Headlines News :
Home » » Hubungan Turki-Iran kurang disenangi

Hubungan Turki-Iran kurang disenangi

Written By Scud on Tuesday, February 23, 2010 | 9:15 AM

Sikap kurang senang Barat terhadap Iran sudah banyak diperkatakan. Hampir setiap hari ada sahaja kritikan, amaran dan ancaman Barat ditujukan terhadap negara tersebut.

Sikap kurang senang Barat itu kini bukan sahaja terbatas kepada Iran, sebaliknya ia mula menular kepada Turki, sebuah negara Islam yang berfahaman sekular.

Walaupun, Turki sering menonjolkan diri sebagai 'jambatan' antara Timur dan Barat dan menjadi perantara antara negara Islam dan bukan Islam, namun Barat kini bersikap skeptikal terhadapnya.

Sikap berkenaan mempunyai kaitan dengan 'layanan' yang diberikan oleh Turki kepada Iran serta kebimbangan Barat terhadap kerjasama masa depan antara kedua-dua negara Islam bukan Arab itu.

Turki memberi layanan mesra kepada Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki yang melawat negara tersebut pada awal bulan ini ketika Barat bimbang dan mengecam kemajuan program nuklear yang dicapai oleh Iran.

Barat mahu Turki berpendirian lebih tegas terhadap Iran dan bukan bersikap 'berdiri atas pagar'.

''Turki mengambil pendirian yang amat bebas dalam dasar luarnya dan ini telah mengecewakan beberapa rakan tradisinya di kalangan negara Barat, tetapi saya fikir Turki sedang menghadapi satu ujian getir membabitkan Iran.''

Demikian pandangan Ian Lesser daripada German Marshall Fund, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bergiat aktif merapatkan hubungan negara-negara Barat (termasuk Turki) dengan Amerika Syarikat.

Beliau juga berkata, sekiranya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil keputusan untuk mengenakan sekatan ke atas Iran, tindakan Turki akan diperhatikan.

Seorang diplomat Barat berpangkalan di Ankara, yang mahu identitinya dirahsiakan pula dipetik oleh agensi berita sebagai berkata: ''Anda tidak boleh menyelesaikan segala perkara pada semua ketika membabitkan segala isu. Ini yang Turki mahu buat. Saat untuk menjelaskan pendirian mungkin sudah hampir tiba.''

Barat kini sedang berusaha mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan PBB bagi mengenakan sekatan baru ke atas Iran sebelum akhir bulan depan untuk memastikan negara berkenaan menghentikan program pengayaan uraniumnya.

Turki yang merupakan anggota tidak tetap majlis berkenaan sebelum ini telah menyatakan bahawa ia menolak sebarang bentuk sekatan ke atas Iran, sebaliknya mahu isu berhubung Iran diselesaikan melalui rundingan.

Barat bingung dengan kenyataan Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan bahawa Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad adalah seorang kawan baik dan menyifatkan perbincangan mengenai program senjata nuklear negara tersebut sebagai 'gosip.'

Kesangsian Barat terhadap Turki bermula berikutan tindakan Erdogan melabel Presiden Israel, Shimon Perez sebagai pembunuh kanak-kanak Palestin di Gaza pada Forum Ekonomi Sedunia (WEF) tahun lalu.

Duta Iran ke Malaysia, Profesor Dr. Mohammad Mehdi Zahedi ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-31 Revolusi Islam Iran di Kuala Lumpur, baru-baru ini turut mengakui Barat amat mencemburui hubungan baik Turki-Iran.

Beliau berkata, Iran bukan sahaja mahu berbaik-baik dengan Turki malahan juga dengan semua negara Islam termasuk dengan Malaysia dan dengan mana-mana negara yang tidak memusuhinya.

''Iran akan meneruskan dasar ini tanpa menghiraukan apa tanggapan Barat (terhadapnya),'' katanya.

Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger