Headlines News :
Home » » Lotus Azam Baiki Prestasi GP Britain

Lotus Azam Baiki Prestasi GP Britain

Written By Scud on Wednesday, July 6, 2011 | 12:30 PM

KUALA LUMPUR - Selepas beraksi hambar di Valencia, Lotus menyasar membaiki prestasi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu Britain di Silverstone, hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Teknikal, Mike Gascoyne berkata, GP Britain merupakan gelanggang tuan rumah buat Lotus dan ini merupakan kesempatan terbaik untuk memulihkan kembali prestasi sebenar pasukan ke landasan asal, lebih-lebih lagi Lotus bakal berlumba di depan penyokong tempatan.

“Saya dapat berasakan saingan di Silverstone akan berlangsung dengan baik buat kami. Ia juga merupakan salah satu Grand Prix tuan rumah buat Lotus yang akan berlumba dengan disaksikan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Jadi ini merupakan peluang terbaik untuk kami membaiki pencapaian pasukan yang mana kami boleh memanfaatkan kemampuan sebenar jentera kami tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut Gascoyne, dia juga yakin, tiada sebarang perubahan pada peraturan di Silverstone dan biasanya Lotus tidak berhadapan masalah dengan arahan di grid perlumbaan.

Jelasnya, Lotus juga telah membuat persiapan rapi terhadap penggunaan terowong angin dan beberapa ujian di laluan lurus turut dilaksanakan di United Kingdom, kelmarin dan semalam.

“Jadi, kami tahu apa yang dijangka berlaku kerana persediaan telah kami susun dengan baik,” ujarnya.

Sementara itu, Heikki Kovalainen memberitahu, perlumbaan di litar Silverstone memberi cabaran yang cukup menarik dari kokpit jentera.

“Untuk memintas pelumba lain, agak mencabar di Silverstone, tetapi cara tayar digunakan tahun ini dan dengan adanya DRS (Drag Reduction System), saya fikir perlumbaan akan menjadi bertambah sengit.

“Lebih-lebih lagi semua pasukan menggunakan tayar sebatian Pirelli. Walau apa pun yang bakal berlaku, perlumbaan hujung minggu ini pasti berlangsung hebat,” katanya.

Dalam pada itu, rakan sepasukan, Jarno Trulli turut sependapat dengan Kovalainan apabila dia menjangkakan, penggunaan DRS akan membuka laluan yang lebih terbuka untuk mana-mana pemandu memintas pelumba lain.

Trulli berharap, situasi itu akan dapat membantu Lotus memanfaatkan kesempatan yang ada untuk bersaing dengan jentera yang berada di depan.
Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger