Headlines News :
Home » » Sastera : Orang Budiman Dan Negeri Seribu Gunung

Sastera : Orang Budiman Dan Negeri Seribu Gunung

Written By Scud on Wednesday, September 15, 2010 | 12:44 PM

Setiap tahun, di negeri kami, tidak ada hari yang lebih ditunggu-tunggu, selain hari lebaran. Selalunya, pada pagi lebaran, ketika mentari mula terbit dan cahaya sulungnya mula menyentuh daun-daun pohon di pergunungan, hati kami pasti sendat oleh kegembiraan. Tetapi, tidak pagi ini, biarpun mentari lebaran sudah betul-betul berada di atas kepala, namun, kami masih belum lagi keluar menziarahi saudara mara. Benarlah, tidak ada akibat yang lebih buruk, selain tidak mematuhi kata-kata orang budiman.

Ada kata-kata yang cukup terkenal di negeri kami tentang orang budiman: Jika ada orang bertanya, apakah ada mahligai yang lebih besar dan indah daripada mahligai raja, jawapannya tentulah tidak ada. Tetapi, jika ada orang bertanya, apakah ada yang lebih halus daripada sutera persalinan raja, maka itulah kata-kata orang budiman. Jika orang bertanya apakah ada kekayaan yang lebih besar daripada yang tersimpan di dalam perbendaharaan raja, jawabnya tentulah fikiran orang budiman.

Jika orang bertanya, apakah yang lebih berani daripada senapati raja, jawabnya tentu jiwa orang budiman. Jika orang bertanya lagi, adakah yang lebih tinggi dari kehormatan yang dimiliki oleh seorang raja, maka jawabnya tentulah kehormatan yang dimiliki oleh orang budiman.

Kami ialah penduduk Negeri Seribu Gunung. Kami pun tidak pasti, adakah benar ada seribu gunung di negeri kami. Tetapi, kami sangat pasti, negeri kami memang dikelilingi oleh gunung yang banyak. Gunung Naga ialah gunung yang paling tinggi, berbanding gunung-gunung yang lain. Kata orang, hanya orang budiman sahaja yang pernah mendaki hingga ke puncak. Di puncak Gunung Nagalah tersimpannya kunci kearifan para orang budiman yang menjadi sebahagian sejarah negeri kami sejak begitu lama, begitulah kata orang.

Namun, kata orang lagi, di puncak Gunung Naga, tidak sahaja ada kunci kearifan orang budiman, tetapi di sanalah seekor naga bersarang. Kerana itu, mendaki dan mencapai puncak Gunung Naga bukan sahaja satu latihan kerohanian buat orang budiman, tetapi juga satu kenikmatan dalam mengecapi keajaiban-keajaiban kejadian Tuhan, yang sesetengahnya hanya boleh dinikmati oleh segolongan kecil manusia terpilih.

Tentunya, semua penyataan itu hanyalah cerita, yang bukan sahaja tidak diketahui siapa yang mula-mula menyebarkannya, malah, sangat besar nada dongengnya. Kisah-kisah sebegitu tentulah sangat enak didengar, apalagi tentu sangat menarik perhatian anak-anak negeri yang masih kecil dan sukakan angan-angan. Orang budiman sendiri tidak pernah menyentuh sedikitpun tentang adanya seekor naga di puncak Gunung Naga yang mereka tawan.

Kemangkatan

Kemangkatan seorang raja tentulah satu perkara yang biasa sahaja, biarpun mengundang rasa sedih di dalam diri kami, lebih-lebih lagi raja yang mangkat itu sangat adil dan saksama. Lagipun, tradisi istana di negeri kami, yang sangat menghormati orang budiman pada setiap zaman, sekurang-kurangnya meredam kebimbangan kami akan kelahiran seorang raja yang zalim. Seperti yang terdapat dalam sejarah, sering kali raja yang mewarisi takhta, akan meneruskan tradisi ini.

Tetapi, tidak selamanya orang menghargai tradisi. Begitulah yang terjadi saat putera sulung raja kami yang mangkat, menjadi raja baru di negeri kami beberapa purnama yang lalu. Dongeng naga bersarang di puncak Gunung Naga, yang selama ini tidak pernah menarik perhatian para raja sebelum baginda, tiba-tiba sahaja menjadi satu tajuk yang sangat suka diperkatakan baginda. Puncaknya, dongeng naga ini ditanya sendiri kepada orang budiman.

"Jadi, ceritakan kepada beta, adakah memang benar ada naga di puncak sana?"

"Ampuan tuanku. Oh, tentang naga rupanya! Patik ingatkan perkara penting apa yang hendak tuanku bincangkan," kata orang budiman.

"Maksud tuan hamba, soal naga itu tidak penting? Begini sahaja, mulai hari ini, biar beta yang menentukan apa yang penting dan apa yang tidak. Sekarang dengarkan, beta rasa, penting untuk rakyat kita tahu apa memang benar ada seekor naga di sana? Bukankah sudah diketahui ramai, setiap orang budiman pernah tiba di puncak sana? Jika benar, sebagai orang budiman, tentu tuan hamba tahu kebenarannya."

"Ampun tuanku," begitu jawab orang budiman, "patik tahu kebenarannya. Tapi tak semua kebenaran boleh diberitahu. Kadang-kadang, sesetengah kebenaran tidak boleh dikongsi, dan menjadi hak milik orang yang mendapatnya sahaja. Lagipun, tujuan patik menakluk puncak Gunung Naga adalah untuk menguasai diri patik, bukannya menguasai gunung itu. Maksud patik, hanya orang yang turun dengan tidak membawa apa-apa dari puncak gunung dan merahsiakan pengalamannya sepanjang di sana sahaja, layak untuk berkongsi cerita."

"Jadi, maksud tuan hamba, sebagai raja negeri ini, beta tidak berhak untuk mengetahui kebenaran dan tidak layak? Begitu maksud tuan hamba," suara sang raja mulai meninggi, nadanya seolah-olah libasan pedang yang sedang dahagakan darah.

"Ampun tuanku. Bukan begitu maksud patik. Lagipun tidak semua kebenaran akan membijakkan semua orang."

"Kalau begitu, apakah tuan hamba mahu tahu kebenaran yang Tuhan ilhamkan kepada beta sekarang?"

Orang budiman hanya diam.

"Anggaplah hari ini hari terakhir tuan hamba melihat matahari!"

"Kalau itulah takdir Tuhan, hamba tentunya menerima," begitu jawab orang budiman, dengan nada yang terang, seolah-olah ancaman raja yang mahu membunuhnya itu, tidak lebih dari suara angin yang cukup menenangkan. Namun, jawapan yang diberikan oleh orang budiman itu ternyata membakar seluruh amarah sang raja. Baginda melompat turun dari singgahsana, menarik pedang di pinggang senapati, dan dengan satu gerakan pantas, kepala orang budiman sudah terpisah dari badannya.

"Kalau begitu, biar beta sendiri yang mencari kebenarannya," begitu kata sang raja, sambil melihat badan orang budiman yang sudah tidak berkepala, perlahan-lahan rebah menyembah bumi.

Khabar raja membunuh orang budiman dengan cepatnya tersebar ke seantero negeri. Berita seperti itu bukan sahaja cukup memeranjatkan kami, namun, berita yang tersebar seperti penyakit hawar itu, seolah-olah mencabut segala kedamaian dan ketenteraman di dalam diri kami. Sang raja kami bukan sahaja telah memutuskan tradisi yang begitu lama dengan orang budiman, malah, menamatkan tradisi tersebut dengan memenggal kepala orang budiman. Khabar itu juga dengan pantas mewujudkan beberapa golongan yang bangun menentang raja. Tetapi, jika orang budiman yang begitu dihormati di dalam negeri kami pun dipenggal kepalanya, inikan pula kepala para pemberontak.

Selepas berjaya menundukkan para pemberontak, dan berjaya mengekalkan takhtanya, tumpuan raja kembali kepada dongeng naga itu. Dia boleh sahaja mengirimkan orang-orang suruhannya untuk mendaki ke puncak Gunung Naga, melihat kalau memang benar ada naga di sana. Namun, bagaimana kalau orang suruhannya itu berbohong? Lagipun, bukankah hanya orang budiman sahaja yang mampu mendaki ke puncak?

Kerana itulah, sang raja mula berfikir, adalah lebih baik baginda sahaja, dengan dibantu oleh para senapati, cuba mendaki ke puncak gunung. Jika baginda berjaya sampai ke puncak gunung, baginda bukan sahaja boleh melihat kebenaran yang ada di sana, malah, dia tentunya dianggap sebagai orang budiman. Bukankah bukit itu hanya boleh didaki oleh orang budiman? Sedikit sebanyak, fikirnya, dengan kejayaan baginda itu nanti, akan memadamkan terus api pemberontakan yang tersisa. Tentu rakyatnya akan menerimanya, bukan sahaja sebagai seorang raja, malah sekaligus sebagai orang budiman. Dia bukan sahaja akan memecahkan sejarah, malah akan menjadi raja yang istimewa, kerana di dalam dirinya mengalir darah raja, sekaligus darah orang budiman.

Pendakian

Tetapi, pendakian itu mesti dirahsiakan, sekurang-kurangnya buat sementara waktu. Yang pertama, baginda yakin, usaha untuk mendaki gunung itu ke puncak tidak akan berjaya jika tidak dibantu oleh para senapati. Jika nanti rakyat tahu, pasti baginda tidak akan mendapat penghormatan seperti yang pernah dimiliki oleh orang budiman, kerana orang budiman tidak pernah meminta bantuan sesiapa untuk sampai di puncak. Yang kedua, apabila tiba masanya, baginda akan mengumumkan kejayaan baginda. Namun, bagaimana caranya untuk membuatkan rakyat percaya bahawa baginda telah sampai ke puncak? Rakyat memerlukan bukti. Rakyat tidak akan percaya kepada seorang raja yang membunuh orang budiman.

"Beta akan memotong bahagian puncak gunung, dan membawanya turun untuk ditatap oleh rakyat beta," begitu titah raja kepada para senapatinya.

Selepas itu, bermulalah pendakian raja, menuju ke puncak gunung. Setelah beberapa lama, dengan pertolongan para senapatinya, akhirnya raja tiba juga di puncak. Buat pertama kali, raja mengetahui bahawa puncak Gunung Naga diliputi oleh ais. Selama ini baginda membayangkan puncak gunung tidak ada bezanya dengan daratan di kaki gunung, kecuali bentuknya sahaja yang tirus dan tajam. Dan kini, dia bukan sahaja berjaya tiba di tempat yang hanya pernah dijejak oleh para orang budiman, malah, dia akan mengetahui kebenaran yang telah dibawa ke kubur oleh orang budiman yang dibunuh baginda.

"Sungguh, biarpun orang budiman telah beta bunuh, dan ramai rakyat bangkit memberontak, tidaklah rugi, kerana beta dapat melihat sendiri, bahawa naga memang wujud di dunia ini," kata raja dengan rasa cukup berpuas hati, sambil memandang sejenis binatang yang beku betul-betul di puncak gunung.

"Ayuh, potong puncak ini, biar rakyat beta tahu, bahawa raja mereka bukan sahaja telah menjadi tiba di puncak, malah, akan memperlihatkan mereka kepada sejenis binatang yang hanya ada di dalam dongengan. Kirimkan segera berita ini biar diketahui oleh sekalian rakyat. Beta mahu rakyat beta berkongsi kegembiraan ini dengan beta."

Berita tentang kejayaan raja berjaya menawan puncak Gunung Naga mulalah disebarkan oleh orang istana. Di mana-mana gong dipalu, dan khatib dengan suara yang lantang, menyebarkan kejayaan tersebut, "Beruntunglah kita rakyat jelata kerana mempunyai orang budiman yang menjadi raja. Malah, demi kasih baginda kepada rakyat jelata, baginda bersusah payah memotong puncaknya, dan membawanya turun. Hanya raja yang dikurniakan keajaiban oleh Tuhan sahaja boleh berbuat demikian seorang diri. Baginda juga cukup bermurah hati dengan menjemput kalian ke istana, untuk melihat dengan mata kepala sendiri, bahawa cerita tentang adanya naga di puncak gunung Naga, bukanlah dongeng."

Khabar berita seperti itu ialah khabar kedua yang menggemparkan, selepas khabar pembunuhan orang budiman. Berpusu-pusulah rakyat menuju ke istana raja untuk melihat naga yang sedang beku di dalam sebongkah ais yang berbentuk seperti tudung saji. Ada yang melopong, ada yang menggeleng kerana kehairanan, malah, ada juga yang meletakkanmuka betul-betul di atas ais yang mengandungi naga itu, semata-mata untuk melihat bentuk naga dengan lebih jelas. Dalam sekelip mata, suasana di istana menjadi seperti satu pesta.

Biarpun negeri kami di kenali sebagai Negeri Seribu Gunung, dan dikelilingi oleh gunung ganang, tidak ada seorang pun yang tahu bahawa, puncak gunung yang membeku, apabila di bawa ke daratan, akhirnya akan mencair. Setelah beberapa hari, akhirnya itulah juga yang berlaku kepada puncak gunung Naga yang berada di laman istana. Dengan cairnya puncak tersebut, bangkai naga yang beku di dalamnya turut mencair. Kata orang yang sempat menyaksikan kejadian tersebut, tidak ada orang yang menyangka bahawa naga itu sebenarnya masih hidup. Cuma kesejukan puncak gunung sahaja yang membuatnya beku.

Apalah yang boleh dilakukan oleh rakyat yang berada di situ. Selain terkejut, akhirnya mereka turut menjadi mangsa kebodohan raja. Tiba-tiba sahaja, naga yang masih hidup itu, kata orang, menghamburkan api, dan membakar istana. Hampir semua yang ada di istana waktu itu, termasuk raja, akhirnya mati dalam amukan sang naga. Kata orang yang terselamat, kini naga itu masih mengamuk, masih mencari mangsa, dan masih mahu membunuh.

Selepas khabar orang budiman dan kejayaan raja membawa turun puncak gunung naga ke istana, inilah khabar ketiga yang cukup menggemparkan. Jika dahulu ketenangan kami dicabut setelah kematian orang budiman, kini, kami tidak punya pilihan selain hidup dalam ketakutan. Satu malapetaka, boleh bermula di mana-mana sahaja. Tapi percayalah, tidak ada malapetaka yang lebih besar, selain yang disebabkan oleh pembunuhan orang budiman. Hari ini, barulah kami memahami, mengapa setiap orang budiman menawan puncak Gunung Naga dengan susah payah, sebelum turun kembali dan menutup mulut daripada bercerita tentang pengalaman mereka di sana. Memang benar, tidak semua kebenaran boleh dikongsi kepada semua orang.

Maka betullah gambaran tentang orang budiman: Jika ada orang bertanya, apakah ada yang lebih halus daripada sutera persalinan raja, maka itulah kata-kata orang budiman. Jika orang bertanya apakah ada kekayaan yang lebih besar daripada yang tersimpan di dalam perbendaharaan raja, jawabnya tentulah fikiran orang budiman. Jika orang bertanya, apakah yang lebih berani dari senapati raja, jawabnya tentu jiwa orang budiman. Jika orang bertanya lagi, adakah yang lebih tinggi dari kehormatan yang dimiliki oleh seorang raja, maka jawabnya tentulah kehormatan yang dimiliki oleh orang budiman.

Hari ini, saat mentari lebaran betul-betul tegak di atas kepala, untuk mengurangkan kebimbangan dan ketakutan, kami mencongak kebenaran kata-kata terkenal itu yang diungkapkan pada baris paling awal, untuk menggambarkan orang budiman: Jika ada orang bertanya, apakah ada mahligai yang lebih besar dan indah daripada mahligai raja, apakah jawapan tidak ada masih tepat?

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger