Headlines News :
Home » » Felda sasaran pembangkang

Felda sasaran pembangkang

Written By Scud on Friday, June 25, 2010 | 11:10 AM

SEPANJANG minggu ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda mendapat liputan meluas khususnya dalam media cetak dan elektronik milik pembangkang mengenai kedudukan tunainya yang menyusut RM2.73 bilion.

Pemimpin pembangkang menyifatkan jumlah yang besar itu menunjukkan bahawa kerajaan kurang arif tentang kebajikan warga Felda. Ada juga akhbar milik pembangkang yang melaporkan perkembangan itu di bawah tajuk berbunyi 'Felda Bankrap'.

Ekoran laporan berkenaan, seorang ahli Parlimen pembangkang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkembangan Felda yang mengalami susut tunai tetapi peningkatan aset.

Berita kedudukan tunai Felda yang menyusut menjadi pemangkin kepada pelbagai isu berhubung Felda dibangkitkan oleh pihak pembangkang seperti pembinaan ibu pejabatnya di premis termahal. Sementara pelaburan Felda pula dianggap sebagai tindakan untuk 'meleburkan' wang Felda.

Perkembangan tersebut mendorong Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah Pas meluahkan hasrat untuk membuat laporan polis.

Begitulah hebatnya asakan dan perhatian yang diberikan media pembangkang kepada Felda beberapa hari kebelakangan ini.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa pula menganggap perkembangan terbaru dalam Felda itu sebagai satu pengkhianatan kepada warga Felda.

Liputan meluas yang diberikan kepada Felda baru-baru ini hanya memberi tumpuan kepada kedudukan tunainya yang merosot.

Kedudukan aset semasa dan aset tetap Felda yang melonjak sebanyak RM6.2 bilion antara 2004 dan 2009 tidak banyak diberi perhatian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia semalam melahirkan rasa kesal dengan laporan yang tidak menyentuh mengenai aset Felda yang meningkat tetapi hanya memainkan isu tunai Felda yang susut.

''Laporan yang menyerang Felda juga tidak menyentuh mengenai pembiayaan RM2.4 bilion untuk pelbagai program pembangunan sosio-ekonomi bagi kepentingan peneroka dan generasi baru mereka. Ini merupakan laporan yang tidak adil.

''Felda adalah usaha pembangunan tanah yang paling berjaya di dunia serta pemilik ladang yang terbesar di dunia. Felda sudah berjaya menghapuskan kemiskinan 112, 635 keluarga dan membantu 1.6 juta generasi baru," katanya.

Sebelum ini, Ahmad pernah memberitahu pemberita di lobi Parlimen bahawa aset Felda berjumlah RM9.17 bilion pada 2004 dan pada tahun lalu ia melonjak kepada RM15.37 bilion.

Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956. Fungsi Felda ialah menjalankan dan melaksana projek pembangunan tanah, memaju serta menguruskan kawasan, melaksana kegiatan memodenkan sektor pertanian dan menyelaras kegiatan sosial dalam kawasan Felda.

Sejak April 2004 Felda diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan seorang menteri yang bertanggungjawab. Ketika mula diletakkan di bawah JPM menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Felda ialah Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Penulis pernah mewawancara Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Nor sempena pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam April tahun lalu.

Bagi Mohd. Yusof, komitmen Najib kepada Felda umpama tanggungjawab dan amanah yang ditunaikan oleh seorang anak kepada ayahnya.

''Dalam kenyataan pertama Najib apabila beliau dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda pada 2004, beliau menyatakan bahawa Felda sudah menjadi darah dagingnya.

''Ini kerana beliau adalah pewaris Allahyarham Tun Razak Hussein yang merupakan pengasas Felda," katanya pada wawancara tersebut.

Bagi Mohd. Yusof, kenyataan berkenaan menggambarkan semangat Allahyarham Tun Razak untuk membangunkan tanah luar bandar mengalir dalam tubuh Najib dan Felda seolah-olah satu kementerian bagi Perdana Menteri.

''Felda macam satu tanggungjawab bagi beliau. Saya tidak tahu apa yang berlaku di antara arwah Tun Abdul Razak dan Najib tetapi cara Najib menjaga Felda umpama Felda merupakan satu amanah yang mesti diteruskan," jelasnya.

Berdasarkan pandangan Mohd. Yusof mengenai komitmen Najib kepada Felda, tidak mungkin Perdana Menteri akan membiarkan nasib para peneroka mahupun generasi muda mereka terbiar dan dikhianati tanpa sebarang pembelaan seperti didakwa oleh pembangkang.

Ada pendapat mengatakan tindakan pembangkang itu merupakan taktik terbaru untuk memburukkan imej Felda dan menanam bibit kebencian di hati warga peneroka.

Ia bertujuan meraih kepentingan politik serta merampas kawasan Felda dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Dakwaan bahawa peneroka sudah dikhianati melalui laporan berat sebelah mengenai Felda itu hanya bertujuan meracuni fikiran warga peneroka supaya mengkhianati Barisan Nasional (BN).

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger