Headlines News :
Home » » Sayangi Orang Asli

Sayangi Orang Asli

Written By Scud on Friday, June 25, 2010 | 11:13 AM

TEMERLOH 24 Jun - Penantian masyarakat Orang Asli Kampung Berdut, Kuala Krau dekat sini untuk mendapatkan bekalan elektrik bakal berakhir apabila kemudahan itu disediakan di perkampungan tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, hanya perkampungan Orang Asli itu sahaja dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak yang belum menikmati bekalan elektrik.

Katanya, masyarakat Orang Asli di kampung itu lewat menerima bekalan elektrik berikutan keengganan mereka untuk berpindah ke Perkampungan Tersusun Orang Asli Kampung Paya Rekoh yang hanya dua kilometer dari kawasan itu.

''Kerajaan membina rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk masyarakat Orang Asli di perkampungan tersusun yang dilengkapi dengan prasarana dan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air paip dan elektrik.

''Bagaimanapun Orang Asli Kampung Berdut tidak mahu berpindah daripada kampung yang diteroka nenek moyang mereka sejak sebelum merdeka lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan memberikan sumbangan kepada 10 warga emas dan sebuah kerusi roda kepada orang kurang upaya (OKU) di Kampung Berdut, dekat sini hari ini.

Menurut Mohamed, pihaknya tidak memaksa mereka untuk berpindah tetapi berjanji menyediakan kemudahan asas yang sama seperti masyarakat Orang Asli di kampung lain.

Kerajaan negeri tegasnya, tidak pernah meminggirkan perkampungan itu malah kerap mengunjungi dan berjumpa penduduk untuk melihat perkembangan selain menyampaikan bantuan.

"Walaupun mereka enggan berpindah namun kerajaan tetap menyediakan kemudahan asas yang diperlukan mereka," katanya.

Beliau juga meminta ibu bapa masyarakat Orang Asli menitikberatkan pendidikan anak-anak dengan menghantar mereka ke sekolah bagi menjamin masa depan.

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger