Ribut Hujan Batu Gemparkan Penduduk Kampung Janglau
Written By Scud on Thursday, July 7, 2011 | 12:53 PM
ROMPIN 6 Julai - Penduduk Kampung Janglau di sini bukan sahaja dikejutkan dengan kejadian ribut dan petir malah digemparkan dengan hujan batu yang merosakkan beberapa rumah dan tanaman semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, sebuah rumah rosak teruk manakala 10 lagi mengalami kerosakan kecil selain berpuluh-puluh pokok tumbang.
Seorang penduduk, Latifah Daud, 52, berkata, kejadian luar biasa itu memusnahkan bahagian depan rumahnya apabila sebatang pokok gelugor berusia lebih 40 tahun tumbang.
Kejadian yang berlaku kira-kira 30 minit itu katanya, menyebabkan dia sekeluarga terkejut apabila merasai gegaran dari bawah rumah sebelum lari bertempiaran ke bahagian dapur untuk menyelamatkan diri.
"Waktu itu, saya hanya mampu berdoa supaya rumah kami tidak runtuh memandangkan bahagian depan rumah rosak akibat dihempap pokok besar di tepi rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Menurut Latifah, hujan air batu itu sungguh luar biasa dan tidak pernah berlaku di kampung ini sebelum ini.
Seorang lagi penduduk, Saad Kasa, 66, berkata, dia bimbang sesuatu tidak diingini berlaku memandangkan ribut dan angin kuat itu diiringi dengan hujan air batu.
"Mujur sebahagian kecil sahaja bahagian bumbung rosak namun saya bersyukur kerana semua keluarga termasuk cucu kembar yang baru dilahirkan selamat," katanya.
Sementara itu, ibu kepada bayi kembar, Izawati Saad, 26, berkata, bunyi hujan air batu itu bagaikan peluru yang menimpa bumbung rumah bapanya,
Izawati yang masih dalam tempoh berpantang memberitahu, ketika itu, dia dan suami, Mohd. Erwan Shah Abd. Manaf, 28, hanya bimbang keselamatan pasangan bayi kembar mereka, Mohd. Danish Firas dan Noraina Qaisara yang baru berusia sebulan 20 hari.
"Saya hanya mampu berdoa dan membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
0 comments:
Post a Comment