Rhazaly Noentil, berkata pihaknya belum merancang langkah balas.
"Saya belum dapat jelaskan kedudukan PWMS sehingga mendapat pandangan daripada semua anggota jawatankuasa. Saya sedang menghubungi mereka," jelas Rhazaly.
Mengikut Akta Persatuan, persatuan berdaftar perlu melakukan beberapa perkara selain mematuhi perundangan yang ditetapkan ROS.
Antaranya, menyimpan akaun dan rekod urusan persatuan dengan baik serta melakukan audit dan menyerahkan laporan tahunan dengan kenyataan akaun kepada ROS setiap tahun.
Antara pengasas persatuan yang didaftarkan pada 24 Januari 1956 itu ialah mantan pengarang akhbar Berita Harian, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail.
Rhazaly, bekas editor berita sebuah stesen radio Melayu tempatan, mengambil alih pucuk pimpinan PWMS daripada Mohd Raman Daud pada 1998.
Kegiatan terakhir PWMS yang dilaporkan akhbar ini ialah golf amal pada 2006, yang dianjurkan bersama Lembaga Perkembangan Ekonomi Sosial Kepulauan Riau.
Dana terkumpul daripada acara itu, dilaporkan sebanyak S$18,000 (RM43,368.27), didermakan kepada golongan cacat di Batam dan sebuah sekolah latihan kemahiran di Bintan.
Sempena acara itu, sebuah program tinjauan ekonomi diadakan bagi mengutarakan peluang pelaburan di enam daerah di kepulauan Riau.
Dalam wawancara dengan Berita Harian sejurus mengambil alih pucuk pimpinan PWMS pada Disember 1998, Rhazaly akur cabaran utama yang dihadapi pihaknya ialah meningkatkan imej persatuan itu pada kaca mata anggotanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan perlunya PWMS menjadi lebih proaktif dalam menyediakan program yang dapat dimanfaatkan ahlinya.
sumber: Berita Minggu
0 comments:
Post a Comment