Headlines News :

Latest Post

Langkah Pertama Untuk Kebebasan Media

Written By Scud on Thursday, September 22, 2011 | 3:18 PM

PENTADBIRAN Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjanjikan transformasi politik dan ekonomi nampaknya belum lagi bersedia untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, sama seperti yang ingin dilakukan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan beberapa akta lain yang dianggap mengongkong.

Buat waktu ini kesediaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-6 itu hanyalah untuk memanjangkan hayat permit penerbitan, yang diberi di bawah akta tersebut. Di bawah peraturan yang ada sekarang, seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 12 (1) AMCP kesahan lesen/permit penerbitan adalah untuk tempoh 12 bulan dari tarikh diberi atau dikeluarkan.

Selepas tempoh itu berakhir, permit penerbitan itu – baik untuk akhbar atau majalah atau penerbitan berkala yang lain, perlu diperbaharui dengan sedikit bayaran yang kuantumnya ditentukan oleh kekerapan ia diterbitkan. Yuran tahunan yang dikenakan bagi akhbar harian ialah RM3,000 manakala majalah bulanan pula RM400.

Pembaharuan tahunan permit penerbitan itu juga bukanlah sesuatu yang automatik. Pemegang permit perlu mengemukakan permohonan. Permohonannya boleh ditolak oleh menteri yang bertanggungjawab. Dalam kes-kes tertentu, kesahan permit penerbitan itu juga boleh jadi lebih singkat, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan sewaktu permit dikeluarkan.

Dalam kes yang ekstrem pula, ada permit penerbitan, atas sebab-sebab tertentu seperti yang telah digariskan oleh AMCP, digantung atau dibatalkan. Dalam sejarah persuratkhabaran negara, akhbar-akhbar The Star, Sin Chew, Watan, Suara Rakyat, Sarawak Tribune, Makkal Osai pernah digantung permit penerbitan mereka kerana menyiarkan tulisan-tulisan yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kemoralan.

Di bawah pindaan yang dijanjikan oleh Najib dalam ucapan sempena menyambut Hari Malaysia ke-48 pada 15 September 2011, permit penerbitan – sebaik-baik sahaja dikeluarkan adalah untuk selama-lamanya kecuali ia dibatalkan oleh pihak berkuasa. Pembaharuan tahunan, seperti yang diamalkan sekarang, tidak lagi diperlukan.

Seperti yang dijangka, pengumuman Najib itu disambut dengan reaksi yang bercampur baur. Para pengarang akhbar dan majalah ada yang melompat kegembiraan apabila diberi jaminan yang permit penerbitan untuk mereka tidak lagi perlu diperharui secara tahunan.

Tetapi pada waktu yang sama ada juga kalangan yang berpandangan apa yang dijanjikan oleh Najib itu adalah langkah kecil yang superficial dan tidak menggambarkan transformasi politik dan ekonomi yang mahu dilaksanakan. Mereka berpendapat seiring dengan pindaan yang mahu dibuat terhadap AMCP, mereka juga mahu melihat bahawa kuasa pembatalan permit yang berstatus kekal itu dibuat dengan cara yang lebih telus.

Kuasa menteri di bawah peraturan sekarang adalah mutlak. Keputusan yang telah dibuat, termasuk menolak pemberian permit penerbitan tidak boleh dicabar di mahkamah. Lalu ada yang mencadangkan supaya kuasa mutlak menteri itu hendaklah turut dimansuhkan dan digantikan dengan suatu sistem yang lebih terbuka dan bertamadun.

Mana-mana penerbitan yang permitnya digantung atau dibatalkan hendaklah diberi ruang untuk mengemukakan rayuan kepada pihak ketiga yang tiada kaitan dengan cabang eksekutif – dalam kes ini tentulah mahkamah.

Dengan itu kaedah check and balance, yang memang dituntut oleh sebuah demokrasi yang matang, boleh beroperasi sepenuhnya. Lagi pun seperti yang berulang kali dinyatakan oleh Perdana Menteri, sendiri era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir. Maka itu, pertimbangan daripada pihak kehakiman berkait dengan pembatalan permit penerbitan itu, jika ia mahu dilakukan juga, dirasakan wajar.

Ada juga pandangan, jika kerajaan benar-benar serius untuk melakukan pembaharuan politik khususnya dalam kerangka untuk mewujudkan sebuah masyarakat demokratik yang matang seperti yang dihasratkan oleh Wawasan 2020, ia patut memikirkan untuk berhijrah kepada sistem penerbitan akhbar dan majalah tanpa permit penerbitan.

Siapa juga yang ingin menerbitkan akhbar dan majalah bebas berbuat demikian asalkan ia diusahakan oleh sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Serahkan kelangsungan hidup sesebuah penerbitan itu kepada pasaran, bukannya kerajaan. Serahkan hala tuju dasar editorial sesebuah penerbitan itu kepada pemiliknya dan para pengarangnya yang profesional dan berpegang kepada kewartawanan yang bertanggungjawab bukannya AMCP atau garis panduan khusus yang digubal oleh KDN untuk membantu mengawal selia media cetak.

Organisasi persuratkhabaran dan majalah adalah entiti perniagaan yang masa depannya ditentukan untung rugi syarikat.

Jika benar ada antara mereka melakukan kesalahan, mereka boleh didakwa menggunakan pelbagai undang-undang lain, baik yang mengawal media secara langsung atau tidak langsung.

Ini termasuklah Akta Hasutan, 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hakcipta 1987, Akta Fitnah 1957, Akta Iklan Lucah, 1953, Akta Percetakan Teks Al-Quran, 1986, Akta Perubatan (Iklan dan Jualan), 1956, Akta Paten 1983, Akta Penapisan Filem 1952, Akta Polis 1967, Kanun Keseksaan dan dua undang-undang baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Bergantung pada kesalahan yang dilakukan, media dan penerbitan juga boleh didakwa antara lain di bawah Akta Syarikat 1965, Akta Perpustakaan Negara, 1972, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959, Akta Arkib Negara 1966.

Memandangkan terdapat begitu banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk mendisiplinkan media, maka kalangan pengamal media cetak ada yang berpendapat bahawa apa yang patut dilakukan oleh kerajaan selepas ini bukan sekadar meminda AMCP secara adhoc, tetapi secara komprehensif. Ini termasuk mempertimbangkan kemungkinan memansuhkan AMCP sama sekali.

Bagi mereka pengekalan AMCP hanya melambangkan sikap double standard kerajaan terhadap kebebasan media. Media cetak – akhbar dan majalah khususnya masih dikawal menerusi akta itu dan satu garis panduan khusus yang telah digubal di bawah AMCP, manakala portal berita dan media sosial yang lain bebas untuk melaporkan apa sahaja, termasuk pembohongan dan tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka.

Malah kekangan AMCP itu kini didakwa menjejaskan kewibawaan akhbar-akhbar itu sendiri di kaca mata audiennya, menyebabkan berlakunya penghijrahan pembaca ke portal berita. Persepsinya di sini adalah selagi ada AMCP, media khususnya akhbar dan majalah sebenarnya berada di bawah telunjuk kerajaan, walaupun kita tahu persepsi itu tidak tepat seratus peratus.

Ini kerana dasar editorial sesebuah penerbitan itu sebenarnya ditentukan dan dicorakkan bukan oleh AMCP tetapi oleh tuan empunyanya. Tetapi selagi persepsi ini wujud, selagi itulah kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia kekal terperosok di tangga terendah.

Atas sebab-sebab itu ada yang mencadangkan selain memansuhkan AMCP, beberapa akta lain yang turut mengongkong pengaliran maklumat turut dijadikan sejarah. Secara lebih spesifik yang disebut adalah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tiga orang wartawan pernah didakwa mengikut akta itu pada 1985 kerana menggunakan bahan-bahan yang dianggap rahsia rasmi dalam penulisan berita dan rencana. Seorang wartawan telah didenda RM7,000 manakala dua yang lain masing-masing didenda RM10,000.

Agaknya sudah tiba masanya Akta Rahsia Rasmi 1972 itu digantikan dengan Akta Pengaliran Bebas Maklumat yang dianggap penting untuk membolehkan para wartawan memainkan peranannya dalam mengukuhkan demokrasi yang dianggap matang.

Selain itu, cadangan juga dibuat oleh sebilangan pengamal media supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus yang melindungi para wartawan daripada mendedahkan sumber atau pemberi maklumat yang digunakan untuk menghasilkan berita atau rencana khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kepentingan umum.

Beberapa buah negeri di Amerika Syarikat sudah pun mewujudkan undang-undang serupa itu yang dikenali sebagai shield law. Kongres negara itu juga sedang menimbang untuk mewujudkan akta yang sama pada peringkat Persekutuan.

Sudah tentu impian terakhir yang didambakan oleh pengamal media dalam perjuangannya, di mana juga termasuk di Malaysia adalah untuk melihat status kebebasan media itu dimaktubkan dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan sama seperti wujudnya apa yang dipanggil sebagai First Amendment dalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Dalam mengejar impian ini, kita henalah realistik. Perjuangan ini memerlukan ketabahan dan sudah tentu penuh dengan onak dan duri. Ia mengambil masa yang panjang. Kita kena ingat bahawa kota Rome atau malah Putrajaya yang berdiri gagah sekarang, tidak dibina dalam masa satu hari. Jika kita berpegang dengan ingatan ini, maka keputusan Najib untuk memansuhkan tempoh hayat tahunan permit penerbitan bolehlah dianggap sebagai langkah pertama ke arah mengejar cita-cita mewujudkan kebebasan media yang sejati.

GiatMara Bantu Golongan Miskin

GiatMara memperuntukkan sebanyak RM15 juta dalam melaksanakan Skim Latihan 1Malaysia bagi melatih ibu tunggal, suri rumah dan golongan miskin dengan pelbagai kemahiran ekonomi tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Shahiruddin Abd. Moin berkata, program yang dilaksanakan bagi tempoh jangka pendek itu berupaya meningkatkan kemahiran ekonomi golongan sasar.

"Antara kursus ditawarkan ialah membuat kuih tradisional dan moden, katering, masakan, anyaman, salon, solekan dan jahitan. Kursus diadakan antara tempoh seminggu atau sebulan bergantung kepada bidang kemahiran diambil yang dapat mengukuhkan lagi keyakinan mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan kepada 458 ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong di Kampung Lechar Dong di sini kelmarin.

Menurutnya, GiatMara bersedia membantu mana-mana lepasan kursus asas skim tersebut dalam menyediakan bantuan modal asas bagi memulakan perniagaan.

Katanya, pihaknya menyasarkan kira-kira 20 hingga 100 usahawan daripada golongan terbabit dilahirkan setiap tahun menerusi skim tersebut.

Beliau berkata, mereka yang berminat menyertainya boleh mengunjungi mana-mana cawangan GiatMara atau menghubungi ketua kampung, penghulu dan wakil rakyat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Jual Kompleks PKNS: Labur Atau Lebur?


KEWUJUDAN Kompleks PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Shah Alam sinonim dengan pembangunan dan kemajuan bandar tersebut. Dari sebuah bandar kecil pada tahun 1970-an, Shah Alam muncul sebagai ibu negeri Selangor menggantikan Kuala Lumpur, yang bertukar tangan menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1974.

Kompleks tersebut adalah pemangkin kepada perkembangan Shah Alam, kota raya Melayu yang turut menempatkan Istana Bukit Kayangan, kegunaan rasmi Sultan Selangor.

Kompleks PKNS Shah Alam juga sinonim dengan kemunculan dan perkembangan Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudiannya meningkat menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM). Para mahasiswa dan siswazah ITM/UiTM pasti tidak dapat melepasi nostalgia dengan kompleks Melayu itu kerana di sanalah mereka bertumpu saban hari setelah kepenatan berkuliah.

Kompleks PKNS Shah Alam adalah pusat perniagaan usahawan kecil Melayu bertapak di bawah satu bumbung yang diurus sempurna oleh perbadanan tersebut. Di sana bermulanya, perniagaan kecil orang Melayu, perusahaan orang Melayu dan perkhidmatan orang Melayu.

Pendek kata, segala-galanya bermula di situ. Pemusatan tersebut juga merupakan timbal-balik kepada PKNS sendiri. Para peniaga kecil berkenaanlah yang selama ini telah menghidupkan kompleks tersebut sehingga ia bertahan sehingga ke hari ini.

Kini, para peniaga berkenaan yang telah menjadi ‘talian hayat’ kepada PKNS meneruskan nafasnya mungkin terpaksa berundur. Manakan tidak, mereka telah diberikan notis rasmi baru-baru ini mengenai kadar sewa yang bakal berkuatkuasa mulai Januari 2012.

Kenaikan kadar baharu itu tentulah atas nama pemodenan dan penambahbaikan yang dilakukan melalui pindah milik premis berkenaan kepada pemilik baharu.

Apakah pilihan yang ada pada para peniaga yang sedia ada di sana.

Pilihan yang pasti tentulah merintih seperti bait yang terdapat dalam lagu Warisan: “Air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang.”

Para peniaga dan pengusaha yang menjadi penerus kelangsungan PKNS selama ini mungkin terpaksa menjadi mangsa seperti mana bait-bait seterusnya dalam lagu Warisan iaitu: “Tergadai seluruh harta benda, Akibat sengketa sesamalah kita. Cinta lenyap di arus zaman.”

Pentadbiran kerajaan Selangor dan juga PKNS mungkin tidak setuju dengan pandangan ini kerana bagi mereka tiga buah aset meganya termasuk SACC Mall di Shah Alam dan ibu pejabatnya sendiri iaitu Menara PKNS di Petaling Jaya perlu dipindah milik untuk menjana pendapatan berganda.

Menurut Pengurus Korporat PKNS, Norhisham Mohd Ghouth kepada akhbar Sinar Harian kelmarin, tiga bangunan tersebut hanya mengalami proses pengambilalihan sebagai usaha PKNS untuk menjana pendapatan sedia ada menerusi pelaburan dalam Real Estate Investment Trust (REIT).

Ini bermakna aset-aset tersebut tidak dijual. Sebaliknya ia adalah usaha mereka untuk menaikkan nilai harta tersebut. Ringkasnya, ia adalah pelaburan!

Barangkali kerajaan negeri Selangor mencontohi ‘kepakaran’ kerajaan Kelantan dalam proses memindahkan para peniaga Melayu ke Kompleks Tok Guru di Kota Baru yang pastinya tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada para peniaga.

Tentu mereka juga telah mempelajari kaedah menyahkan para peniaga Melayu di Kompleks Komtar di atas kepintaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menggandakan kadar sewa atas nama penambahbaikan.

Sudah menjadi rahsia yang menjadi perbualan umum mengenai tindak-tanduk kerajaan negeri Selangor pimpinan DAP tetapi ditopengkan dengan Menteri Besar PKR, meleburkan pelaburan warisan seperti Yayasan Selangor. Cabang pendidikan khususnya untuk menaikkan tahap pencapaian anak-anak Melayu dari desa yang telah berjasa itu akan diundurkan.

Dua buah bangunan berjasa yang menjadi asrama pusat yayasan itu di Kampung Pandan, Kuala Lumpur bakal dikorbankan atas nama pelaburan juga.

Kononnya lokasinya yang dihimpit oleh pembangunan pelbagai tidak sesuai lagi sebagai asrama. Ironinya, beberapa buah sekolah di kawasan itu termasuk Sekolah Aminuddin Baki (SAB) tidak pula ditimpa masalah – kerana ia bukan milik Kerajaan Negeri Selangor. Jika sekolah-sekolah berkenaan milik Selangor, pasti akan dileburkan juga.

Kini giliran Kompleks PKNS. yang terletak di Seksyen 14 Shah Alam, dah lebur... Bila pula kompleks PKNS di Bangi akan menerima nasib yang sama...? Adakah Kompleks PKNS Bangi masih belum cukup tinggi nilainya sebelum ia menerima nasib yang sama! Atau, kompleks di Bangi itu akan dileburkan seiring dengan ‘pelaburan’ hartanah milik Yayasan Selangor di Klang kelak?

Patutkah Datuk Nik Aziz Nik Mat dipersalahkan di Kelantan atau Guan Eng di Pulau Pinang? Salah jugakah Tan Sri Khalid Ibrahim yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor. Atau, ada pihak lain yang patut disalahkan.

Buat masa ini kita ucapkan ‘tahniah’ terlebih dahulu kepada pengundi Melayu di Shah Alam dan Selangor amnya kerana kejayaan mereka membuka peluang kepada usaha menggadai apa sahaja yang boleh dijadikan wang! Mungkinkah Melayu terus layu...?

Madinah Dambaan Umat Islam

MADINAH Al-Munawwarah merupakan kota kedua suci bagi umat Islam selepas Mekah Al-Mukarramah. Ia menjadi dambaan bagi umat Islam untuk mengunjunginya walaupun sekadar sekali sepanjang hayat.

Terletak di utara Mekah kira-kira 447 kilometer (km) atau lebih kurang tujuh jam perjalanan dari Mekah. Sebelah utara Kota Madinah disempadani dengan Bukit Uhud dan sebelah selatan disempadani dengan Bukit 'Iyr.

Di sebelah timur disempadani dengan laba hitam yang dinamakan Harrah al-Sharqiyyah dan di sebelah barat dengan laba hitam yang dinamakan Harrah al-Gharbiyah.

Madinah dahulunya dikenali sebagai Yathrib sempena dengan nama orang yang mula-mula membuka penempatan di sana iaitu Yathrib bin Ubayl bin Iwadh dari keturunan Sam anak Nabi Nuh a.s

Tempat-tempat menarik

Terdapat banyak tempat menarik dan bermakna untuk dilawati di bandar suci ini. Di bandar Madinah itu sendiri terutama di dalam kawasan penempatan jemaah haji (Markaziyah), tempat tumpuan utama dilawati adalah Masjid Nabawi.

Pagar Masjid Nabawi dahulunya merupakan tempat terdirinya Kota Madinah semasa zaman Rasulullah SAW.

Untuk melalui pintu masuk utama masjid ini, perlu melewati dataran jam yang kadangkala diserikan dengan kicauan burung merpati. Daripada pintu ini kita akan terus berjalan menuju ke pintu utama belakang masjid (Bab Malik Fahad).

Apabila masuk sahaja ke pintu ini lebih kurang 10 meter ke sebelah kanan terdapat sekeping jubin berbentuk bulatan dan berwarna kehitaman. Ia ditutup dengan karpet dan dijaga oleh seseorang.

Di sinilah dahulu terletaknya perigi Madinah yang menjadi sumber minuman penduduk zaman Rasulullah SAW.

Apabila kita menuju ke hadapan dalam masjid sambil menghadap kiblat, lebih kurang pada kedudukan 50 meter dari pintu masuk utama atau pada tempat letak kasut bernombor 200 dan ke atas, akan kita dapati bahagian Masjid Nabawi yang terbuka.

Kawasan yang terbuka inilah diberitakan merupakan kebun kurma seorang sahabat yang diwakafkan untuk didirikan masjid iaitu Abdul Rahman bin Auf.

Apabila kita maju ke hadapan lagi, pada sebelah kirinya kita akan mendapati satu tempat sedikit tinggi dan berpagar. Inilah tempat ahli suffah iaitu satu tempat di mana para-para sahabat beriktikaf untuk mempelajari atau menerima hadis daripada Rasulullah SAW. Antaranya adalah Abu Hurairah r.a

Di hadapan tempat berpagar ini, ada satu kawasan berpagar dan bertembok batu berwarna hijau. Inilah hujurat iaitu rumah Aisyah isteri Rasulullah SAW. Di dalamnya terdapat kubur Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda iaitu Abu Bakar dan Umar.

Sementara itu, antara makam Nabi dengan Mimbar Nabi adalah raudah iaitu taman di antara taman-taman syurga menjadi tempat rebutan umat Islam yang berkunjung ke Madinah. Bersebelahan dengan mimbar sekarang iaitu di sebelah kiri mimbar utama terdapat mihrab solat lama dipercayai mihrab Nabi SAW.

Selain itu, sebaris mihrab utama iaitu tempat imam mengetuai solat sekarang kira-kira 10 meter sebelah kiri mihrab ini terdapat mihrab lama dipercayai mihrab Khalifah Uthman. Menghadap kiblat atau mihrab solat utama di sebelah kanannya adalah pintu utama Bab Salam tempat utama umat Islam masuk ke masjid dan sebelah kiri mihrab adalah pintu Babul Baqi'. Berhadapan pintu ini terdapat perkuburan umat Islam Madinah dikenali sebagai Perkuburan Baqi.

Perkuburan Baqi pada asalnya mempunyai dua tempat iaitu Baqi Ummahatul Rasul dan Baqi Ul-Gharqad.

Pada zaman Khalifah Uthmaniyah, perkuburan itu disatukan dan jemaah haji lelaki sahaja dibenarkan untuk menziarahinya. Bagi jemaah haji wanita, mereka boleh melihat dari luar pagar perkuburan.

Daripada pintu utama perkuburan ini, menghadap sebelah kiri adalah perkuburan lama yang terdiri daripada ahli keluarga nabi termasuk bapa saudara baginda.

Ia dibuka selepas subuh sehingga pukul 8 pagi dan selepas asar sebelum masuk waktu maghrib.

Apabila kita maju ke hadapan, terdapat perkuburan anak-anak perempuan Rasulullah SAW.

Pada jalan utama menuju ke belakang terdapat perkuburan isteri-isteri Rasulullah SAW diikuti kubur Imam Malek bin Anas. Diikuti kubur Imam Qiraat Nafi. Kemudian kubur Ibrahim anak Rasulullah SAW dan kubur Syuhada Hurrah.

Apabila kita berjalan terus ke belakang, kita akan menjumpai kubur sahabat nabi SAW iaitu Uthman bin Affan. Di sebelah penjuru kiri perkuburan Baqi', terdapat perkuburan Fatimah bt Said iaitu ibu kepada Saidina Ali dan diikuti perkuburan Said al-Khudri

DBKL Tidak Keluarkan Lesen Niaga Kepada PATI

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir penjaja tempatan yang menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi menguruskan perniagaan mereka sehingga rakyat asing itu dilihat sebagai majikan.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Md. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen penjaja kepada pemohon yang terdiri daripada PATI untuk menjalankan perniagaan sendiri di bandar raya ini.

"Sesetengah pihak mungkin keliru dengan status pemilikan lesen penjaja itu kerana segelintir pemilik premis perniagaan menggunakan khidmat pembantu kedai dalam kalangan PATI.

"Adalah menjadi dasar DBKL untuk menolak permohonan lesen penjaja dalam kalangan PATI kerana kita memberi keutamaan kepada masyarakat tempatan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai segelintir PATI yang mendaftar dalam Program 6P didapati bekerja sendiri dan sesetengahnya menjadi majikan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara faktor berlaku perkara tersebut adalah kerana penyalahgunaan pas dan permit kerja serta pemalsuan dokumen dan identiti warga asing.

Jelas Md. Amin Nordin, DBKL hanya akan mengeluarkan lesen kepada premis perniagaan yang mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.

"Lesen perniagaan hanya akan diberi kepada warga asing sekiranya perniagaan mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," jelasnya.

Berhijrah Untuk Amal Islam

DAHULU walaupun sebagai golongan minoriti, keluarga Tina Stylianidou terkenal sebagai keluarga bangsa Yunani (Greek) yang dihormati dan dipandang tinggi di Turki.

Sehinggalah pada suatu hari pemerintah Turki mengambil tindakan keras menghalau bangsa Yunani keluar dari Turki yang turut menyaksikan harta kekayaan milik mereka turut dirampas.

Ia menyebabkan keluarga Tina kembali semula Athens, Greek dengan tangan kosong atau lebih tepat sehelai sepinggang. Maka bermulalah era baru keluarga beliau. Kanyakan mereka yang dihalau itu u benci Islam atau anti-Islam.

Mengikut sejarah, nenek moyang keluarga Tina pernah menetap di sebuah pulau yang terletak berdekatan dengan sempadan Turki. Apabila berlakunya Perang Turki-Greek, Turki berjaya menjajah pulau tersebut dan membakar seluruh rumah penduduk.

Ia menyebabkan para penduduk yang terselamat melarikan diri ke daratan untuk meneruskan kehidupan.

"Sejak itu, mereka bukan sahaja membenci Turki, malah turut benci terhadap Islam," kata Tina.

Penjajahan Turki selama 400 tahun menyebabkan para penduduk Greek menganggap setiap kejahatan terhadap penduduk Yunani dilakukan oleh Islam.

Ini apabila mereka ditanamkan ideologi Turki itu adalah lambang Islam dan kejahatan yang dilakukan oleh Turki mencerminkan keyakinan agama mereka.

"Jadi selama ratusan tahun kami diajar dalam sejarah kami dan buku-buku agama untuk membenci dan mempersendakan Islam," jelasnya.

Malah, di sekolah ada diajar bahawa Islam sebenarnya bukan sebuah agama dan nabi Muhammad itu sendiri bukannya seorang pesuruh Allah atau nabi.

"Baginda hanya seorang pemimpin yang sangat cerdas dan ahli politik yang berjaya mengumpulkan sejumlah aturan dan hukum hakam dari agama Yahudi dan Kristian. Kemudian di tokok tambah dengan beberapa ideanya sendiri dan kemudiannya berjaya menakluk dunia," kata Tina.

Beliau masih ingat salah satu tugasan oleh guru sekolah, iaitu membuat lakaran atau lukisan mengenai Nabi Muhammad, isteri baginda dan para sahabat baginda.

Lalu Tina pun melaksanakan tugas tersebut sehingga beliau berjaya melukis karikatur yang mempersenda dan menghina Rasulullah serta mendapat pujian oleh para gurunya.

"Semua karikatur dan fitnah terhadap diri baginda yang diterbitkan di media hari ini sebenarnya merupakan kesan daripada sebahagian kurikulum pelajaran yang kami terima," katanya.

Namun itu hanya pada luarannya, sedangkan Allah rupa-rupanya masih memelihara dan melindungi Tina daripada terus-terusan membenci terhadap Islam.

Kebencian itu tidak terus meresap dalam hatinya sementelah sebagai remaja, Tina seorang yang sangat suka membaca. Kebetulan beliau sendiri tidak begitu yakin dengan ajaran agama Kristian yang dianuti sejak kecil. Ditambah ibu bapanya sendiri hanya beragama Kristian pada nama sahaja.

Katanya, mereka jarang mengamalkan ajaran Kristian dan hanya membawa beliau ke gereja untuk upacara perkahwinan dan kematian sahaja.

"Mereka jadi begitu apabila mendapati kalangan paderi sendiri adalah golongan yang korup yang menyebabkan ibu bapa saya memilih untuk menjadi ateis.

"Tetapi saya memiliki kepercayaan kepada Tuhan, rasa takut dan mencintai Dia, tetapi dalam beberapa hal-hal yang lain, saya jadi bingung," katanya.

Tina mula tercari-cari tuhan untuk dipercayai tetapi tidak pernah mencari-Nya melalui Islam mungkin kerana latar belakang beliau yang dahulunya menentang Islam.

Ternyata Allah mengasihinya dan memimpin Tina dari kegelapan menuju ke cahaya kebenaran Islam, tunduk hanya kepada Allah yang satu.

Di tengah-tengah pencarian itu, beliau dipertemukan dengan pemuda yang sebangsa dengannya tetapi telah bergelar Muslim.

Daripada pemuda ini, Tina banyak belajar mengenai Islam termasuk membaca secara lengkap sirah Rasulullah SAW.

Seterusnya, menemukan jodoh antara Tina dan pemuda itu. Begitupun sebenarnya selepas tiga tahun mereka berkahwin barulah Tina memeluk Islam setelah berpuas hati dan kejayaan dakwah yang dilakukan oleh suaminya itu.

"Tidak mudah sebenarnya menjadi seorang Muslim apabila saya terpaksa merahsiakan pengislaman saya itu daripada keluarga dan teman-teman bertahun-tahun lamanya.

"Saya dan suami tinggal bersama di Greek berusaha mempraktikkan Islam sebagai satu cara hidup tetapi sangat sukar, hampir-hampir mustahil," katanya.

Sebabnya, di Greek tidak ada masjid, tidak ada akses mempelajari Islam, tidak ada mereka yang solat dan berdoa, berpuasa, atau perempuan memakai tudung atau menutup aurat.

Yang ada hanya beberapa imigran Muslim yang dengan tujuan ekonomi semata-mata dan tidak begitu peduli dengan kehidupan spiritual mereka.

"Bahkan, kehidupan mereka kelihatannya lebih Barat berbanding kami yang orang Barat," katanya.

Tergesa-gesa solat

Tina dan suaminya harus melakukan solat secara tergesa-gesa agar tak diketahui orang. Mereka menandakan kalendar Masihi dengan tanda-tanda tertentu, agar sesuai dengan kalendar hijrah, terutama bulan Ramadan dan Zulhijjah.

"Akhirnya ketika puteri kami lahir, kami memutuskan untuk berhijrah semula ke Turki. Kami tidak ingin membesarkannya di lingkungan di mana dia akan berjuang untuk mempertahankan identiti Muslimnya," kata beliau yang sudah empat tahun menetap di Turki.

Tina amat merindui kampung halaman selain sering tertanya-tanya apakah sudah sampai waktunya untuk mereka kembali semula ke Greek, negara yang indah tempat tumpah darahnya.

Seterusnya, cuba untuk menggabungkan identiti indah dan budaya nenek moyang Yunani dengan identiti Islam yang dianuti.

"Begitupun saya sungguh bangga dan bersyukur kepada Allah bahawa saya akhirnya dapat menjadi warga atau bangsa Yunani dan Muslim yang baik," katanya.

Kempen Cegah Jenayah Di Pahang

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) akan melancarkan kempen cegah jenayah peringkat negeri Pahang pada 1 Oktober depan.

Naib Pengerusi YPJM, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kempen tersebut yang bertemakan Remaja Bersatu Memerangi Jenayah akan berlangsung di Tunas Manja Temerloh bermula pada pukul 3 petang.

Katanya, kempen tahun ini memberikan fokus kepada golongan remaja bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab mereka memerangi jenayah terhadap diri sendiri, keluarga, ibu bapa, sekolah dan masyarakat.

“Kita harap melalui kempen ini dapat meningkatkan kesedaran remaja supaya mereka tidak terlibat dengan gejala negatif seperti penagihan dadah, jenayah juvana dan lain-lain lagi.

“Kempen ini yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan membantu negara menjalankan program pendidikan di kalangan generasi muda agar mereka menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berdisiplin,” kata Lam Thye.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sehari ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh bagi membincangkan pelancaran Hari Pencegahan Jenayah Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini.

Menurut beliau, generasi muda perlu diberitahu tanggungjawab yang besar mengenai peranan dan sumbangan mereka terhadap negara dan masyarakat apabila mereka dewasa nanti.

Katanya, mereka boleh dididik sejak di bangku sekolah lagi dengan memberikan peluang mereka untuk bersuara.

“Dari Januari sehingga Jun 2010, sebanyak 761 kes melibatkan pelajar sekolah dalam jenayah kekerasan dan harta benda dan kes itu menurun 2.6 peratus (741) bagi tempoh yang sama pada tahun ini.

“Jenayah kekerasan dan harta benda yang dilakukan oleh remaja yang tidak bersekolah ialah 1142 kes bagi tempoh Januari hingga Jun 2010 dan ia meningkat 278 kes atau 24 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun ini,” kata beliau.

Sehubungan itu beliau berharap melalui kempen tersebut ia dapat menyemaikan nilai-nilai murni dan mengeratkan lagi budaya dan institusi kekeluargaan di kalangan generasi muda.

Pesan Imam Kota Suci Mekah

Written By Scud on Wednesday, September 21, 2011 | 9:23 PM

BAGAIMANAKAH hendak menyampaikan "mesej" imam kota suci Mekah kepada Mursyidul Am Pas? Demikian satu soalan berlegar dalam kepala sambil saya memandu kereta dalam perjalanan pulang setelah menunaikan solat tarawih di Surau Alhuda, Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin pada minggu pertama bulan puasa yang lalu.

Pada malam itu, Sheikh Idris Ismail Al-Hafiz, yang menjadi Imam Tamu sepanjang bulan Ramadan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur telah berkenan berbuka puasa di Jabatan Pengarang Utusan Melayu dan mengimami solat tarawih di Surau Alhuda. Selepas solat tarawih beliau memberi usrah ringkas diikuti dengan sesi soal jawab.

Semasa sesi soal jawab itulah saya menangkap satu pesanan ringkas (nasihat) Sheikh Idris yang saya rasa sangat bermanfaat untuk diingat dan diamalkan demi perbaikan diri dalam konteks sosial sehari-hari dan demi pengukuhan iman kepada Ilahi.

Saya percaya nasihat yang terkandung dalam usrah Sheikh Idris itu wajar juga dijadikan iktibar untuk perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam. Dalam konteks itulah saya teringat Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang saya anggap memegang peranan yang sangat 'genting' (bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk mewujudkan perpaduan bangsa Melayu yang sekarang berpecah belah.

Inti pati pesanan imam Mekah itu ialah supaya umat Islam mengamalkan "sikap pemaaf" dan membebaskan diri daripada belenggu membalas dendam. Ini sesuai dengan pengajaran orang tua-tua Melayu: "Ambil yang jernih, buang yang keruh."

Sheikh Idris menceritakan kisah seorang awam di zaman Nabi yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah akan masuk syurga dengan mudah. Kenyataan Rasulullah itu mendorong beberapa orang sahabat untuk berusaha "mencungkil rahsia" (ibadat-ibadat istimewa) orang awam tersebut.

Setelah "mengintai-intai" (mengamati) amalannya sehari-hari yang ternyata tidak ada yang luar biasa, individu berkenaan ditanya apakah amalan-amalan lain yang dilakukannya sehingga Rasulullah berkata bahawa dia akan masuk syurga dengan mudah.

Jawapannya: "Tidak ada amalan yang luar biasa yang saya lakukan. Tetapi barangkali yang agak berlainan daripada kebanyakan orang ialah sebelum tidur di waktu malam, saya mengingatkan diri saya supaya memaafkan siapa sahaja yang bersalah kepada saya walau apa pun kesalahannya."

Mentafsirkan lebih lanjut kisah "orang awam yang pemaaf" itu, saya tiba-tiba menyedari betapa kita sebagai umat Islam senantiasa beristighfar, memohon ampun dan kemaafan daripada Allah SWT atas segala dosa dan kekhilafan kita.

Tetapi pada masa yang sama ramai dalam kalangan kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain. Sebaliknya kita terus menaruh dendam dan mengungkit-ungkit kesalahan masa lalu yang dilakukan orang lain terhadap kita.

Menyedari hakikat itulah saya cuba bermuhasabah dan mengambil satu resolusi sempena bulan puasa lalu untuk menjadi seorang yang lebih "pemaaf". Demikianlah sepanjang bulan Ramadan, selain daripada berlapar di siang hari saya dengan bersungguh-sungguh melatih diri menjadi seorang yang "pemaaf" dan "penyabar."

Kemudian, pada minggu kedua bulan Syawal saya berada di Bandung, Indonesia dan kebetulan sempat membaca satu rencana berjudul "Halalbilhalal, Belajar Saling Memaafkan", hasil tulisan seorang guru sekolah bernama Suleha, dalam akhbar harian Pikiran Rakyat.

Setelah membaca artikel itu, "azam Ramadan" saya untuk menjadi seorang yang lebih "pemaaf" dan lebih "penyabar" berkat usrah ringkas Sheikh Idris tersebut menjadi lebih teguh. Dan pada masa yang sama hasrat untuk menyampaikan "mesej" Sheikh Idris kepada Tuan Guru Nik Aziz, juga menjadi semakin kuat.

Penulis Suleha memulakan artikelnya dengan memetik pandangan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mengatakan: "Amal yang paling disenangi Allah SWT ada tiga. Memberi maaf sewaktu sempat membalas dendam. Berlaku adil sewaktu berada dalam keadaan emosional. Dan menaruh belas kasihan terhadap sesama hamba Allah."

Dengan itu dapat dirumuskan bahawa usrah ringkas Sheikh Idris di Surau Alhuda itu mempunyai semangat dan kandungan yang sama dengan karangan Suleha. Kedua-duanya menyeru kepada peningkatan ukhuwah dan silaturahim, peningkatan persefahaman dan saling memaafkan.

Alangkah beruntungnya bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia sekiranya seruan tersebut disambut secara positif oleh pimpinan dua parti Islam terbesar di negara ini: UMNO dan Pas.

Perlu diingat bahawa di suatu masa dahulu Pas dan UMNO bekerjasama secara produktif atau bersaing secara sihat untuk kesejahteraan dan kemajuan bangsa Melayu dan umat Islam. Tetapi sejak akhir-akhir ini, antara kedua-dua parti politik ini berlaku pertengkaran yang merugikan bagaikan menang jadi arang, kalah jadi abu.

Menyedari hakikat itulah kita wajib menyampaikan kepada pimpinan kedua parti tentang semangat dan kandungan usrah ringkas Sheikh Idris dan huraian penulis Suleha mengenai semangat bermaaf-maafan itu. Dan secara khusus barangkali seruan perlu ditujukan kepada Nik Aziz supaya melupakan "dendamnya" terhadap UMNO.
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger