Headlines News :
Home » » Warga Felda Semakin Kaya

Warga Felda Semakin Kaya

Written By Scud on Thursday, July 7, 2011 | 12:50 PM


MARAN 6 Julai - Sejak tanah rancangan Felda Wilayah Jengka dibuka, majoriti rumah asal peneroka telah berubah wajah.

Lebih membanggakan, ada rumah milik peneroka di tanah rancangan Felda Jengka bernilai lebih RM1.2 juta yang layak dipanggil banglo mewah.

Dalam konteks ini, Felda menyediakan skim pinjaman pembesaran rumah yang membolehkan peneroka membuat pinjaman mudah sehingga RM40,000 supaya warga Felda tinggal di kediaman moden dan lebih selesa.

Menurut seorang penerokawati, Salmiah @ Hamidah Ismail, 70, dari Kampung Anggerik Felda Jengka 1, dia kini amat selesa tinggal di banglo mewahnya bernilai lebih RM1 juta hasil kelapa sawit.

Menurutnya, banglo yang mempunyai enam bilik yang dibina dua tahun lalu itu sebenarnya tidak pernah diimpikan.

''Dua anak saya yang juga merupakan peneroka bersetuju membiayai pembinaan rumah ini,'' katanya.

Salmiah yang merupakan balu kepada peneroka, Allahyarham Mohamad Kamdan merupakan pasangan pertama ketika Felda Jengka Tiga Segi sekitar 1960-an.

Seorang peneroka Felda Sungai Tekam, Hashim @ Abdul Manaf Kadir, 76, mengakui Felda telah mengubah status sosioekonomi peneroka termasuk diri dan keluarganya.

''Saya mampu membina rumah bernilai lebih RM120,000 melalui pinjaman skim pembesaran rumah Felda bagi membolehkan kami mendiami kediaman yang lebih baik," katanya.

Tegasnya, Felda sebuah agensi yang sangat berjasa kepada orang Melayu, perlu dipertahankan daripada 'pengkhianat' bangsa.

''Saya sebagai saksi pernah melihat betapa sukarnya menjadi peneroka Felda Sungai Tekam pada 1962 kerana ada rakan sekampung dari Kampung Pulau Tawar dibaham harimau dan ditelan ular sawa," katanya.

Waris pahlawan Mat Kilau itu mahu orang Melayu terutama peneroka mengenang jasa Felda dan pemimpin kerajaan yang ditunjangi UMNO yang berjaya mengangkat martabat mereka.

Bagi peneroka Felda Seroja, Jengka 18, Abd. Razak Mohamad, 52, dan isteri, Siti Shahira Ahmad, 40, mereka berbangga kerana hasil usaha mereka berjaya membina rumah sendiri bernilai hampir RM200,000.

Kata mereka, pembinaan rumah itu merupakan hasil jualan kelapa sawit dan aktiviti sampingan sebagai kontraktor dan mengusahakan sebuah pusat kecantikan.

''Saya mampu memiliki empat kenderaan mewah dan beberapa buah lori untuk mengangkut buah sawit," kata Abd. Razak.

Peneroka Felda Dahlia Jengka 3, Idris Mohamad,48, berbangga dan bersyukur kerana Felda memberi banyak peluang untuk memajukan diri dan keluarga.

Katanya, warga peneroka jangan melupakan akan peranan pegawai Felda yang banyak memberi motivasi untuk keluar dari 'kepompong kegelapan' asalkan sanggup berubah ke arah lebih baik.

''Melalui aktiviti ekonomi sebagai kontraktor kelas F dan hasil sawit yang harganya sangat baik ketika ini, saya mampu membina rumah bernilai lebih RM600,000," katanya.

Idris mengakui Felda yang diasaskan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan para pemikir Melayu ketika itu sangat berjasa kepada orang Melayu dan Islam.

''Kini saya mampu memiliki enam kenderaan mewah setelah berusaha keras untuk memajukan diri dan keluarga," katanya.

Peneroka Felda Jengka 1, Khapandi @ Zainal Bero, 63, dan isterinya, Asmah Taleb, 61, yang meraikan perkahwinan ke-45 bersyukur kerana kehidupannya yang mewah ketika ini.

''Saya mampu membina rumah bernilai lebih RM100,000 dan membeli 10 hektar tanah sawah di Rompin hasil daripada jualan ladang kelapa sawit,'' katanya.
Share this article :

0 comments:

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Pahang Post - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger