Headlines News :
Home » » DBKL Tidak Keluarkan Lesen Niaga Kepada PATI

DBKL Tidak Keluarkan Lesen Niaga Kepada PATI

Written By Scud on Thursday, September 22, 2011 | 11:17 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir penjaja tempatan yang menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi menguruskan perniagaan mereka sehingga rakyat asing itu dilihat sebagai majikan.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Md. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen penjaja kepada pemohon yang terdiri daripada PATI untuk menjalankan perniagaan sendiri di bandar raya ini.

"Sesetengah pihak mungkin keliru dengan status pemilikan lesen penjaja itu kerana segelintir pemilik premis perniagaan menggunakan khidmat pembantu kedai dalam kalangan PATI.

"Adalah menjadi dasar DBKL untuk menolak permohonan lesen penjaja dalam kalangan PATI kerana kita memberi keutamaan kepada masyarakat tempatan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai segelintir PATI yang mendaftar dalam Program 6P didapati bekerja sendiri dan sesetengahnya menjadi majikan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara faktor berlaku perkara tersebut adalah kerana penyalahgunaan pas dan permit kerja serta pemalsuan dokumen dan identiti warga asing.

Jelas Md. Amin Nordin, DBKL hanya akan mengeluarkan lesen kepada premis perniagaan yang mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.

"Lesen perniagaan hanya akan diberi kepada warga asing sekiranya perniagaan mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," jelasnya.
Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger