Headlines News :
Home » » Kuasa politik senjata ampuh orang Melayu tidak patut digadai

Kuasa politik senjata ampuh orang Melayu tidak patut digadai

Written By Scud on Monday, October 4, 2010 | 3:32 PM



SATU-SATUNYA bidang yang masih dikuasai orang Melayu ialah politik. Walaupun orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, hakikatnya dalam kebanyakan bidang kita ketinggalan dan dikuasai bukan Melayu, kecuali politik. Menerusi politiklah nasib orang Melayu masih terbela dan hak keistimewaan mereka dapat dipertahankan sehingga sekarang. Bayangkan apa akan terjadi kepada orang Melayu pada masa depan, jika kuasa politik sudah berpindah tangan.

Ramai generasi muda hari ini tidak pernah terfikir bahawa semua keadaan itu boleh berubah bila-bila masa, sekiranya kuasa politik sudah tidak lagi berada di tangan orang Melayu. Oleh itu, mempertahankan kuasa politik bukan lagi retorik atau momokan demi survival sesebuah parti politik untuk memperoleh sokongan semata-mata. Sebaliknya, kuasa politik menuntut kita memahami kepentingan dan kesan buruk jika ia terlepas ke tangan orang lain. Seperti yang diungkapkan Datuk Seri Najib Razak kelmarin, kuasa politik adalah senjata paling tajam yang perlu dipertahankan dalam usaha kita meneruskan perjuangan mengikut landasan agama, bangsa dan negara.

Kita tidak boleh menafikan bahawa kuasa politik adalah asas kepada segala perjuangan. Justeru, kita akan menerima kesannya jika membiarkan kuasa politik terlepas ke tangan orang lain, gara-gara perbalahan sesama sendiri sehingga menjejaskan perjuangan bangsa. Kita mesti insaf bahawa kuasa politik yang ada dalam genggaman hari ini akan menentukan kedudukan bangsa Melayu pada masa depan.

Tindakan sesetengah pemimpin Melayu parti pembangkang yang menggadaikan perjuangan dan maruah bangsa demi kepentingan politik mereka sebenarnya boleh menghakis kuasa politik orang Melayu. Kuasa politik dan maruah bangsa tidak ada galang ganti. Jika ia terlepas ke dalam genggaman tangan orang lain maka kita jadilah seperti Pak Kadok yang menang sorak tetapi kampung tergadai.

Kalangan penganalisis ekonomi pula lebih ekstrem menggambarkan bahawa kuasa politik esok adalah hasil pemikiran, ciptaan, penyertaan dan pengaruh kita pada hari ini. Jadi, senjata paling tajam orang Melayu bukan lagi pada lembing, panah atau keris tetapi kuasa politik yang membolehkan mereka menentukan dasar dan masa depan sendiri.

Namun kuasa itu pula dipertahankan dengan beberapa tunjang lain termasuk kekuatan nilai dan minda serta kesediaan kita mempertahankan kedaulatan bangsa serta negara. Kita tidak perlu menerima falsafah Mao Zedong - kuasa politik tumbuh dari laras senjata, tetapi harus memikirkan rasional falsafah I C MacMillan bahawa - kuasa adalah keupayaan untuk menstruktur keadaan sebenar.

Kuasa politik juga menuntut penyertaan kita dalam segenap bidang dan proses dalam sosioekonomi negara serta kesedaran untuk mempertahankan kuasa itu sehingga bila-bila. Kuasa politik yang dipegang oleh kepemimpinan Melayu menerusi UMNO sejak kemerdekaan membolehkan bangsa ini mengekalkan hak keistimewaannya termasuk dalam bidang ekonomi, agama dan pendidikan.

Jadi, ramuan untuk mempertahankan kuasa politik Melayu hanya satu – kita mesti bersatu dan seperti kata Najib lagi, kita mesti ‘masuk dan merapatkan barisan’ bagi memastikan kuasa politik itu kekal dalam genggaman bagi meneruskan agenda perjuangan bangsa.

Dalam orde baru yang menjadikan dunia kian mendatar, manakala kuasa politik menjadi faktor dominasi sesebuah negara selain ekonomi, teknologi dan maklumat, maka kuasa politik penting dalam memastikan orang Melayu tidak terpinggir di negara sendiri pada masa depan.
Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger