Headlines News :
Home » » Identiti Bahasa Melayu Terkikis

Identiti Bahasa Melayu Terkikis

Written By Scud on Wednesday, September 21, 2011 | 9:12 PM

20 Sept. – Penggunaan bahasa Melayu rojak yang semakin berleluasa dalam kalangan generasi muda ketika ini bakal mengikis identiti bahasa itu.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, generasi muda semakin gemar menggunakan bahasa ‘rojak’ termasuklah ketika berkomunikasi di majlis formal.

“Kebanyakan mereka lebih suka menggunakan bahasa singkatan atau bahasa jalanan walaupun ketika menghadiri majlis keraian, bertemu dengan golongan bangsawan atau orang kenamaan dan juga ketika ditemuramah pihak media.

“Saya rasa hal ini diburukkan lagi dengan perkembangan teknologi moden menerusi telefon bimbit seperti penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sistem mesej Blackberry (BBM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara UUM bersama MyPEC Sdn. Bhd. dan Digicity(M) Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin, Ahli Dewan Negara dan Senator Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin

Tambah beliau, faktor yang menyebabkan golongan muda menggunakan bahasa rojak mungkin disebabkan mereka tidak lagi didedahkan dengan penulisan bahasa Melayu formal atau aktiviti komunikasi di peringkat sekolah.

“Dahulu kita selalu bercakap tentang perlunya golongan muda menguasai bahasa Inggeris, tetapi sekarang kita dapati bahasa Melayu mereka pun teruk, terutama penggunaan konteks ayat yang sangat lemah,” katanya.

Beliau yang kesal dengan situasi itu berkata, cabaran mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu perlu digalas semua pihak terutama penekanan kurikulum berlandaskan konteks yang betul.

“Pelajar perlu dilibatkan secara serius dalam aktiviti debat, pidato dan pantun misalnya kerana ia merupakan satu cara yang paling berkesan untuk mereka berbahasa Melayu dengan menggunakan konteks ayat yang betul.

“Bahasa Melayu itu indah, kita kena pelihara supaya ia tidak hilang begitu sahaja. Jangan kerana teknologi dan kemodenan, mereka merasakan bahasa Melayu rasmi tidak lagi penting, ia akan menjadi punca kemerosotan bahasa ibunda kita sendiri,” katanya.

Terdahulu, Mohamed yang mewakili UUM, menandatangani MoA bersama MyPEC Sdn. Bhd. dan Digicity (M) Sdn. Bhd. bagi memeterai usahasama pintar dalam usaha membantu lebih ramai usahawan dapat dilahirkan di kalangan graduan UUM.
Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger