Headlines News :
Home » » Pembangkang Semakin Gila

Pembangkang Semakin Gila

Written By Scud on Wednesday, May 12, 2010 | 11:33 AM

PADA Pilihan Raya Umum 2008, pakatan pembangkang yang menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah mencatatkan kejayaan memberangsangkan. Kejayaan itu adalah hasil permainan politik persepsi yang diwujudkan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Ternyata agenda politik persepsi tersebut masih mahu diteruskan oleh pakatan berkenaan yang kini begitu angkuh dengan penguasaan mengetepikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menjadi kerajaan negeri di empat buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang serta Selangor.

Malang sekali berikutan merasakan mereka semakin kuat dan kukuh serta mendapatkan sokongan rakyat, tingkah laku pembangkang sama ada di peringkat pusat mahupun negeri semakin memualkan.

Kebebasan bersuara dengan diiringi secebis kuasa yang dimiliki telah menyebabkan pakatan pembangkang merasakan mereka boleh melakukan apa sahaja termasuklah semakin kurangnya rasa hormat terhadap institusi-institusi yang selama ini disanjung oleh rakyat.

Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, sudah membutkikan bahawa pembangkang semakin merasakan diri mereka kebal. Mereka memperlekehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka menyerang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka mempertikaikan kebebasan badan kehakiman dan paling buruk, mereka mempersoalkan kuasa-kuasa Raja-raja Melayu.

Dalam soal ini, dua parti pembangkang yang paling menonjol melakukan perbuatan tersebut ialah PKR dan DAP, manakala Pas pula demi mencari kuasa politik tidak mahu menegur keceluparan serta kebiadaban kedua-dua parti berkenaan.

Beberapa peristiwa yang berlaku sejak kebelakangan ini membuktikan bahawa pendekatan politik pembangkang sudah sampai ke tahap tidak boleh dikompromi lagi. Segala-galanya mahu dipolitikkan sehingga rasa hormat mereka kepada institusi-institusi tertentu juga semakin menipis.

Lihat sahaja krisis politik di Perak, walaupun mahkamah sudah memutuskan bahawa BN berhak memerintah dan ia sebelum itu sudah mendapat perkenan sultan namun pembangkang tetap mahu menimbulkan huru-hara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Mereka seolah-olah tidak mempunyai langsung rasa hormat kepada kedua-dua institusi berkenaan yang selama ini sentiasa disanjung oleh rakyat.

Begitu juga di Kedah apabila ada wakil rakyat daripada Pas yang sanggup mengemukakan soalan di DUN berkaitan bidang kuasa sultan sehingga mencetuskan kontroversi. Terbaru, melibatkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda tidak membenarkan masjid dan surau di negeri itu digunakan sebagai tempat berkempen politik.

Bermula dengan pandangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung perkara berkenaan, ia disusuli dengan tulisan 'jagoan baru' PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam blognya yang mengatakan titah Sultan Selangor itu bukan satu arahan, perintah atau decree kerana dalam sistem raja berperlembagaan sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.

Kenyataan Zaid dianggap biadab oleh pelbagai pihak sehinggakan laporan polis dibuat bagi menggesa siasatan dijalankan.

Dalam sejarah politik negara, belum pernah ada mana-mana pihak yang mempertikaikan sebarang titah Raja-raja Melayu. Tetapi sekarang, akibat merasakan diri mereka sudah kuat, maka wujudnya kelompok pemimpin pembangkang yang mempersoalkan dan mempertikaikan apa juga perkara yang difikirkan boleh memberikan keuntungan politik kepada mereka.

Tidak cukup dengan itu, DAP pula terus menjadikan PDRM dan SPRM sebagai sasaran 'musuh paling nyata' bagi mereka. Apa sahaja isu yang berbangkit berkaitan dengan kedua-dua organisasi ini, maka terpekik terlolonglah pemimpin-pemimpin DAP mengeksploitasikannya.

Ini terbukti dalam kes kematian Teoh Beng Hock yang disiasat oleh SPRM dan peristiwa remaja Amirulrasyid Amzah yang mati terkena tembakan oleh polis. DAP terutama Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, telah mengeluarkan kenyataan yang jelas menunjukkan bahawa parti itu semakin biadab dalam berpolitik.

Dengan mudah sekali, ketika siasatan rapi berhubung kejadian itu dilakukan, Guan Eng yang cuba mengabui mata orang Melayu dengan menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai idola menuduh Tan Sri Musa Hassan tidak layak menjadi Ketua Polis Negara.

Ketika berucap di dalam DUN Pulau Pinang, Guan Eng mengecam Musa dan polis habis-habisan seolah-olah pasukan tersebut tidak pernah secebis pun berjasa kepada rakyat dan negara termasuklah untuk Guan Eng sendiri.

DAP dengan dibantu oleh PKR serta segelintir pemimpin Pas terus mengecam polis berhubung kejadian berkenaan. Puak-puak ini yang sering bercakap soal menegakkan keadilan, awal-awal lagi sudah menjatuhkan hukuman kepada polis biarpun siasatan belum selesai.

Inilah mainan politik pembangkang sekarang. Mereka mengamalkan politik mewujudkan persepsi dan membangkitkan perasaan kebencian rakyat kepada kerajaan serta institusi-institusi tertentu.

Matlamat mereka ialah untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa semua institusi yang ada termasuklah kerajaan sekarang buruk-buruk belaka. Pakatan pembangkang cuba menonjolkan bahawa mereka adalah kelompok terbaik yang harus menjadi pilihan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam amalan demokrasi dan mencari kuasa politik, tidak salah untuk berusaha meraih sokongan rakyat. Tetapi wajarkah dalam keghairahan mencari kuasa politik tersebut, pembangkang perlu terus menunjukkan sikap biadab dan tidak menghormati institusi-institusi yang selama ini menjadi tunjang keamanan negara?

Adalah sesuatu yang malang apabila pemimpin-pemimpin utama parti itu termasuklah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mempertahankan perbuatan biadab yang mereka lakukan. Malah lebih mendukacitakan, apa juga isu yang berlaku semuanya ditunding jari mengatakan ia mainan UMNO dan media prokerajaan.

Ia termasuklah juga isu pemberian RM4 juta bagi melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun isu itu melibatkan Pas secara jelas tetapi ada di kalangan pemimpin parti itu, mungkin juga demi melepaskan dirinya menuduh ia mainan UMNO.

Pembangkang seolah-olah merasakan apa juga yang mereka lakukan adalah betul berasaskan kepada amalan demokrasi yang dibuat mengikut tafsiran mereka.

Justeru dalam berhadapan dengan 'kegilaan' mainan politik pembangkang yang semata-mata untuk merebut kuasa, adalah wajar UMNO dengan dibantu oleh komponen BN yang lain turun ke padang membuat penjelasan kepada rakyat.

Pada masa yang sama semua komponen BN harus mempertahankan institusi yang diserang oleh pembangkang. Mereka tidak boleh turut dilihat bersetuju dengan mainan politik pembangkang, ia kerana jika institusi-institusi yang dinyatakan terus diganggu-gugat ia boleh mencetuskan keadaan yang tidak stabil dalam negara.

Oleh itu, sementara kita memahami bahawa dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pembangkang tetap diperlukan tetapi biarlah ia kelompok pembangkang yang mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara, bukannya gerombolan pembangkang yang sanggup menghalalkan apa juga cara bagi mencapai matlamat politik sempit mereka.

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger