Headlines News :
Home » , » Penjara: Hukuman atau koreksional?

Penjara: Hukuman atau koreksional?

Written By Scud on Tuesday, September 28, 2010 | 6:07 PM

HANYA penerimaan komuniti dan komitmen bekas banduan untuk kekal berada dalam tingkah laku yang boleh diterima oleh masyarakat akan menjamin pengurangan jumlah banduan di dalam penjara. Banduan juga digalakkan menggunakan masa yang ada untuk mengubah tingkah laku agar diterima oleh komuniti dan keluar dari lingkaran jenayah yang mengganggu kehidupan.

Penyelidikan telah membuktikan bahawa untuk mengurangkan residivism (kemasukan semula bekas banduan ke penjara) dan memaksimumkan koreksional atau pemulihan, terdapat tiga faktor utama yang perlu diberi perhatian iaitu menyediakan pekerjaan, sokongan keluarga dan penempatan.

Menyediakan pekerjaan bagi bekas banduan akan membantu mereka menjana pendapatan sendiri dan meninggalkan kehidupan jenayah. Pekerjaan yang tetap dan menjamin kehidupan akan mengurangkan jenayah yang dilakukan atas dasar 'survival' walaupun mereka tahu jenayah yang mereka lakukan itu salah.

Sokongan keluarga sangat penting bagi menjamin bekas banduan tidak kembali semula ke penjara dan ia berkait rapat dengan komuniti kerana keluarga berada dalam komuniti. Jika komuniti boleh menerima dengan baik maka keluarga bekas banduan akan menerima mereka dengan selesa. Ada keluarga takut menerima bekas banduan kerana bimbang tohmahan masyarakat sekitar. Akhirnya bekas banduan rela mencari kumpulan mereka semula dan berlaku 'residivism' yang berpanjangan.

Penempatan pula dapat membantu bekas banduan untuk berada dalam kehidupan yang lebih selesa dan mempertahankan perubahan sikap yang telah dilakukan dalam proses koreksional di dalam penjara.

Secara psikologi, manusia yang mahukan perubahan dapat disimpulkan bahawa membuat perubahan adalah sesuatu yang mudah, namun untuk mempertahankan perubahan tersebut amat memerlukan kekuatan kognitif, emosi dan fizikal manusia. Jika hanya diri manusia tersebut bertindak untuk berubah, sedangkan tidak ada sokongan dari keluarga dan komuniti, maka perubahan yang diukir mungkin mengalami kebuntuan dan bertahan untuk jangka masa pendek sahaja.

Menurut kajian, manusia akan bermasalah jika gagal mendapatkan keperluan asas seperti kasih sayang, kuasa, kebebasan, survival dan keseronokan. Oleh itu, kerjasama erat perlu dijalin dengan agensi kerajaan dan swasta untuk membantu bekas banduan mempertahankan perubahan yang mereka lakukan setelah melalui program koreksional. Para pegawai koreksional juga perlu menerapkan nilai-nilai pemulihan yang kukuh agar bekas banduan yang melalui proses koreksional bukan sahaja insaf dalam jangka masa sementara tetapi tidak mengulangi kesalahan mereka buat selama-lamanya.

Usaha ini juga dilihat dapat membantu bekas banduan mendapatkan penempatan yang sihat dan diiringi oleh komuniti yang menyokong agar terus berada dalam keadaan stabil dan sihat, selain merasakan diri mereka diterima oleh masyarakat semula.

Salah satu cabaran utama untuk menjamin penerusan kemajuan dalam integrasi proses pengurusan banduan adalah dengan memastikan usaha memelihara serta meneruskan komitmen terhadap program koreksional yang dilaksanakan dari dalam penjara kepada penyeliaan proses koreksional dan dalam kehidupan komuniti.

Ini boleh dilakukan dengan memperbanyakkan program-program koreksional yang dijalankan di luar penjara dan melibatkan komuniti bagi membantu pihak penjara dalam usaha memulihkan banduan.

Hukuman merupakan satu cara untuk mengawal jenayah agar tidak berlaku pada masa hadapan. Pada masa yang sama, ia mampu membanteras jenayah. Tujuan hukuman adalah untuk membina kesedaran oleh undang-undang dan individu.

Hukuman mestilah berpandukan konsep semula jadi manusia yang perlu menerima balasan setelah melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. Ini akan membantu manusia sedar dan insaf serta tidak melakukan lagi kesalahan tersebut. Hukuman juga dapat mencegah perbuatan jenayah serta menimbulkan rasa gerun dan ia perlu untuk membantu banduan melalui proses pemulihan atau koreksional.

Oleh itu, konsep hukuman dan koreksional perlu selari agar banduan merasakan mereka perlu menjalani program koreksional untuk perubahan dalam kehidupan mereka, bukan semata-mata melalui hukuman yang tidak jelas tujuan serta hanya rasa ingin membalas dendam semata-mata.

Perkhidmatan koreksional juga dilakukan untuk mengurangkan dan menghentikan kesalahan jenayah. Dalam masa yang sama, ia mampu memberi kesedaran kepada setiap penjenayah. Ia juga akan melindungi masyarakat daripada sebarang bentuk bahaya daripada ancaman serta menghilangkan perasaan takut mangsa jenayah.

Koreksional juga akan mengurangkan dan menghapuskan segala kegiatan jenayah dan ia bertindak sebagai kesinambungan daripada aspek hukuman dengan harapan akan memberi kesedaran serta membimbing penjenayah ke arah kehidupan normal.

Bagaimanapun, koreksional bergantung kepada keberkesanan sistem itu sendiri kerana memulihkan penjenayah bukanlah perkara mudah. Perubahan yang positif juga terletak di tangan individu sendiri kerana merekalah yang berhak menentukan corak hidup masing-masing.

Terdapat tiga bentuk tindakan yang boleh dilakukan oleh pegawai koreksional dalam membantu banduan untuk menghadapi masalah ini iaitu tindakan pencegahan, tindakan represif yang bertujuan menghalang masalah yang lebih serius dan tindakan koreksional setelah berlaku masalah. Pegawai koreksional boleh berganding dengan kaunselor dan pekerja sosial untuk tindakan pencegahan dengan mengadakan program-program pencegahan. Proses menentukan program yang sesuai perlu disusuli setelah dikenal pasti masalah yang menjadi prioriti dalam komuniti penjara yang terlibat.

Banduan yang layak untuk masuk ke dalam komuniti adalah mereka yang kurang berisiko, tidak bersikap kejam dan tidak membahayakan. Program ini menekankan aspek pemulihan, rawatan, dan keselamatan banduan. Ia juga bertujuan memulihkan akhlak dan mengubah sikap banduan agar kembali kepada masyarakat dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab serta produktif.

Setelah program koreksional ini dibawa kepada komuniti, penglibatan komuniti secara serius dan terperinci akan dapat membantu merealisasikan program itu agar menjadi program yang berjaya dan berkesan untuk membantu penghuni penjara pulih secara total. Penerimaan masyarakat terhadap bekas banduan juga akan membantu penyesuaian yang hakiki terhadap diri dan masa depan banduan.

Budaya tidak mahu menerima bekas banduan sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat perlu dikikis dan digantikan dengan budaya memberi peluang dan bantuan untuk merealisasikan perubahan tersebut dalam komuniti. Hukuman yang dilalui, jika disetarakan dengan program pemulihan dan koreksional akan menghasilkan perubahan yang lebih baik dalam masyarakat.

Budaya dan konsep dendam dan 'padan muka' yang dipegang oleh sebilangan ahli masyarakat telah mencorakkan rasa jijik masyarakat kepada banduan seterusnya melakarkan rasa penolakan yang menyeluruh kepada banduan, bekas banduan serta ahli keluarga mereka.

Akhirnya hukuman yang ditafsirkan untuk menimbulkan kesedaran kepada banduan bertukar kepada hukuman yang paling menekan aspek fizikal dan psikologikal mereka dan ahli keluarga mereka, seolah-oleh tidak ada lagi harapan untuk berubah. Maka tidak hairanlah ada di antara bekas banduan memilih untuk terus berada dalam penjara bagi mengelakkan 'hukuman' psikologi ini.

Oleh itu, komuniti perlu diberikan kefahaman tentang program koreksional ini dan diajak untuk sama-sama memulihkan penghuni penjara agar rasa tanggungjawab proses pemulihan dan koreksional ini menjadi tanggungjawab semua ahli masyarakat, dan bukan dipikul pihak penjara sahaja.

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger