PULAU PINANG 5 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan Eng didakwa fobia terhadap UMNO sehinggakan apa sahaja penentangan ke atas pentadbirannya diletakkan kesalahan kepada parti itu.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Ir. Shaikh Hussein Mydin berkata, sikap sedemikian mencerminkan Setiausaha Agung DAP itu seolah-olah takut kepada bayang-bayang sendiri dan tidak mampu menerima hakikat tentang kelemahannya.
Justeru, katanya, adalah lebih baik Guan Eng melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri kerana tidak boleh dikritik rakyat.
"Dia terlalu takut kepada segala tindak-tanduk UMNO sehinggakan jika dia jatuh longkang, dia akan tuduh UMNO yang menolaknya.
"Begitulah gambaran sikap Guan Eng. Apa saja perkara buruk yang berlaku di negeri ini, pasti dia akan tuduh UMNO menjadi dalang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Guan Eng baru-baru ini yang menuduh UMNO menjadi dalang kepada perhimpunan dan perarakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Jambatan Pulau Pinang Jumaat lalu.
Menurut Shaikh Hussein, Guan Eng sebenarnya sengaja memburukkan imej UMNO kerana tahu parti itu mampu bangkit bersama rakyat menentang pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang yang sering melakukan kezaliman serta penindasan.
"Kebangkitan rakyat adalah berpunca daripada sikap diktator dia sendiri yang enggan membuka pintu rundingan untuk rakyat.
"Sikap serta tindakannya yang sering menindas rakyat membuatkan rakyat semakin hilang sabar. Sebab itulah rakyat kini mula bangkit menentang kerajaannya," katanya.
0 comments:
Post a Comment