Headlines News :
Home » » Masalah Lambakan Mykad Diatasi

Masalah Lambakan Mykad Diatasi

Written By Scud on Monday, February 22, 2010 | 1:43 PM

Hampir sebahagian daripada 405,197 MyKad yang belum dituntut di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah diserahkan kepada pemiliknya dalam tempoh dua bulan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya komited bagi memastikan kad-kad yang belum dituntut diserahkan kepada pemiliknya terutama bagi masyarakat di kawasan pedalaman.

"Sejak kita umumkan tentang MyKad yang belum dituntut, ramai yang tampil dan 142,212 daripada kad pengenalan itu telah diserahkan dalam tempoh dua bulan dan bakinya kini adalah 262,985 kad," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyerahkan sijil kewarganegaraan Malaysia kepada enam penduduk di Kampung Baru Nyior di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, kerajaan akan memperhebatkan usaha dan mempelbagaikan langkah bagi menyelesaikan masalah lambakan MyKad tidak dituntut itu.

"Dalam tempoh dua bulan ini, satu pertiga daripada mereka datang sendiri ke JPN untuk mengambil MyKad mereka.

"Bagaimanapun bagi penduduk di kawasan pedalaman seperti masyarakat Penan yang tidak duduk setempat, kita sendiri turun ke bawah menyerahkannya," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan turut menggerakkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengenal pasti individu yang mempunyai masalah MyKad.

"Kepuasan bagi kami adalah melihat wajah-wajah gembira mereka yang menerima MyKad dan ia memberi kita semangat merentasi semua batas perbezaan," katanya.

Sementara itu, mengenai insiden kekecohan akibat nombor giliran yang terhad di Jabatan Imigresen di Johor Bahru semalam, Hishammuddin menyifatkan kejadian tersebut tidak menggambarkan kelemahan sistem jabatan secara menyeluruh.

"Satu insiden tidak sepatutnya memberi realiti bahawa keseluruhan sistem kita salah, mana-mana kekurangan di tempat tertentu akan dibaiki.

"Jaminan yang kita beri adalah pasport dikeluarkan dalam masa dua jam dan di tempat seperti Labuan dan Langkawi, ia dikeluarkan dalam masa sejam. Pada masa dulu, enam bulan belum tentu siap," katanya.

Beliau memberitahu, masalah di pejabat berkenaan adalah berkaitan dengan sistem penyalutan buku pasport dan pihaknya akan segera menyelesaikan masalah itu.

"Biarpun kita dapat menyediakan buku dan cip namun tanpa penyalutan, pasport itu tetap tidak dapat digunakan.

"Kita sedang mengawasi tiga pihak yang terlibat dalam menyediakan buku pasport, menyediakan cip dan penyalutan buku, ketiga-tiga ini perlu diselaras dan beri saya masa untuk menelitinya," katanya.

Dalam kejadian di Jabatan Imigresen di Wisma Persekutuan Johor Bahru semalam kira-kira 500 orang dilaporkan bertindak agresif selepas gagal mendapatkan nombor giliran untuk membuat pasport dan memperbaharuinya.

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger